Sebutan Kes Tuntutan Saman Artis Aquila, 20, 25 dan 27 Mei

Diterbitkan: Jumaat, 30 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lana, R. Palaya dan Yasmin ketika berada di lobi Mahkamah Majistret, semalam. - Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH
Lana, R. Palaya dan Yasmin ketika berada di lobi Mahkamah Majistret, semalam. - Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menetapkan tarikh sebutan kes tuntutan saman aktres Lana Nodin, Tania Zara dan Yasmin Hani terhadap dua buah syarikat produksi filem tersebut pada 20, 25 dan 27 Mei.

Secondlife Picture Sdn Bhd dan Sketch Seven Sdn Bhd disaman kerana didakwa gagal dan ingkar menjelaskan baki pembayaran untuk lakonan mereka dalam filem terbitan produksi terbabit.

Peguam plaintif, R. Palaya dari Tetuan Palaya & Partners berkata, tuntutan saman Yasmin, Lana dan syarikat pengurusan acara, Aquila Emas telah difailkan pada 18 Mac manakala Tania (22 Mac).

"Jika pihak defendan tidak mengambil apa-apa tindakan pembelaan, kemungkinan besar mahkamah akan membuat penghakiman. Saya percaya masalah ini masih boleh diselesaikan lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yasmin dan Lana hadir di Pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret hari ini.

Palaya berkata, kes tersebut akan didengar di Mahkamah Majistret Sivil 5 dan 7 pada tarikh berkenaan.

Secondlife Picture Sdn Bhd menerbitkan filem Gentayangan yang dibintangi oleh Yasmin dan Lana.

Manakala Sketch Seven Sdn Bhd menerbitkan filem Uncle Usin yang dibintangi oleh Tania.

Sementara itu, Yasmin ketika ditemui di lobi mahkamah menganggarkan dia belum menerima 40 peratus daripada RM30,000 yang dijanjikan.

"Nak kira hampir separuh. Ia boleh dikira jumlah yang besar. Kalau jumlah kecil, boleh kita pejam mata tapi tak seronok lagikan?

"Jadi kita telah tunggu selama dua tahun dan tiada apa-apa kata yang digunakan untuk menenangkan kita kembali. Ini adalah cara terbaik untuk mendapatkan perhatian mereka," katanya.

Yasmin mencelah, bayaran biasanya dibuat selepas promosi tetapi situasi sekarang ialah hasil akhir filem tidak dapat dilihat, tidak ada promosi malah hasil akhir pun tak dapat.

"Basically buat filem yang tak ada tayangan... Bergentayanganlah macam itu," katanya.

Dalam pada itu, Lana yang turut membintangi filem Gentayangan memberitahu, syarikat yang sama turut belum menjelaskan bayaran sebanyak 40 peratus daripada RM22,000 atau RM8,800.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan