Awal Seronok "Nakal" Dalam Samarinda Nokhtah Erna

Diterbitkan: Khamis, 20 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEBELUM tampil dalam slot Samarinda Nokhtah Erna yang bersiaran di TV3 sekarang, kali terakhir hos terkenal, Awal Ashaari berlakon dalam drama ialah Embun Mutiara pada April tahun lalu.

Akui Awal, ini kerana pengacaraan adalah prioritinya manakala berlakon di tempat kedua.

Dia menerima tawaran tersebut kerana ingin meredakan penantian peminat yang sudah lama menunggu lakonannya di TV3.

"Berlakon bukan merupakan kegemaran saya... tetapi kerana peminat. Mereka kata nak tengok saya muncul di TV, dan bukan hanya di filem.

"Lebih-lebih lagi, bila dapat skrip (Samarinda Nokhtah Erna) yang bagus, slot, karakter, pengarah, pelakon yang dibarisi pelakon terkenal dan lama, Awal tidak teragak-agak menerimanya," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Menurut Awal, penggambaran drama itu memakan masa selama sebulan amat menyeronokkan kerana ia diarahkan oleh pengarah pilihannya iaitu Haikal Hanifah.

Katanya, lebih menyeronokkannya ialah watak Shamsul yang dipegangnya adalah nakal dalam jalan cerita itu yang terlalu serius.

"Watak Shamsul ini seorang yang cheeky (nakal) dan akan menyergah orang lain untuk membuatkan orang ketawa dan ceria," katanya.

Mengikut jalan cerita Samarinda Nokhtah Erna, Shamsul ialah kawan karib kepada Erna. Mereka berkenalan sejak kecil sehingga dewasa.

Kemudian mereka belajar di sekolah, kolej dan universiti yang sama. Shamsul sanggup melanjutkan pelajaran di luar negara semata-mata untuk menemankan Erna.

Mereka mengambil kursus yang berbeza tapi belajar di universiti yang sama. Bila selesai pengajian, Erna bekerja dengan bapanya sementara Shamsul menjadi pensyarah.

Secara amnya, hubungan mereka begitu erat sehingga keluarga kedua-dua pihak menganggap Shamsul dan Erna sebagai adik-beradik.

Akhirnya, Erna kahwin dengan orang lain. "Jadi cliffhanger kat situ. Sama ada Shamsul beritahu Erna dia menyayanginya atau diam begitu sahaja iaitu makan hati," kata Awal.

Sementara itu, Awal memberitahu dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana jadual kerja yang padat.

"Bila dapat terlalu banyak pengacaraan, saya sukar menjiwai sesuatu karakter," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia akan mengikut jejak langkah mentornya, Aznil Nawawi yang tetap akan berlakon walaupun sibuk mengacara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan