Prelude AIM17 Beri Penghormatan Pada Bintang Ternama Tanahair

Diterbitkan: Jumaat, 9 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bienda (kiri) dan Faizal Tahir
Bienda (kiri) dan Faizal Tahir

MENJELANG kemuncak program anugerah paling berprestij di Malaysia – Anugerah Industri Muzik ke-17, ntv7 memberikan penghormatan kepada empat artis terkenal yang paling banyak meraih trofi dalam rancangan empat episod, Prelude AIM17.

Mula bersiaran pada 8 April pada jam 8.30 malam, rancangan 30-minit ini menjulang tinggi penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza komposer dan penyanyi berkaliber dikenali sebagai ‘Sifu’ M.Nasir; Ratu Jazz, Dato’ Sheila Majid dan pelopor muzik rock, Amy & Search.

Dalam setiap episod, penyanyi muda dan berbakat – Bob AF2, Shila OIAM, Faizal Tahir, Bienda, Alif Satar, Noryn Aziz, Azlan The Typewriter dan Dina akan memukau anda dengan dendangan empat lagu yang pernah memenangi pelbagai anugerah dengan penyampaian mereka yang tersendiri dan dibantu oleh dua orang penyanyi latar beserta pengiring muzik yang menggunakan 6 jenis instrumen muzik.

Merupakan mini konsert terbuka, rancangan ini dihoskan oleh jelitawan bernama Yasmin Hani, yang turut akan menawarkan penonton bingkisan latar belakang evolusi yang dicetuskan oleh artis ini dan liku perjalanan AIM selama 16 tahun.

Episod pertama menyaksikan Bob dan Shila menyanyikan lagu hebat yang paling banyak meraih pengiktirafan oleh Dato’ Siti Nurhaliza iaitu Bisakah, Debaran Cinta, Satu Cinta Dua Jiwa, Jerat Percintaan dan Ku Mahu.

Manakala dalam episod kedua, Faizal dan Bienda akan mempersembahkan lagu komposisi M.Nasir yang menyerlahkan stail uniknya - Juwita Citra Terindah, Tanya Sama Itu Hud Hud, Sang Pencinta, Suatu Masa serta Raikan Cinta.

Pastinya, ia merupakan dua episod yang penuh bertenaga dan bakal menawan hati penonton ntv7!

Ratu Jazz, Dato’ Sheila Majid akan diberi penghormatan pada episod ketiga yang menyaksikan penyanyi jazz ternama Noryn Aziz dan Alif Satar mendendangkan lagu popular oleh Sheila Majid terdiri daripada Jatuh Cinta, Mengapa Kasih, Ku Mohon, Embun dan Bersatu Hati.

Episod ke-empat dihangatkan lagi dengan Lan Typewriter dan Dina mempamerkan versatilitinya dalam menyanyikan lagu Amy & Search - Aku, Laila Namamu Teratas, Fantasia Bulan Madu, Gita Rama Sita serta lagu evergreen sepanjang zaman - Isabella.

Kamarul Zamli Ramly, Penerbit Eksekutif Prelude AIM17 turut melahirkan perasaan sukacitanya kerana berupaya menghasilkan sebuah mini konsert tribute yang juga julung kali diadakan.

“AIM telah ditubuhkan semenjak 16 tahun yang lalu dan kami telah menyaksikan kemunculan pelbagai bakat baru yang datang dan pergi. Namun, empat orang bintang ternama ini, Dato’ Siti Nurhaliza, M. Nasir, Dato’ Sheila Majid dan Amy & Search terbukti mempunyai kelebihan yang tersendiri di samping berjaya meraih jutaan penghargaan dan sehingga kini, mereka masih berdiri teguh di dalam industri seni Malaysia," katanya.

"Prelude AIM17 pastinya merupakan platform yang terbaik untuk menghargai jasa mereka yang juga telah menempa nama di persada seni antarabangsa. Selain itu, apa yang menarik adalah kerana penonton berpeluang menonton bakat muda menggalas cabaran dalam mempamerkan kemahiran mereka menyanyikan kembali lagu-lagu ini.

"Kami juga amat berbangga kerana berjaya mengumpul barisan artis muda yang terbaik yang turut dibantu oleh pengiring muzik dan tentunya, program ini akan meninggalkan memori.”

Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul berkata: “Kami amat berbangga kerana berpeluang memainkan peranan penting dalam industri muzik Malaysia. Selain memberikan penghormatan kepada mereka yang layak, Prelude AIM17 juga merupakan sumber ilham kepada muka baru untuk terus maju di persada seni tempatan dan luar negara. Semenjak 10 tahun yang lalu, ntv7 sangat komited dalam menyediakan platform buat artis tempatan untuk terus berkembang, dan kami berharap peminat dan pengemar industri Muzik Malaysia akan sentiasa memberi sokongan kepada industri seni tempatan. Tampil sebagai penyiar rasmi untuk AIM selama sebelas tahun yang berturut-turut, kami turut berharap Prelude AIM17 akan terus menghiburkan penonton sehingga menjelang malam kemuncak AIM17 pada 2 Mei 2010.”

Jangan lupa temujanji anda bersama ntv7 setiap Khamis 8hb April 2010, 8.30 malam – 9.00 malam, hanya di ntv7, penyiar rasmi AIM17. Untuk siaran ulangan, anda boleh menontonnya di www.ntv7.com.my melalui Catch-up TV.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan