Halim, Zizi Saran Bayar Cukai LHDN Sebelum Terlambat!

Diterbitkan: Khamis, 29 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Halim memasukkan sampul cukai pendapatan ketika memeriahkan kempen membayar cukai LHDN di LHDN cawangan Jalan Duta semalam. Turut serta adalah Zizi. - Foto oleh KAMARUL ARIFFIN
Halim memasukkan sampul cukai pendapatan ketika memeriahkan kempen membayar cukai LHDN di LHDN cawangan Jalan Duta semalam. Turut serta adalah Zizi. - Foto oleh KAMARUL ARIFFIN

WALAUPUN pengguna perkhidmatan e-Filing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang diperkenalkan pada tahun 2004 kini telah mencecah angka satu juta orang tetapi sebenarnya masih ramai yang belum menyedari tentang pentingnya membayar cukai.

Atas sebab itulah, LHDN sentiasa melancarkan kempen untuk mengingatkan orang-ramai agar segera menghantar Borang BE Tahun Taksiran 2009 secepat mungkin dan tidak menunggu sehingga saat akhir pada Jumaat ini, 30 April untuk membuat pembayaran.

Bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang ramai untuk membayar cukai, stesen radio Suria FM turut sama menyahut seruan kerajaan dengan mengadakan kempen membayar cukai.

Sepanjang dua minggu ini, Suria FM telah mengadakan promo on-air bagi mengingatkan orang-ramai tentang pentingnya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membayar cukai.

Tiga penyampai Suria FM iaitu Halim Othman, Zizi dan Kak V turut memeriahkan kempen tersebut di LHDN Jalan Duta semalam.

Menurut Halim yang turut membayar cukai secara e-Filing, setiap orang yang membayar cukai ibarat telah melunaskan satu tanggungjawab mereka kepada negara.

“Kadangkala ada yang berasa agak susah untuk membayar cukai tetapi sebenarnya tidak. Sekarang ini terdapat empat kaedah untuk membayar cukai iaitu secara e-Filing, pos, pandu lalu atau datang terus ke mana-mana cawangan LHDN.

“Walau apa keadaan sekalipun, pengguna tidak boleh lari dari membayar cukai dan pihak LHDN akan cuba memberi kerjasama untuk menyelesaikan tunggakan pengguna setakat yang mampu,” katanya kepada mStar Online di LHDN Jalan Duta semalam.

Tambahnya, pengguna yang merasa bersalah kerana belum membayar cukai sepatutnya tampil melunaskan tanggungjawab itu.

“Kalau kita sudah buat salah, jangan takut untuk berhadapan dengan masalah itu kerana LHDN boleh membantu menyelesaikan kemelut cukai kita.

“Jadi, jangan takut untuk ke LHDN. Saya bukan sahaja mengingatkan kepada orang ramai malah termasuk untuk diri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Zizi menganggap inisiatif yang dilakukan oleh Suria FM itu sebagai satu khidmat masyarakat sekaligus memeriahkan pengguna yang membayar cukai di situ.

“Saya berasa teruja kerana pertama kali dapat menyaksikan sendiri orang ramai membayar cukai dan dapat berjumpa dengan kakitangan LHDN. Dari situ, kami dapat berkongsi tentang banyak perkara yang kita sendiri tidak ketahui tentang LHDN,” beritahunya.

Pengguna yang ingin membayar cukai menggunakan sistem e-Filing di tingkat 8, LHDN Jalan Duta boleh berbuat demikian mulai pukul 8 pagi sehingga 10 malam sehingga Jumaat ini.

LHDN turut menasihatkan pembayar cukai yang belum mengemukakan borang BE 2009 agar menggunakan sistem e-Filing yang boleh didapati di laman web https://e.hasil.gov.my atau melalui laman web rasmi LHDN www.hasil.gov.my.

Kegagalan mengemukakan borang tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai masalah mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan 2009 atau ingin mendapatkan penerangan mengenai e-Filing boleh datang ke mana-mana pejabat LHDN berhampiran yang perkhidmatannya dilanjutkan sehingga jam 6 petang bermula semalam hingga Jumaat ini.

LHDN juga boleh dihubungi di talian 1-300-88-3010 bagi mendapatkan maklumat lanjut, tambah kenyataan itu.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan