Gerak PGM Di Slot Skuad TV9 Padat Dengan Aksi Kepolisan

Diterbitkan: Ahad, 25 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Karektor hero yang disandang oleh Ashraf Muslim selaku Inspektor Reza dilihat mampu memberi tarikan di dalam drama ini. - Foto Ihsan TV9
Karektor hero yang disandang oleh Ashraf Muslim selaku Inspektor Reza dilihat mampu memberi tarikan di dalam drama ini. - Foto Ihsan TV9

SELEPAS kehebatan drama bersiri Akademi Polis yang telah bersiaran selama 6 musim, kini TV9 muncul dengan sebuah lagi program berbentuk kepolisan mengisi slot Skuad iaitu Pasukan Gerakan Marin atau singkatannya PGM.

Drama bersiri musim pertama ini telah mewarnai kaca televisyen anda pada setiap Rabu jam 9.30 malam bermula 17 Mac 2010.

Jika Akademi Polis menceritakan tentang pelajar-pelajar yang ingin menjadi pegawai polis, dan juga kehidupan setelah keluar daripada pusat latihan di PULAPOL, PGM pula menceritakan tentang gambaran sebenar tugasan polis marin.

Pastinya ramai yang tidak tahu kewujudan Polis Marin selama lebih 60 tahun dan mungkin ada juga yang keliru menyangkakan ia diposisikan di bawah pasukan Tentera Laut Di Raja Malaysia.

Polis marin memainkan peranan yang penting dalam memelihara undang-undang, keselamatan dan ketenteraman negara terutamanya di kawasan perairan seperti di persisiran pantai, sungai dan laut.

Tugas mereka adalah mengesan, menyiasat dan mendakwa pesalah-pesalah yang terlibat dalam jenayah seperti penyeludupan, aktiviti lanun dan sebagainya. Selain itu, mereka juga mengawasi aspek perlesenan dan penguatkuasaan untuk aktiviti laut seperti penangkapan ikan, pelancongan di pulau-pulau kecil dan sebagainya.

Dengan adanya polis marin ini, bukan sahaja mereka dapat menjamin keselamatan maksima di pantai, malah mereka juga turut menaikkan imej pasukan polis dan sekaligus memberi kesan positif kepada sektor pelancongan dan perindustrian di negara ini.

Dengan ini, penonton secara tidak langsung dapat melihat dengan jelas dan memahami tanggungjawab yang disandang oleh polis marin negara kita yang cekal mengawasi dan mencegah jenayah yang semakin meluas.

Mengandungi 13 episod, PGM dijangka dapat memberi inspirasi kepada generasi masa kini untuk menceburkan diri di dalam bidang marin.

Karektor hero yang disandang oleh Ashraf Muslim selaku Inspektor Reza dilihat mampu memberi tarikan di dalam drama ini bersama pelakon-pelakon handalan lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan (Asisten Komisioner (ACP) Faiz), Adzriefaiz Adzlan (Leftenan Koperal Shamir) dan Linda Hashim (Inspektor Nurhana).

Lain-lain termasuk Fizz Fairuz (Deputi Supritendan Haikal), Ruby Ooi (Koperal Mee Ing), Ramasundran (Sarjan Rama), Zul Huzaimi (Nabil), Che Mat Raja Lawak (Ali Bado), Jessie Lim (Kim Seng) dan ramai lagi.

Drama ini dimulakan dengan suasana tegang apabila sebuah bot yang membawa pendatang asing telah didapati belayar di perairan Malaysia. Maklumat diterima dari nelayan yang terserempak dengan bot yang mencurigakan.

Nelayan telah menghubungi Markas Pasukan Gerakan Marin yang berpengkalan di Pulau Indah, Klang. Markas telah mengarahkan Pegawai Operasi yang diketuai oleh Inspektor Reza untuk bertindak.

Dengan kecekapan Inspektor Reza dan anak buahnya, bot pendatang asing itu berjaya dikesan.

Malangnya, tekong bot telah menyedari kedatangan bot Pasukan Gerakan Marin.

Mereka berpatah balik ke lautan antarabangsa. Walaupun bot itu tidak berjaya ditahan, namun usaha pendatang-pendatang asing itu telah gagal untuk mendarat di pesisir pantai Malaysia.

Sekembalinya ke Markas, Inspektor Reza telah diperkenalkan dengan Konstabel Shamir yang baru ditugaskan di Unit Pasukan Gerakan Marin.

Ketika berkenalan dengan anggota-anggota yang lain, Lans Koperal Shamir menceritakan tentang dirinya yang dibesarkan oleh keluarga angkat dan menyertai PDRM semata-mata untuk melepaskan dirinya dari belenggu masalah. Namun lama-kelamaan, dia merasakan kerjaya sebagai anggota polis sesuai dengan jiwanya yang sentiasa mahukan cabaran. Lans Koperal Shamir merupakan seorang yang keras kepala, tetapi mempunyai semangat kental dan berani.

Drama ini juga memperkenalkan watak seorang orang awam yang dikenali sebagai Ali Bado, seorang pekerja rencam (handyman) yang mengambil upah membantu Persatuan Nelayan yang berpengkalan tidak jauh dari Pengkalan Pasukan Gerakan Marin itu.

Dia juga berperanan sebagai pemberi maklumat kepada Inspektor Reza. Semasa menjalankan operasi, selain dari maklumat yang didapati dari hasil risikan, Inspektor Reza juga banyak mendapat bantuan dari Rakan Cops.

Mereka ini terdiri dari pengusaha restoran makanan laut, Kim Seng, pengerusi persatuan nelayan, Haji Zabir dan juga penduduk-penduduk sekitar kawasan.

Sebagai pegawai operasi, Inspektor Reza amat mengambil berat tentang kebajikan dan masalah anak-anak buahnya terutamanya menasihati mereka supaya sentiasa berada di dalam keadaan bersedia.

Walaupun datang dari keluarga yang berada, dia tetap merendah diri dan meletakkan tugas dan kerjaya sebagai prioriti tertinggi di dalam hidupnya. Segala rintangan, cabaran dan permasalahan ini dapat diatasi dengan semangat juang serta kental yang tersemat di dada mereka.

Walaupun drama ini penuh dengan aksi lasak, ia tidak ketinggalan menyelitkan kisah cinta tiga segi antara Inspektor Reza, Lans Koperal dan Inspektor Nurhana.

Lans Koperal Shamir cuba memikat Inspektor Nurhana lakonan Linda Hashim dan pada masa yang sama, Inspektor Reza juga telah menaruh hati terhadap Inspektor Nurhana.

Walaupun lemah-lembut dan mudah mesra dengan orang sekeliling, Inspektor Nurhana mempunyai sikap yang amat tegas dan tidak mahu mencampur-aduk tugas dan persoalan peribadi.

Inspektor Nurhana juga tidak mahu sebarang hubungan intim dengan rakan setugas. Siapakah antara kedua mereka yang berjaya memikat Inspektor Nurhana?

Untuk menyaksikan kesudahan drama penuh aksi ini, jangan lupa untuk menontonnya bersama keluarga pada setiap Rabu, jam 9.30 malam hanya melalui TV9, saluran Di Hatiku.

iklan

iklan

Iklan