Keputusan Undian SMS Parti HIP TV Memuaskan

Diterbitkan: Ahad, 4 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SITI NURHALIZA
SITI NURHALIZA

DEBARAN sudah pun berakhir dan keputusan untuk anugerah-anugerah telah pun diumumkan pada malam Parti HIP TV yang berlangsung di Kelab Shah Alam pada 25 Mac lalu.

Pada malam yang penuh santai itu, pelbagai gelagat artis dapat dilihat dan tidak ketinggalan juga dengan artis yang datang lambat akibat hujan lebat dan kesesakan lalu lintas.

Malah yang paling tidak masuk akal apabila ada artis yang terlupa untuk menghadiri acara malam itu. Maklumlah Parti HIP TV ini baru pertama kali dianjurkan oleh TV9 dan tidak semeriah dan berprestij seperti anugerah besar yang lain.

Apa yang pasti, semua yang hadir dapat merasakan keseronokan dan meriahnya apatah lagi dengan pengacara yang berpengalaman seperti Richie Rachman dan Noor Khiriah.

Kehangatan Parti HIP TV ini bermula dengan persembahan daripada Fabulous Cats dengan persembahan lagu Cinta Kosmik. Lebih menghiburkan apabila keputusan diselang-selikan dengan keputusan pemenang bagi kesepuluh kategori yang dipertandingkan.

Parti HIP TV ini agak berbeza dari acara anugerah yang pernah diadakan sebelum ini kerana ia mengetengahkan komponen santai yang lucu dan mencuit hati.

Apa yang penting semua yang hadir dapat menghiburkan diri sambil bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan di dunia hiburan. Itulah tujuan utama acara sebegini diadakan iaitu mengeratkan silaturrahim antara artis lama dan baru termasuklah hubungan erat antara rakan-rakan media serta wargakerja TV9 sendiri.

Parti HIP TV ini juga diadakan sebagai hadiah istimewa ulang tahun TV9 yang keempat buat penontonnya yang telah setia sejak penubuhan stesen televisyen ini.

Walaupun baru menjangkau umur 4 tahun, namun TV9 telah menunjukkan begitu banyak pembangunan dan perkembangan yang menjadikannya selaras dengan stesen televisyen unggul yang lain.

Keadaan menjadi semakin gamat apabila kategori Artis Bikin Panas diumumkan, sudah pasti Azwan Ali merupakan pemenangnya. Walau bagaimanapun, ianya merupakan anugerah bersahaja dan sekadar hiburan sahaja.

Keputusan bagi 10 kategori yang dipertandingkan juga amat memuaskan dan calon-calon terpilih juga menunjukkan sikap yang positif kerana ianya merupakan anugerah santai, jenaka dan bersahaja.

Ada malam itu, Fara Fauzana agak terkejut apabila memenangi kategori Artis HIP (Highly Intelligent Popular). Kesemua keputusan adalah berdasarkan seratus peratus daripada SMS dan beliau mendapat undian tertinggi berbanding dengan pesaing lain seperti Upin & Ipin, Datuk Chef Wan, Afdlin Shauki dan Adibah Noor.

Begitu juga bagi kategori Artis Contoh yang dimenangi oleh Datuk Siti Nurhaliza yang amat aktif menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara Malaysia selain mempunyai ciri-ciri penghibur berkaliber sehingga begitu ramai artis lain menjadikannya sebagai contoh.

Malam menjadi semakin rancak dengan penyampaian anugerah untuk kategori-kategori lain. Walaupun ada beberapa pemenang yang tidak dapat menghadirkan diri pada malam itu atas sebab-sebab tertentu, namun pemenang lain begitu sporting untuk ke atas pentas dan mengambil anugerah mereka.

Bukan itu sahaja, malam itu juga telah menyaksikan beberapa persembahan yang amat menghiburkan oleh Alif Satar (Jangan Nakal), The Fabulous Cats (Cinta Kosmik), Wada - Idola Kecil 1 dan Dayana - Idola Kecil 2 (Ku Merindu & Dua Hati Jadi Satu), Shila OIAM (Ada Saja), Yasin (Salsabila), Black (Aku Rindu Sayang Kamu) dan Adibah Noor (Cahaya).

Selain itu, artis-artis lain juga turut menghadirkan diri sebagai penyampai anugerah dan juga untuk memeriahkan lagi acara tersebut iaitu Sharifah Shahira, Sazzy Falak, Irma Hasmie, Nabil, Nassier Wahab, Fizo Omar, Kamal Adli, Lisa Surihani dan ramai lagi.

Parti HIP TV ini telah dijadikan sebagai landasan untuk mengiktirafkan kejayaan artis tanah air daripada segi keperibadian dan kerjaya mereka serta mendorong pembaharuan dalam kreativiti stesen TV9.

Semua pemenang yang terpilih adalah berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) orang ramai. Cara unik ini memberi makna yang mendalam kerana ia adalah undian peminat sendiri yang menentukan artis mana yang sesuai mendapat anugerah tersebut.

Anugerah-anugerah yang dipertandingkan pula bukanlah untuk mengaut kontroversi, tetapi sekadar hiburan untuk orang ramai yang mengikuti dan meminati seni hiburan.

Walaupun ini kali pertama acara seperti ini diadakan di Malaysia, namun ia merupakan satu sukses dan amat diharap ia dapat dijadikan sebagai acara tahunan TV9. Tahniah diucapkan kepada yang menang dan juga semua yang terlibat dalam menjayakan Parti HIP TV ini.

Berikut adalah senarai pemenang: Artis Mat Romeo - Jehan Miskin Artis Kiut Miut - Stacy Artis Bibir Seksi - Farawahida Artis Hip (Highly Intelligent Popular) - Fara Fauzana Artis Tak Harap Pada Rupa - Black Artis Melaram - Shila Oiam Artis Hot Mama - Rozita Che Wan Artis Contoh - Datuk Siti Nurhaliza Artis Awet Muda - Rosyam Noor Artis Bikin Panas - Azwan Ali

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan