Rabbani Tubuh Rabbani ‘Junior’

Diterbitkan: Khamis, 13 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rabbani di majlis kesyukuran ulang tahun ke-13 dan sidang media perlantikan Rabbani sebagai duta produk Uzai Marketing di Hotel Singgahsana semalam. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN
Rabbani di majlis kesyukuran ulang tahun ke-13 dan sidang media perlantikan Rabbani sebagai duta produk Uzai Marketing di Hotel Singgahsana semalam. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN

WALAUPUN Ustaz Asri sudah sembilan bulan meninggal dunia, namun ada yang mewarisi bakat nyanyian dan seni muziknya.

Manakan tumpah kuah kalau tak ke nasi, anak Asri yang keempat, Mohd Ilham, 12, mempunyai suara yang sedap dan berbakat seperti arwah bapanya.

Menurut salah seorang anggota Rabbani, Azadan Abd Aziz yang turut dikenali sebagai jurucakap kumpulan nasyid paling popular itu, bakat Ilham mula disedari sejak tiga hingga empat bulan lalu.

“Waktu itu, saya nampak dia boleh bermain piano dan gitar serta belum nampak kebolehan menyanyi. Tetapi baru-baru ini dia terpilih untuk menjadi ketua kumpulan nasyid di sekolahnya.

“Insya-Allah, Rabbani Productions (M) Sdn Bhd sedang dalam proses untuk menubuhkan kumpulan Rabbani ‘Junior’ yang terdiri daripada tujuh orang anak-anak anggota Rabbani termasuk Ilham.

“Kami merancang untuk mencari artis baru di bawah Rabbani Productions selari dengan konsep nyanyian kami dan bertujuan untuk berhibur sambil berdakwah,” kata Azadan ketika majlis kesyukuran ulang tahun ke-13 dan sidang media perlantikan Rabbani sebagai duta produk Uzai Marketing di Hotel Singgahsana semalam.

Menyentuh tentang idea menubuhkan generasi pelapis kumpulan yang popular dengan lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali itu, Azadan berkata ia datang daripada balu arwah, Haliza Shahadan atau mesra dipanggil Jannah.

“Kak Jannah yang memberikan idea untuk menubuhkan Rabbani ‘Junior’. Lagipun anak-anak ini berbakat. Pada hujung tahun ini, mereka akan merakamkan dua hingga tiga buah lagu single.

“Buat masa ini, kita akan tumpukan kepada pembikinan single dahulu untuk melihat kemampuan masing-masing. Antara lagu yang mereka akan nyanyikan adalah lagu hasil ciptaan Ustaz Asri yang masih disimpan dan mungkin juga menyanyikan semula lagu lama Nada Murni,” beritahu Azadan yang turut mengetengahkan bakat anaknya, Mohd Izuan Izzudin,13, dalam kumpulan itu.

Produk Uzai terdiri dari produk penjagaan rumah, penjagaan diri dan penjagaan kenderaan yang menjaminkan kesucian, keselamatan dan keberkesanan.

Syarikat Bumiputera yang terkenal di utara tanah air itu melamar Rabbani pada 16 April lalu dan sebagai permulaan kumpulan ini terbabit dengan beberapa promosi, antaranya Expo Belia Malaysia anjuran Tunas Indah dengan kerjasama Uzai Marketing dan Rabbani di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Sebelum ini Rabbani juga diangkat sebagai duta Halal Gel, Permata Hijrah, PRM Global dan Majalah Asuh. Kini mereka bertanggungjawab memperkenalkan produk Uzai Marketing ke seluruh negara.

Mengulas lanjut aktiviti lain, Rabbani akan menjayakan Expo Usahawan Bestari 2010 bersama Mawi, Aishah, Inteam dan Saujana di Pusat Konvensyen Persada Johor (PKPJ), Johor Bahru, anjuran Johor Corporation pada 21 hingga 23 Mei ini selain mencari bakat baru menerusi pertandingan Nasyid Piala Rabbani. Usaha mereka mendapat sokongan Telekom Malaysia.

Selain itu, Rabbani juga telah membuka sebuah perniagaan baru iaitu Rabbani Travel Tour Sdn Bhd pada Mac lalu.

Azadan bertekad untuk terus memperjuangkan semangat Ustaz Asri dan sentiasa memegang kata-kata arwah iaitu ‘tiada satu noktah pun untuk Rabbani berhenti daripada industri seni ini’.

“Untuk meneruskan tradisi Ustaz Asri yang mudah mesra, kami kena buang sifat malu supaya orang senang untuk bekerjasama dan membantu meningkatkan produk tempatan,” akhirinya sambil tersenyum.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan