Pasangan Lisa - Farid Bagaikan Pengganti Erra - Yusri

Diterbitkan: Rabu, 24 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SELEPAS filem Mr. Cinderella 10 tahun dahulu, kini pengarah Ahmad Idham kembali dengan filem bergenre komedi romantik berjudul Semerah Cinta Stilleto.

Filem yang mengisahkan percintaan antara dua darjat versi 2010 mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi jalan ceritanya yang dekat di hati penonton.

Menurut Ahmad Idham Ahmad Nadzri cerita cinta komidi antara dua darjat menceritakan tentang kehidupan realiti yang sering berlaku dikalangan anak muda sekarang.

"Cerita ini ringan sebab saya tahu sekarang kita dilimpahi dengan cerita-cerita yang berat di pawagam, jadi kemunculan Semerah Cinta Stilleto sebagai cerita yang sesuai untuk seisi keluarga.

"Cerita ini berkisarkan antara dua darjat antara kehidupan penduduk di pangsapuri dan kehidupan mewah di rumah banglo yang mana mereka hanya dipisahkan dengan sebatang jalan raya.

"Saya ambil masa 10 tahun untuk buat cerita ini kerana bagi saya buat cerita yang ringan seperti ini lebih susah berbanding cerita aksi yang berat. Saya takut mesej tidak sampai kepada penonton dan penonton akan jadi bosan dengan cerita tersebut," jelasnya yang kini menantikan empat filemnya yang bakal menemui penonton.

Menurut Idham, filem ini menyampaikan mesej percintaan yang tidak membelakangi keluarga tetapi mengorbankan cinta mereka demi keluarga dan masa depan.

"Saya tidak mahu buat cerita yang melambangkan cinta itu buta. Bagi saya cinta buta itu hanya mendatangkan kesan yang buruk kepada pencinta.

"Lagipun filem adalah medium untuk kita memberi pengajaran. Saya mahu mereka menonton dan meneladani cerita cinta ini," katanya.

Dari segi pemilihan pelakon pula, Idham menyifatkan gandingan Lisa Surihani dan Farid kamil adalah pasangan yang paling serasi pada era ini.

"Saya dapat banyak maklum balas dari penonton yang mahu gandingan Lisa dan Farid setelah filem I'm Not Single empat tahun lalu. Saya nampak keserasian mereka menghidupkan watak cinta.

"Saya nampak mereka seperti Erra dan Yusri pada 10 tahun dahulu. Susah untuk cari pasangan hero dan heroin yang ada keserasian macam ini," terangnya yang menganggarkan kutipan Semerah Cinta Stilleto bakal mencecah kutipan box office melebihi filem Syurga Cinta terbitan MIG production dengan kutipan filem komidi cinta tertinggi iaitu 2.5 juta.

Penerbit David Teo turut mengakui filem ini adalah filem ringan yang mampu menarik golongan remaja ke pawagam. Mereka ada pilihan untuk menonton cerita yang tidak terlalu sarat dengan mesej.

"Saya tidak sasarkan banyak mencecah kutipan 2juta adalah sudah dikira berjaya bagi filem komidi romantik. Cerita ini susah nak target penonton yang datang sebab skopnya kecil berbanding cerita aksi dan seram.

"Bagaimanapun saya harapkan ia mampu mengatasi kutipan Syurga Cinta yang kini paling tinggi untuk jangkamasa enam tahun.

"Gandingan Lisa dan Farid adalah permintaan penonton sendiri, bagi saya selagi penonton mahukan mereka saya akan terus gandingkan. Selepas ini sudah ada filem seterusnya untuk lisa dan Farid berjudul Cinta 1,2,3" terang David.

Filem yang mengisahkan kehidupan bahagia Siti Laila (Stila) yang dilimpahkan dengan kemewahan bertemu dengan seorang pemuda bernama Leto yang hidup dalam keadaan serba sederhana. Percintaan mereka mendapat tentangan keluarga Stilla yang mementingkan kehidupan mewah.

Stilla gembira kerana dapat berkenalan dengan keluarga Leto yang memberinya erti kesempurnaan hidup berkeluarga dan disebabkan itu keluarga Stilla merasa tidak senang dan cuba memisahkan mereka.

Dengan bantuan Leto, Stilla akhirnya berjaya dipisahkan dan beberapa tahun selepas itu takdir menemukan mereka kembali.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan