Dynas Belanja RM8 Ribu Nanti Kelahiran ‘Orang Baru’

Diterbitkan: Isnin, 29 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dynas menantikan kelahiran bayi sulungnya menjelang 22 April ini. - Foto ihsan DYNAS
Dynas menantikan kelahiran bayi sulungnya menjelang 22 April ini. - Foto ihsan DYNAS

BERSERI-SERI wajah terbaru aktres cantik Dynas yang sedang menantikan kelahiran bayi sulungnya.

Dia dijangka menerima kelahiran bayi sulungnya menjelang 22 April ini. Meskipun sedang sarat mengandung, dia masih ligat menerima tawaran berlakon drama mahupun filem.

Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, buat masa ini memang dia memperlahankan segala kerja yang membabitkan dunia seni. Bagaimanapun, dia tidak mampu menghalang orang lain untuk memberikan tawaran kerja kepadanya.

“Pada bulan Mei depan, ada yang menawarkan saya untuk berlakon beberapa buah drama namun saya tidak boleh bersetuju kerana waktu itu saya sedang berpantang.

“Selepas itu, saya akan tumpukan kepada butik dan mula berlakon drama. Pada hujung tahun ini, saya ditawarkan untuk berlakon sebuah filem. Setakat ini, saya rasa tiada masalah untuk menerimanya.

“Walaupun sudah ada anak nanti, saya akan meminta ibu saudara saya yang menjaganya,” kata Dynas yang baru selesai membuat majlis melenggang perut mengikut stail barat atau dipanggil baby shower pada dua minggu lalu.

Pada minggu lalu, majlis doa selamat pula menyusul. Kiranya, Dynas tidak melupakan budaya Melayu walaupun mungkin ada yang mempertikaikan dirinya yang melakukan majlis baby shower yang mengikut budaya barat.

Terdapat beberapa nama bayi yang telah dipilih oleh suaminya, Mohd Hafizy Mohd Hafiz walaupun jantina bayi belum diketahui.

Ditanya mengenai perasaannya saat menantikan kelahiran itu tidak sampai sebulan lagi, Dynas akui takut dan bimbang menghantui dirinya. Yang penting, dia perlu menjaga kesihatan diri dan bayi di dalam kandungannya.

“Nasib baik sepanjang hamil ini, saya tidak pernah mengidam yang bukan-bukan, tidak alahan dan tidak banyak songel.

“Semasa pertama kali hamil dulu, mood saya agak teruk tetapi kali ini tidak pula. Begitu juga dengan sakit belakang yang sudah tiada. Sebaliknya, sakit belakang itu terkena kepada suami saya.

“Orang kata, mungkin sebab jantina anak saya kali ini berlainan iaitu kalau dulu perempuan tetapi yang kedua ini lelaki,” ceritanya kepada mStar Online.

Disebabkan tidak mahu terlalu memikirkan tentang jantina bayi yang bakal lahir itu, Dynas lebih gemar membeli pakaian berwarna putih, kuning dan hijau.

Semasa majlis baby shower tempoh hari, dia juga banyak menerima hadiah untuk bayi termasuk beg hospital yang mengandungi minyak gamat, ubat-ubatan lain dan barangan untuk menyambut kelahiran bayi pemberian kakaknya, Evelyn.

“Bagaimanapun, suami saya tidak suka sekiranya ada orang yang hendak berikan baju yang telah digunakan oleh bayi mereka kepada anak kami. Dia mahu belikan semuanya yang baru.

“Tetapi kami berbelanja dengan berekonomi juga dan menghabiskan wang dalam anggaran RM8,000 termasuk belanja untuk masuk rumah baru.

“Kami fikir barangan bayi hanya digunakan sekejap sahaja, jadi semua barangan yang dibeli itu adalah buatan Malaysia. Saya jenis yang asal nampak cantik, mesti nak beli. Tetapi kakak saya selalu nasihatkan agar tidak terlalu boros,” beritahu pelakon filem Apa Kata Hati itu.

Dalam perkembangan lain, Dynas turut tidak sabar menantikan kedainya, DNA Fashion Café yang akan beroperasi di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya mulai 22 April ini.

Perniagaan itu menggabungkan butik dan kafe yang turut menjual kek, manisan, kuih-muih tradisional, kopi, teh dan coklat.

Selain itu, Dynas juga menguruskan sebuah lagi butiknya di Sri Hartamas yang telah lama ditubuhkan bersama rakan perniagaannya, Awal Ashaari.

Namun, tidak lama lagi dia akan memperkenalkan rakan perniagaan terbarunya selepas Awal menarik diri daripada perniagaan itu.

Bagi yang berminat untuk membeli koleksi pakaian yang dijual di butik Dynas, layari blog dynasmokhtar.blogspot.com atau www.dna.com.my.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan