Mislina Paling Layak Bawa Watak Zaiton – Fauziah Nawi

Diterbitkan: Jumaat, 28 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mislina (kanan) dan Fauziah Nawi ketika sidang media filem Zaiton 'Ceritaku' di Grand Bluewave, Shah Alam semalam. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
Mislina (kanan) dan Fauziah Nawi ketika sidang media filem Zaiton 'Ceritaku' di Grand Bluewave, Shah Alam semalam. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN

AKTRES Mislina Mustaffa terpaksa melalui beberapa rintangan sebelum diberi kepercayaan membawa watak penyanyi Zaiton Sameon dalam filem Zaiton ‘Ceritaku’.

Siapa sangka dalam ramai aktres dan selebriti popular, nama Mislina menjadi pilihan pengarah Fauziah Nawi.

“Saya melalui audition seperti orang lain juga. Bukan senang untuk dapat watak Zaiton. Mujurlah Kak Fauziah Nawi yakin dan bersungguh-sungguh mahukan saya,” jelas Mislina yang sering mendapat watak sampingan di dalam teater sebelum ini.

Sebelum itu, nama penyanyi berkulit hitam manis Nurul dilaporkan akan membawa watak Zaiton namun selepas beberapa saringan dibuat, ternyata Mislina menepati citarasa yang dikehendaki oleh skrip filem Zaiton ‘Ceritaku’, projek sulung Bruang Filem Sdn Bhd.

Filem ini mengisahkan liku-liku hidup Zaiton Sameon. Banyak cabaran yang harus ditempuhi Zaiton selepas kematian kedua-dua ibu bapanya hinggalah dia bertemu dengan Rahim Adam, insan yang sanggup membantu Zaiton.

Filem ini merupakan filem cereka biografi pertama Malaysia yang diadaptasi daripada kisah sebenar kehidupan Zaiton selepas kemalangan dan seterusnya keperitan yang dilalui untuk meneruskan hidup.

Filem ini akan diarahkan oleh pelakon dan pengarah veteran Fauziah Nawi dan digarap oleh Ainon Ariff. Bagi Mislina, tawaran yang diterima tidak akan dipersia-siakan.

"Saya sudah mengkaji kehidupan Kak Zaiton dan akan cuba menghayati watak Zaiton sebaik mungkin.

“Bagaimana susahnya hidup Zaiton, begitu susah juga watak yang saya terima untuk dipamerkan di layar nanti. Saya kena bekerja keras," kata Mislina.

Ketika ditanya bagaimana perasaannya ketika diberitahu akan membawa watak utama, Mislina ternyata begitu terharu dan amat berterima kasih kepada Fauziah Nawi kerana memilihnya.

"Saya rasa terharu dan bersyukur kerana dapat peluang ini. Insya Allah, saya tak akan sia-siakan peluang ini,"kata aktres teater bermata galak ini.

Sementara itu, Fauziah ketika ditemui di pelancaran filem Zaiton 'Ceritaku' mengaku dia berkeras inginkan Mislina.

"Mislina dapat mengujudkan 1000 emosi dan saya yakin pilihan saya tepat. Lagipun Mislina juga terpaksa menjalani rintangan yang sama dengan Zaiton," kata Fauziah.

Tambahnya yang akan memulakan penggambaran filem itu pada 15 Jun ini selama 25 hari, “Apa yang akan dipaparkan adalah sebuah kisah benar dan akan menyentuh hati ramai orang. Sukar saya hendak lahirkan rasa sedih perjalanan hidup Zaiton dengan kata-kata…kena tengok sendiri filem itu.

“Beberapa bulan saya berbincang dengan Ainon dan Burhanuddin Md Radzi tentang Zaiton selepas mendapat sokongan skrip. Apa yang saya boleh rumuskan, Zaiton adalah mangsa manipulasi.

“Saya bersyukur kerana tidak hidup seperti Zaiton sedangkan apabila bercakap tentang Zaiton, saya dah rasa kepedihan dan keperitannya. Itu lumrah hidup dan saya rasa dia seorang yang kuat.”

Lain-lain pelakon yang akan mendukung watak penting dalam Zaiton ‘Ceritaku’ adalah Harun Salim Bachik (Rahim), Nafisah Atan (Ibu Zaiton), Abu Shafian Abdul Hamid (Bapa Zaiton), Shikh Abdull Rashid (Zaki) dan Ako Mustapha (Ghafar).

“Saya bukan pilih aktres atas dasar wajah tapi bakat. Saya kenal Mislina dari zaman saya kat Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).

“Mislina paling layak bawa watak Zaiton. Dia boleh bagi saya rasa dan emosi yang saya mahukan,” jelas Fauziah.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Kolumnis

iklan

Iklan