Kami Bukan Kumpulan ‘Miming’ – Bad Boyz

Diterbitkan: Selasa, 13 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bad Boyz tampil dengan mini album Bad Boyz yang memuatkan tiga buah lagu ciptaan sepenuhnya oleh Adam. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Bad Boyz tampil dengan mini album Bad Boyz yang memuatkan tiga buah lagu ciptaan sepenuhnya oleh Adam. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

PELBAGAI gelaran yang diberikan kepada kumpulan Bad Boyz sepanjang kemunculan mereka di bawah pengurusan Aico Entertainment, milik Adam AF.

Bukan sahaja digelar sebagai klon Adam, malah tiga orang anak muda yang dianggotai oleh Ry’an, Marlon dan Yandy itu turut didakwa sebagai kumpulan miming.

Namun begitu, kumpulan yang berasal dari Sabah itu menegaskan mereka bukan kumpulan miming dan boleh menyanyi. Kebolehan mereka dalam bidang tarian juga tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Memang kami ada menerima banyak respon yang mengatakan kami menyanyi secara miming ketika membuat persembahan.

“Tetapi kami bukan kumpulan yang menyanyi secara miming. Kami akui memang kami ada menyanyi secara miming sekiranya sistem bunyi menganggu persembahan kami.

“Namun kadangkala, kami ada juga menggunakan teknik on top iaitu nyanyian secara langsung dicampur dengan nyanyian latar,” kata Marlon kepada mStar Online.

Jelas Bad Boyz, dengan bantuan Adam selaku guru vokal dan tarian yang dipimpin oleh koreografer Ry’an.

“Kami akan belajar menari dan menyanyi apabila ada masa lapang kerana masing-masing mempunyai kerja sambilan di luar.

“Kebiasaannya kami praktis selepas pukul 12 tengah malam,” kata Ry’an atau nama sebenarnya Rayndra Jubidi, 22, mengenai kumpulan yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini, mereka selalu tampil sebagai penari latar untuk persembahan Adam. Namun, sejak kumpulan ini tertubuh secara rasmi pada 2008, mereka mula serius menyertai industri hiburan ini.

Sejak Jun tahun lalu, Bad Boyz tampil dengan album mini berjudul Bad Boyz yang memuatkan tiga buah lagu seperti Bila Kau Tiada, Sayang Ku Janji dan Pacar Pisau Cukur di mana ketiga-tiganya digubah sepenuhnya oleh Adam.

Album tersebut akan dilancarkan pada Mei ini sekaligus bersempena dengan pelancaran syarikat Aico Entertainment.

Menariknya, lagu-lagu itu menggabungkan tempo rancak, pertengahan rancak dan perlahan (pop balada). Pendek kata, kumpulan ini lebih menumpukan kepada konsep pop shuffle.

“Kami memilih konsep pop shuffle kerana konsep seperti itu belum pernah diketengahkan di Malaysia.

“Setelah berbincang dengan Adam, dia memberikan idea itu kerana konsep seperti ini sedang popular di kalangan penggemar muzik sekarang,” ujar Marlon atau nama sebenarnya Mailin Antikoh, 22.

Di sebalik nama Bad Boyz, mungkin ada yang memberikan persepsi negatif kepada nama tersebut namun sebenarnya bad memberikan maksud ‘budak ada disiplin’.

Belajar jaga disiplin

Sudah namanya budak ada disiplin, pasti ramai yang tertanya-tanya sama ada mereka ini betul-betul berdisiplin atau tidak.

Kata Yandy atau nama sebenarnya Eryande Sahat, 26, mereka perlu dan belajar untuk menjaga disiplin. Setakat ini, mereka tidak pernah mendengar aduan tentang masalah disiplin yang berlaku di kalangan mereka.

Selain disiplin, mereka juga berhasrat untuk menjayakan mana-mana persembahan yang dianjurkan. Buktinya, mereka bukan sahaja mampu menyanyikan lagu berentak shuffle, malah lagu berentak pop yeh yeh mengikut majlis yang terlibat.

Tidak lama lagi, mereka turut akan menjayakan persembahan jelajah dengan Adam di seluruh Malaysia.

Jual album secara dalam talian

Album Bad Boyz berharga RM10 boleh didapati secara dalam talian menerusi laman blog badboyztrulyfans.blogspot.com.

Melalui internet, mereka akui kumpulan itu dapat mengumpul peminat dari dalam dan luar negara.

Misalnya, peminat di Brunei dan Singapura. Jika ditanya, peminat dari mana yang lebih ramai?

“Sudah tentu dari Sabah,” jawab mereka bertiga sambil ketawa.

Selain blog, peminat boleh berhubung dengan Bad Boyz menerusi laman Facebook iaitu B.A.D. Boyz Truly Fans.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan