Tuah Kembar Botak Cetuskan ‘Laksamana Upin & Ipin’

Diterbitkan: Jumaat, 28 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SELEPAS berjaya dengan kemunculan filem pertama Geng: Pengembaraan Bermula, Les’ Copaque Production akan tampil dengan filem animasi keduanya, Laksamana Upin & Ipin yang dijangka ditayangkan pada tahun 2012.

Laksamana Upin & Ipin diinspirasikan dari episod Kembara ke Pulau Harta Karun musim ketiga. Filem ini memperlihatkan Upin & Ipin menerokai lautan memerangi segala cabaran dan rintangan.

Terdapat elemen-elemen dan suasana kisah pengembaraan lanun, menjadikan ia sebuah filem aksi-pengembaraan yang sangat menarik untuk ditonton oleh semua peringkat umur.

Pihak Les’ Copaque sedang berusaha untuk menaikkan kualiti dari segi teknikal berbanding filem Geng: Pengembaraan Bermula.

Penyelidikan tentang teknologi stereoscopic sedang giat dijalankan bagi membangkitkan kesan 3D ke tahap optimum. Teknologi stereoscopic pernah digunakan dalam filem Avatar.

“Kita mengambil contoh filem Avatar untuk meningkatkan produk dengan teknologi dan berhemah. Jadi sebab itu kita menggunakan teknologi stereoscopic dalam filem Laksamana Upin & Ipin,” kata penerbitnya, Burhanuddin Md Radzi ketika sidang media filem tersebut di Grand Bluewave, Shah Alam semalam.

Filem arahan Muhammad Usamah Zaid Yasin itu akan membelanjakan RM6 juta dan kata Burhanuddin semasa berucap di sidang media itu, mereka mengalu-alukan pihak penaja yang berminat untuk menaja kos tersebut.

Sebelum ini, Upin & Ipin digembar-gemburkan akan tampil dengan Upin dan Ipin: Angkasa dan bukannya Laksamana Upin & Ipin.

Namun, Burhanuddin berkata mereka tidak dapat meneruskan idea tersebut kerana dirasakan tidak dapat memenuhi citarasa penonton di Indonesia.

“Kalau kita teruskan dengan Upin & Ipin : Angkasa, jalan ceritanya mungkin terlalu moden dan tidak sesuai dengan budaya di Indonesia.

“Kita fikir hendak mengubah idea lain setelah memikirkan faktor penonton di Indonesia dan bukannya mereka yang meminta kita mengubah idea itu. Apabila kita tampil dengan idea Laksamana Upin & Ipin, kita rasakan ia boleh dicampurkan dengan cerita dongeng orang Indonesia dan Malaysia.

“Kita perlu fikirkan semua faktor itu bagi mendapatkan sokongan dan sambutan yang cukup tinggi. Antara 1.2 juta peminat di FaceBook, 80 peratus adalah dari Indonesia yang meminati Upin & Ipin. Jadi kita tidak boleh melupakan peminat Indonesia,” jelasnya.

Sementara itu, Usamah berkata sebenarnya Laksamana Upin & Ipin juga merupakan sekuel siri Hang Upin & Ipin yang pernah ditayangkan di televisyen sebelum ini.

“Dari situ, kita fikirkan idea untuk membuat Laksamana Upin & Ipin secara meluas. Kita akan memasukkan ciri-ciri kemelayuan dan serapkan unsur dari Indonesia termasuk watak lagenda dan mitos kisah-kisah dari Indonesia dan Malaysia,” ujarnya yang mahu merahsiakan terlebih dahulu tentang watak-watak lagenda dan mitos yang akan muncul dalam filem tersebut.

Burhanuddin juga tidak menyangka kewujudan ‘kembar botak’ Upin & Ipin boleh mencetuskan suatu fenomena dalam industri ini.

“Upin & Ipin bukan sahaja menjadi idola kanak-kanak di Malaysia, Singapura dan Brunei malah juga di Indonesia.

“Filem Geng: Pengembaraan Bermula adalah percubaan pertama kami dan ternyata ia menjadi filem box-office di negara kita dan Indonesia.

“Insya-Allah, pada 24 Jun ini, kita akan menayangkan filem tersebut ke India. Semoga ia mendapat sambutan seperti di Malaysia dan Indonesia,” beritahunya lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan