Air Mata Ibu Iringi Kemenangan Shahir

Diterbitkan: Selasa, 25 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shahir menekupkan kedua-dua belah tangannya ke muka selepas diumumkan sebagai juara AF8. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHE MAT
Shahir menekupkan kedua-dua belah tangannya ke muka selepas diumumkan sebagai juara AF8. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHE MAT

HATI ibu mana yang tidak gembira apabila melihat sendiri kejayaan anaknya di depan mata. Bukan hanya gembira, malah perasaan ibu kepada juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi bercampur-baur.

Selepas Shahir diumumkan sebagai juara, hati Mahanum Osman, 45, bagaikan kaget, terharu, sebak sehingga gagal memberikan respons pada malam itu.

Malah ada yang tertanya-tanya kenapa ibu Shahir tidak naik ke pentas meraikan kemenangan anaknya pada hujung Konsert Akhir AF8 pada Sabtu lalu di Stadium Putra Bukit Jalil.

Ketika menyambut panggilan telefon petang semalam, Mahanum tidak putus-putus mengucapkan kata syukur dengan kemenangan yang diraih oleh anak sulungnya itu.

“Saya tak sangka dia akan menjadi juara. Saya rasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan itu.

“Bila dia diumumkan sebagai juara, saya rasa sangat terharu sebab dia mendapat apa yang diimpikan. Sebab itu saya rasa sebak pada malam itu,” katanya kepada mStar Online.

Orang kata, sejuk perut ibu mengandung. Bukan mahu memuji anak sendiri, Mahanum akui dia rasa sangat bertuah kerana dikurniakan anak seperti Shahir.

“Apa yang orang nampak dia di dalam AF8, itulah sikap sebenarnya. Dia memang seorang yang pemalu seperti opah (nenek) sebelah ayahnya.

“Saya sentiasa nasihatkan Shahir supaya pandai-pandai menjaga diri di tempat orang dan jangan lupa diri kerana banyak dugaan di luar sana. Lebih-lebih lagi bidang yang diceburinya sekarang,” tuturnya ramah.

Anak sulung daripada lima beradik itu bukan sahaja menghormati orang tua, malah dia tidak pernah melawan atau berkasar dengan orang tua. Jika ditegur pun, dia hanya mendiamkan diri seribu bahasa.

“Shahir pandai membuat keputusan sendiri dan berfikiran matang. Saya tak sangka dia dapat berjaya sehingga ke tahap ini dan mempunyai klip video muzik sendiri,” beritahunya yang akan memasak makanan kegemaran Shahir iaitu sambal sotong dan puding laici apabila berjumpa nanti.

Mahanum juga sempat meluahkan perasaan sebaknya tatkala menonton video muzik Shahir di televisyen saat temubual itu berlangsung.

Katanya, dia tidak mampu membendung perasaannya itu lebih-lebih lagi mereka terpisah sejak lebih tiga bulan lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan