Perkahwinan 'Hijau' Amber Chia-Adrian Wong

Diterbitkan: Jumaat, 30 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI
- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 warga media cetak dan elektronik menghadiri resepsi perkahwinan Amber Chia dan Adrian Wong di Hotel Le Meridien pada malam Rabu.

Ia adalah anjuran pusat mutiara, Rafflesia khas untuk media bagi sama-sama meraikan hari bahagia pasangan itu.

Amber bergaun hijau rekaan Khoon Hooi manakala Adrian berkot serba putih serta bertali leher hijau tajaan Lord's Tailor.

Lebih menarik, pengasas Jewellery Circles Sdn Bhd, Winnie Sin berkata, baju, kasut rekaan Bill Keith, earring model bertaraf antarabangsa itu bernilai lebih RM2 juta kerana kesemuanya bertatahkan mutiara dan ambar tajaan Rafflesia.

Pasangan Amber-Adrian yang berpakaian warna hijau dan putih melengkapi latar Sultan Ballroom yang dijadikan sebuah taman hijau.

Ia selaras dengan tema resepsi perkahwinan malam tersebut iaitu Noce Verte (dalam bahasa Perancis bermaksud 'The Green Wedding').

Menurut perancang perkahwinan, Bill Bora, tema hijau dipilih kerana perkahwinan selalu diadakan di taman pada musim panas.

"Majlis malam ini akan cuba menonjolkan kehijauan persekitaran dan pemakanan sihat kepada para hadirin," katanya.

Panorama dewan amat menarik dengan bebola bunga ros warna putih dilihat bergantungan dari langit-langit dewan.

Singgahsana Raja Sehari pula direka bentuk seakan-akan terletak di bawah rimbunan pokok kapas.

Majlis yang bermula tepat 8.30 malam itu menyaksikan Amber dan Adrian diarak masuk ke dewan sambil diiringi alunan muzik orkestra.

Model itu diapit oleh artis-artis jemputan seperti Ning Baizura, Daphne Iking, Alyah, Kelly Jagan, Suki Low Sook Yee dan Diana Danielle.

Artis-artis seperti Ning, Diana, Alyah dan Suki turut mendendangkan lagu-lagu romantis kepada pasangan tersebut.

Lebih romantis, Suki sempat mengajak pasangan Amber-Adrian berdansa mengikut rentak lagu 'Yue Liang Tai Piao Wo De Xing' (bulan mewakili hati saya).

Para tetamu menikmati makanan ala Perancis yang disediakan oleh Chef Antoine Rodriguez dari hotel tersebut.

Antaranya, pembuka selera, sup, in-between dan teh hijau. Untuk memastikan suasana Perancis lebih dirasai, kek perkahwinan itu direka bentuk berkonsepkan Menara Eiffel yang ditaja Yomie Bakery.

Amber-Adrian dan rakan-rakan artis merancakkan persembahan malam itu dengan menari cha-cha-cha sambil Ning mendendangkan lagu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan