Gabenor Sumatera Barat Minta 'Teratak Minang' Ditunda

Diterbitkan: Jumaat, 9 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ATAS permintaan Gabenor Sumatera Barat, Marlis Rahman, pementasan teater Muzikal Teratak Minang di Istana Budaya terpaksa ditunda kepada 30 April hingga 2 Mei ini.

Menurut Penerbit Global Network Entertainment Sdn Bhd, Zaharudin Abd Wahab atau Den Wahab, dia terpaksa akur dengan keputusan itu memandangkan teater bagi projek Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu berusaha untuk memartabatkan bahasa dan budaya serumpun antara Malaysia dan Indonesia.

“Memandangkan Menteri KPKK, Datuk Seri Dr Rais Yatim mempunyai komitmen di Washington, Amerika Syarikat pada 16, 17 dan 18 April ini, jadi kita terpaksa tangguhkan kerana tidak manis sekiranya tetamu kehormat dari Indonesia datang tetapi beliau tiada di sini.

“Jadi, apa gunanya kita lakukan semua ini sekiranya tidak mampu mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia tambahan pula pertama kali kita membuat teater menggabungkan dua buah negara ini,” kata Den kepada mStar Online semalam.

Tambah Den, dengan penundaan tersebut, produksi teater itu mampu memanfaatkan masa yang ada untuk mencari penaja dan mendapatkan dana untuk mendermakan kepada mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia.

Selain itu, mereka boleh memantapkan persembahan dari segi gerak tari dan nyanyian. Yang pasti, penonton yang hadir akan dihidangkan dengan gimik dan magis.

Menariknya, penonton teater yang menampilkan lebih 20 lagu bahasa Minang dan lagu loghat Negeri Sembilan itu turut dihiburkan dengan lagu seperti Ayam Den Lapeh, Badinding, Bapisah, Bukan Bacarai dan Baju Kuruang nyanyian penyanyi terkenal Indonesia, Elly Kassim, serta Eddy Silitonga yang akan menyanyikan Bunga Tanjung, Doa, Jatuh Cinta, Mama dan Ubekkan Denai.

Menyentuh tentang sambutan jualan tiket, lebih 80 peratus tiket yang terjual. Malah tiket berharga RM30 untuk ketiga-tiga malam itu telah habis dijual.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan terutama daripada pihak sekolah di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Sebab itu kita menambah satu lagi pementasan iaitu pada 1 Mei, pukul 3 petang.

“Penonton yang telah membeli tiket pada 16 hingga 18 April boleh datang ke kaunter BoxOffice Istana Budaya untuk menukar tarikh atau dikembalikan wang mulai hari ini (semalam). Mereka perlu membawa bersama tiket atau bukti pembelian,” katanya.

Teater itu turut dijayakan Leez Rosli, Razali Hussein, Ebby Yus, Razali Buyong, Ally Noor dan Mastura.

Penonton boleh menonton pementasan teater Muzikal Teratak Minang di Panggung Sari, Istana Budaya dari 30 April, 1 dan 2 Mei ini, jam 8.30 malam. Manakala pada 1 Mei dua pementasan akan diadakan bermula jam 3 petang dan 8.30 malam. Tiket dijual pada harga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150.

Tempahan dan maklumat lanjut, hubungi Box Office di talian 034026 5558 atau layari: www.istanabudaya.gov.my.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan