WCOPA Bakar Semangat Iz OIAM

Diterbitkan: Ahad, 18 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Iz (kanan) ketika pertandingan akhir WCOPA di Istana Budaya pada 10 April lalu. - Foto ihsan IZ
Iz (kanan) ketika pertandingan akhir WCOPA di Istana Budaya pada 10 April lalu. - Foto ihsan IZ

JIKA tahun lalu, dua penyanyi terkenal, Sarah Raisuddin dan Bob telah mewakili negara untuk Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) Road To Hollywood bagi kategori vokal di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Tahun ini, giliran Iz atau nama sebenarnya Khairullah Ezuan Sulaini untuk menyertai kategori dan pertandingan yang sama di LA pada Julai ini.

Selain Iz, dua lagi peserta yang turut terpilih dalam pertandingan itu adalah Cheryl Koh dan Nurshila Amir Amzah atau Shila yang telah berlangsung pada 10 April lalu di Istana Budaya.

Iz akan ke LA bagi mewakili negara di pertandingan berprestij tersebut dan bakal bersaing dengan peserta-peserta daripada 40 hingga 50 negara.

Dengan pencapaian yang dimiliki sekarang, Iz akui dirinya semakin diterima dalam industri ini.

Jika dulu, setelah mendapat tempat kesembilan dalam program realiti One In A Million (OIAM), Iz akui orang ramai kurang mengenali bakatnya.

“Alhamdulillah, saya berasa gembira dan positif dengan apa yang dikecapi sekarang. Selama ini orang hanya memandang saya dari segi penampilan berbanding bakat nyanyian saya.

“Apabila terpilih dalam kategori vokal di WCOPA, saya rasa ia bersyukur kerana ia bukan calang-calang kategori. Malah saya rasa tak sabar untuk menunjukkan bakat saya yang sebenarnya boleh menyanyi,” kata Iz kepada mStar Online.

Dalam perkembangan lain, lagu Gonna Be Alright Club Mix ciptaan IZ yang digunakan dalam filem The Successor: Private & Confidential terbitan MetroBrava Films India telah terpilih sebagai calon kategori Best Collaboration di dalam AVIMA 2010 Music Awards bertanding dengan calon-calon lain dari 20 buah negara sekitar Asia.

“Saya amat bersyukur, kerana tahun 2010 telah membawa banyak kenangan manis kepada saya. Ini kerana, saya telah berpeluang memenuhi jemputan membuat persembahan dan promosi di tiga lokasi luar negara setakat ini seperti India (Bangalore, Chennai dan Goa), Sepanyol (Barcelona & Malaga) serta di kota London sempena London Fashion Week di Somerset House pada Februari lepas.

“Saya akan kembali ke India bulan depan untuk kembali mempromosikan runut bunyi filem The Successor: Private & Confidential terbitan MetroBrava Films India di New Delhi, Hyderabad, Mumbai, Bangalore, Chennai & Goa. IZ juga akan di bawa ke Cannes Film Festival oleh pihak MetroBrava pada bulan Mei ini bagi aktiviti promosi lanjut,” ujarnya lagi.

Selepas mengeluarkan EP Gonna Be Alright edaran Sony Music Malaysia pada 2008, IZ juga sedang merakamkan album terbarunya, Gemini di mana ianya akan lebih mengetengahkan material-material dalam Bahasa Melayu.

Di samping itu dia sedang dalam perancangan dengan pihak-pihak penaja untuk membuat showcase istimewa di Kuala Lumpur dan Singapura berkemungkinan pada Jun ini di samping mempromosikan lagu-lagu terbarunya yang akan dimuatkan dalam Gemini.

“Saya akan menyanyikan lagu Melayu terbaru saya yang bertajuk Jauh secara eksklusif dengan iringan band pada setiap persembahan. Lagu Jauh juga akan dipersembahkan buat pertama kalinya dalam rancangan Malaysia Hari Ini pada 20 April ini,” beritahunya.

Lagu A.L.O.N.E, juga salah satu lagu yang akan terkandung di dalam album Gemini dari IZ juga sedang diputarkan di Australia, India, Sepanyol dan Malaysia yang kini menduduki tangga keempat hitz.FM.

Selain menjadi duta terbaru produk-produk I.T TOSHIBA, Iz telah dipilih untuk menjadi jurucakap bagi Kempen Anti Merokok dengan sokongan Kementerian Kesihatan yang bakal dilancarkan pada 23 April ini. Baru-baru ini Iz juga telah bersetuju untuk menjadi duta Voices of Audio Technica yang juga telah lama bekerjasama dengan Pop Shuvit dan artis Cina, Karen Kong.

Para peminat boleh berinteraksi dengan IZ melalui laman blog www.imborntosingsongs.blogspot.com.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan