Astro Oasis Umum 10 Calon Imam Muda Terunggul

Diterbitkan: Rabu, 26 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Pelajar bersama tenaga pengajar dan pengacara rancangan Imam Muda. Dari kiri: Miril, Mentor 1 Ustaz Shahrizan Daud, Pengetua Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz, Pengacara Imam Muda Uztaz Dzulkarnain Hamzah, Mentor 2 Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang, Aran, Hizbur, Nuri, Taufek, Adib, Syakir, Azhar, Abe Syara dan Asyraf.
Pelajar bersama tenaga pengajar dan pengacara rancangan Imam Muda. Dari kiri: Miril, Mentor 1 Ustaz Shahrizan Daud, Pengetua Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz, Pengacara Imam Muda Uztaz Dzulkarnain Hamzah, Mentor 2 Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang, Aran, Hizbur, Nuri, Taufek, Adib, Syakir, Azhar, Abe Syara dan Asyraf.

KUALA LUMPUR: Sepuluh orang calon Imam Muda terunggul yang dicari oleh saluran gaya hidup famili Islam; Astro Oasis melalui sesi pencarian dalam usaha untuk memecah tradisi bagi memulakan sebuah perjalanan kehidupan telahpun dikenal pasti.

Sepuluh orang calon Imam Muda yang terpilih itu ialah Amiril Md Banin, 25, Kuala Lumpur; Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, Pulau Pinang; Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 26, Negeri Sembilan; Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, Kedah; Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, Kedah; Nik Muhammad Adib Md Amin, 22, Kelantan; Nuri Ali Arbain, 25, Pahang; Sharafuddin Suaut, 26, Sarawak; Ahmad Syakir Zamri, 19, Kelantan; dan Mohd Taufek Mohd Noh, 27, Johor.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pihaknya berasa amat bersukur ke atas penerimaan orang ramai terhadap program siri pencarian itu.

"IMAM MUDA yang julung-julung kali diadakan di saluran yang sememangnya amat sinonim dengan penerbitan program-program yang mempunyai unsur-unsur pembelajaran dari sudut kerohanian dan pengetahuan ilmiah.

"Rata-rata dari peserta yang datang mencuba nasib di empat buah zon sesi ujibakat di serata pelusuk negeri mempunyai bakat dan memenuhi kriteria untuk diketengahkan sebagai calon Imam Muda. Walau bagaimanapun, hanya sepuluh orang yang terbaik dipilih untuk diserap dan menerima pembelajaran di bawah bimbingan Mudir (pengetua) dan dua orang Mursyid (mentor)," katanya.

Menurut Izelan, sepuluh orang calon Imam Muda yang dipilih pada kali ini datang dari latar belakang kerjaya, keluarga, pendidikan, perwatakan, negeri dan status yang pelbagai.

Katanya, pihaknya bertanggungjawab untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang dapat diselaraskan bagi penerimaan calon semuda 19 tahun hingga 27 tahun ini.

"Kami di Astro berasa amat teruja kerana dapat memberikan peluang kepada mereka untuk menjadi seorang Imam Muda yang terunggul dan dapat melahirkan generasi baru sebagai pelapis-pelapis bagi tokoh-tokoh agama kelak,” ujarnya.

Selain dari pengumuman calon-calon Imam Muda, Uztaz Dzulkarnain Hamzah atau lebih dikenali sebagai Uztaz Zul di kalangan penonton-penonton setia Astro Oasis melalui program Kalam Suci turut diumumkan sebagai pengacara bagi program pencarian ini.

Ilmu Uztaz Zul yang meluas dalam bidang hal ehwal dan keagamaan adalah penting dan akan digunakan di sepanjang program ini berlangsung.

Pengalaman beliau yang pernah mewakili negara bagi Pertandingan Tahfiz dan Tarranum di peringkat antarabangsa pastinya dapat memberi manfaat kepada calon-calon Imam Muda dan penonton-penonton secara amnya.

“Kesudian Uztaz Zul untuk menjadi pengacara bagi program ini adalah amat dihargai kerana kami percaya pengalaman beliau sebagai pengacara bagi program interaktif pembelajaran Al-Quran di Astro Oasis; Kalam Suci dapat diaplikasikan ke dalam program Imam Muda di samping ilmu agama yang dimiliki beliau,” tambah Izelan lagi.

Rangkaian program-program Imam Muda akan mula bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) melalui Imam Muda – Ujian pada 24 dan 25 Mei 2010, Isnin dan Selasa, jam 6.30 petang yang akan memaparkan senario menarik yang berlaku di sepanjang sesi uji bakat yang berlangsung di kesemua empat zon yang terpilih.

Penonton juga dapat menyaksikan bagaimana kesemua calon-calon Imam Muda yang terpilih ini mengikuti kelas-kelas dan aktiviti-aktiviti mengikut kaedah dan metadologi yang disediakan di bawah pimpinan dan pemerhatian khusus Mudir (pengetua) dan Mudir (mentor) melalui program Imam Muda – Kapsul pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 6.55 petang.

Pada setiap minggu, calon-calon Imam Muda kemudiannya akan disatukan di dalam program Imam Muda yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam. Program ini bakal menentukan nasib calon-calon Imam Muda sama ada mereka akan terus diserap dan dibimbing bagi menjadi seorang Imam Muda yang terunggul atau mengambil jalan berbeza.

Selain dari bersiaran di saluran rasmi; Astro Oasis (saluran 106); program Imam Muda memberi pendekatan yang berbeza apabila tiga buah saluran dari pakej keluarga yang lain seperti Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105) dan Astro @15 (saluran 109) akan turut menyiarkan episod pertama program Imam Muda serentak pada 28 Mei 2010.

Bukan itu sahaja, Astro Prima dan Astro @15 akan terus memberi sokongan mereka untuk menyiarkan program Imam Muda bagi episod kedua dan ketiga serentak dengan siaran Astro Oasis.

Astro @15 pula akan terus menyokong untuk menyiarkan kesemua episod Imam Muda serentak dengan siaran di Astro Oasis untuk sepuluh minggu.

Izelan mengulas: “Kami ingin memberi dimensi yang lebih besar ke atas program Imam Muda apabila bersepakat untuk menayangkan beberapa episod terpilih di saluran pakej keluarga yang lain kerana ingin mendekati lebih banyak golongan penonton.”

IMAM MUDA adalah sebuah program siri pencarian tentang sekumpulan remaja lelaki Islam yang dihasilkan oleh Astro dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertujuan untuk mencari Imam Muda yang terbaik di Malaysia.

Calon-calon IMAM MUDA yang telah terpilih ini akan dihimpunkan di Asrama Masjid Wilayah Persekutuan selama tiga bulan bagi mempelajari dan memahami tentang hal-hal keagamaan dan kepimpinan Islam dari tokoh-tokoh agama serta pendakwah dan pemimpin Islam terkemuka yang bertauliah dan berpengalaman.

Selain itu, mereka juga dikehendaki untuk menjalani dan mengikuti jadual ketat, peraturan agama, tugas rutin dan pemahaman khusus mengenai tugas-tugas seorang Imam, pemimpin keluarga dan selaku pemimpin masyarakat setempat.

Kesemua calon-calon IMAM MUDA ini bakal diuji setiap minggu dengan latihan amali, praktikal dan tajuk-tajuk agama serta kemasyarakatan dan kepimpinan.

Mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud Al Hafiz telah diamanahkan untuk menjadi Mudir (pengetua) yang akan membimbing calon-calon Imam Muda ini dan dibantu oleh dua orang Murshyid (mentor) iaitu Uztaz Shahrizan Daud At Turabi; Ketua Imam di Masjid Muadz bin Jabal, Taman Setiawangsa dan Uztaz Syed Norhisyam Al Idrus; seorang penceramah bebas yang juga pernah terlibat dalam pelbagai program TV berunsurkan ilmu Islam.

Turut hadir di majlis sidang media ini ialah Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah.

iklan

iklan

Iklan