Yasmin Hani, Lana Nordin, Tania Zara Saman Dua Produksi Filem

Diterbitkan: Khamis, 29 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SETELAH dua tahun sabar menanti, Aquila Emas bersama tiga artisnya, Yasmin Hani, Lana Nordin dan Tania Zara menuntut baki bayaran RM23,800 daripada dua penerbit filem iaitu Secondlife Picture Sdn Bhd dan Sketch Seven Sdn Bhd.

Mereka memutuskan untuk memfailkan satu tuntutan saman terhadap dua buah syarikat produksi filem tersebut kerana gagal dan ingkar menjelaskan baki pembayaran untuk lakonan mereka dalam filem terbitan produksi terbabit.

Langkah Aquila Emas untuk memperoleh baki bayaran daripada dua penerbit filem tersebut iaitu Secondlife Picture Sdn Bhd untuk filem Gentayangan dan Sketch Seven Sdn Bhd untuk filem Uncle Usin sejak 2008 menemui jalan buntu. Keempat-empat plaintif akan memfailkan tuntutan saman terhadap kedua-dua defendan melalui Tetuan Palaya & Partners.

Tuntutan saman tersebut akan difailkan hari ini (Khamis), di Pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur, pukul 3.00 petang.

Beberapa bulan lalu, seorang artis Aquila Emas iaitu Tony Eusoff telah memfailkan saman berjumlah RM500,000 terhadap syarikat tekstil, Gulatis Exclusive Sdn Bhd. Walau bagaimanapun kes tersebut telah diselesaikan di luar mahkamah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan