Padah Alunan Dangdut Buat Alif Tersingkir

Diterbitkan: Isnin, 12 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Penyingkiran Alif mungkin disebabkan oleh alunan dangdut yang disampaikan pada lagu Hanya di Radio dalam konsert, malam Sabtu lalu. - Foto oleh KEVIN TAN
Penyingkiran Alif mungkin disebabkan oleh alunan dangdut yang disampaikan pada lagu Hanya di Radio dalam konsert, malam Sabtu lalu. - Foto oleh KEVIN TAN

DEBARAN Akademi Fantasia 8 (AF8) minggu keempat yang diumumkan malam tadi menyaksikan peserta Muhammad Alid Kadim atau Alif tersingkir daripada persaingan apabila mendapat undian terendah dengan 9.46 peratus.

Perubahan yang cuba ditampilkan oleh anak muda dari Kuala Lumpur itu menerusi alunan dangdut pada lagu popular kumpulan 80an Headwind, Hanya di Radio ternyata mengundang padah apabila disifatkan oleh pengetua Norman Abdul Halim sebagai faktor penyingkiran Alif.

"Saya beranggapan bahawa penyingkiran Alif mungkin disebabkan oleh perubahan pada alunan lagu Hanya di Radio yang disampaikan olehnya pada malam Konsert Sabtu lalu.

"Mungkin perubahan yang cuba ditampilkan oleh Alif tidak dapat diterima oleh pengundi lantas memberi kesan pada peratusan pengundiannya.

"Nasibnya mungkin agak malang kerana perubahan pada alunan lagu itu membawa padah kepada kedudukannya dalam persaingan musim ini.

"Kami cuba untuk mencari kelainan dan mewarnai pentas dengan suntikan elemen dangdut pada lagu itu. Bagaimanapun, keputusan untuk membuat perubahan pada lagu itu bukanlah diputuskan oleh Alif.

"Ia adalah keputusan kolektif daripada pihak fakulti untuk mencari perubahan pada susunan dan mood lagu tersebut. Malah, Alif sendiri pada awalnya ada menyuarakan keraguannya kepada saya mengenai perubahan lagu itu.

"Namun, dia tetap menyahut cabaran itu dan membawakan lagu dengan baik. Mungkin agak malang bagi Alif kerana perubahan itu mengundang padah kepadanya," jelas Norman.

Bercakap mengenai kualiti persembahan Alif pada malam Konsert AF Sabtu lalu, Norman berkata, keunikan dan kelainan pada vokal anak muda berusia 19 tahun itu membanggakannya.

Malah, Alif juga telah membuktikan dirinya seorang pelajar yang versatil apabila berjaya membawakan pelbagai genre lagu saban minggu.

"Jika dinilaikan pada mutu persembahan, Alif adalah seorang pelajar yang versatil dan berpotensi besar. Sebagai pengetua, saya rasa sedih dan terkilan dengan penyingkiran Alif kerana dia memiliki vokal yang istimewa dan unik dalam AF musim ini.

"Apa pun, penyingkiran ini bukan titik noktah buat Alif. Ini bukan penghujung buat kariernya kerana saya pasti akan merangkakan sesuatu untuknya dalam jangka masa panjang. Insya-Allah, kita tunggu dan lihat," kata Norman yang terkilan dengan penyingkiran Alif.

Sementara itu, Alif turut menganggap penyingkirannya pada minggu keempat itu mungkin disebabkan oleh perubahan alunan lagu yang dipersembahkan pada malam konsert lalu. Bagaimanapun, dia akur dan telah cuba menampilkan persembahan sebaik mungkin.

"Saya akur dengan keputusan ini walaupun jujurnya saya tidak jangka akan meninggalkan pentas AF seawal ini.

"Mungkin perubahan yang saya persembahkan dengan mengalunkan lenggok dangdut dalam lagu itu tidak mendapat perhatian pengundi," kata Alif.

Penyingkiran Alif terus menyaksikan kemaraan lapan lagi peserta ke minggu yang seterusnya (kelima) minggu depan.

Selepas Debaran AF diumumkan malam tadi, Adira mengungguli kedudukan dengan 15.17 peratus, Shahir (13.24), Maulana (11.03), Daus (10.75), Ain (10.62), Nat (10.07) dan Iwan (9.99).

Seorang lagi peserta yang berada di kedudukan dua terendah Farina lebih bernasib baik apabila mendapat peratus undian lebih tinggi dengan 9.66 peratus.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan