Dilema Moral Menulis Skrip Cerita 'Apa Dosaku'

Diterbitkan: Isnin, 10 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rafidah Abdullah (kiri) dan Nik Jassmin Hew adalah penulis lirik drama Apa Dosaku. - Foto THE STAR Oleh RICKY LAI
Rafidah Abdullah (kiri) dan Nik Jassmin Hew adalah penulis lirik drama Apa Dosaku. - Foto THE STAR Oleh RICKY LAI

NAMA Sybil Kathigasu mungkin asing bagi kebanyakan kita tetapi beliau ialah salah seorang wira Perang Dunia Kedua yang tidak diendahkan.

Beliau meraih keunggulan daripada penentangannya terhadap tentera Jepun di Malaya suatu ketika dulu.

Penonton Saluran Astro Citra berpeluang mengenali Sybil secara lebih dekat dengan menonton Suatu Ketika... Apa Dosaku yang bermula siaran pada 5 Mei, pukul 9 malam. Ia mempunyai lapan episod dengan tayangan sebanyak sejam untuk setiap episod.

Untuk mengetahui pembikinan jalan cerita Apa Dosaku, MStar Online menemuramah dua penulis skrip drama tersebut iaitu Nik Jassmin Hew yang menulis skrip untuk episod pertama hingga kelima dan Rafidah Abdullah (episod keenam dan ketujuh).

Jassmin berkata, adalah lebih mudah menulis skrip fiksyen daripada skrip sejarah seperti drama Apa Dosaku.

"Menulis skrip drama ini mencabar kerana saya berdepan dengan dilema moral. Berapa banyak fiksyen yang boleh kita masukkan dalam skrip tersebut dan pada masa yang sama tidak mengubah sejarah?

"Bagaimana untuk menggambarkan karakter mereka dan bagaimana berlaku adil terhadap setiap karakter tersebut," katanya kepada mStar Online di kafe Coffee Bean, Pusat Membeli-Belah Bangsar baru-baru ini.

Bernard Chauly yang juga Pengarah Red Communications Sdn Bhd, syarikat produksi drama ini bersama seorang penulis lagi menulis skrip drama episod keenam, ketujuh dan kelapan.

Berkongsi pendapat yang sama dengan Jassmin, Rafidah menjelaskan, drama Apa Dosaku masih merupakan satu adaptasi walaupun mereka seboleh-bolehnya cuba menggambarkan karakter sebenar.

"Anda tidak boleh menulis skrip itu secara keseluruhannya mengikut sejarah. Misalnya, sewaktu karakter dipenjarakan, anda tidak boleh menggambarkan setiap saat karakter dikurung di dalam penjara.

"Tiada sesiapa akan menontonnya. Anda perlu pilih babak hidup yang ingin digambarkan. Kami kena tulis apa yang relevan selain menyunting cerita-cerita sampingan yang tidak penting," ujarnya.

Apa Dosaku mengisahkan kehidupan seorang wirawati semasa penjajahan Jepun. Sybil Kathigasu, seorang jururawat dan bidan bersama keluarganya, terpaksa melarikan diri ke Papan bila Ipoh ditawan Jepun.

Di situ, Sybil dan suaminya mendirikan klinik untuk merawat orang di Papan. Bila diminta untuk merawat guerila yang menentang Jepun, Sybil memberi kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada perjuangan mereka.

Selepas beberapa tahun, penglibatan Sybil didedahkan kepada Jepun dan dia sekeluarga ditangkap.

Jepun menyeksa Sybil dan suaminya untuk mendapatkan maklumat mengenai operasi gerila, namun mereka tetap dalam pendirian mereka, dan tidak berkerjasama.

Sybil mengalami kecederaan parah tetapi diselamatkan bila Jepun menyerah kalah. Apa Dosaku adalah siri 8 episod yang antara lain dibintangi oleh Elaine Daly sebagai Sybil Kathigasu, Paranee Damodaran (Dr AC Kathigasu), Beto Kushyairi (Mat Yunus), Zahiril Azim (Rahmat), Cheryl Samad (Hamidah) dan Khatijah Tan (Mak Som).

Sementara itu, Jassmin memberitahu, dia memerlukan tempoh masa kira-kira sebulan untuk membuat penyelidikan dan menggunakan tempoh tiga bulan untuk menyiapkan skrip.

Dia merujuk kepada dua buku iaitu No Dram Of Mercy dan Tainted Glory oleh Ho Thean Fook untuk lebih memahami watak Sybil.

"Dalam buku No Dram of Mercy, Sybil menulis tentang kisah hidupnya yang sebenar. Ho pula ialah penolong Sybil. Jadi saya kena menyeimbangkan versi mereka," ujarnya.

Apa pun, Sybil digambarkan seorang wanita yang berani, cekal dan bersungguh-sungguh menyelamatkan banyak nyawa dengan memberi perlindungan kepada rakan dan jiran ketika tentera Jepun mula menerobos Ipoh.

Rafidah melihat Sybil lebih daripada itu kerana jururawat berani itu adalah seorang yang bijak selain percaya kepada keadilan serta Tuhan.

"Dia boleh membuat perancangan. Oleh kerana Jepun telah mengepung bandar ini, bagaimana kita mengatasi halangan ini? Siapakah yang boleh membantu dan memastikan sekeluarganya selamat? Siapa mereka yang dirasakan kurang membantu?

"Dia sangat bijak dan menenteramkan orang di sekelilingi dengan keyakinan tinggi dia mengawal situasi. Semua orang termasuk suami, anak, jiran dan komuniti bergantung kepadanya," jelasnya.

Apa yang lebih penting menurut Rafidah, ialah drama Apa Dosaku dapat mendedahkan seorang tokoh yang hampir dilupakan.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan