Syafie Berat Hati Tinggal Keluarga Demi PLKN

Diterbitkan: Selasa, 23 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ANAK tunggal pasangan Naswip Abu Nawas, 47, dan Noorsiah Ahmad, 44, itu berat hati untuk meninggalkan kedua ibu bapanya apabila mendapat tawaran ke Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Selama, Perak pada 28 Mac ini.

Itu perasaan pertama yang dirasai oleh aktor berbakat Syafie Naswip atau nama sebenarnya Mohd Syafie Naswip, 18, apabila mendapat tahu berita itu.

Baginya, mungkin perasaan itu biasa dihadapi oleh orang lain namun asing bagi dirinya.

“Hati saya rasa seperti tidak mahu pergi. Bukan saya tak suka menyertai program itu tetapi sebab saya merupakan anak tunggal dalam keluarga.

“Tetapi perasaan saya tidaklah terlalu sedih. Lagipun, saya bukannya anak manja. Cuma kadangkala tu saya suka mengusik mak.

“Insya-Allah, sebelum pergi ke sana, saya akan berikan sesuatu kepada mereka bagi mengurangkan sedikit beban apabila saya tiada sepanjang dua bulan setengah ini,” beritahunya kepada mStar Online.

Selain itu, pelakon filem Mukhsin dan Talentime itu juga akan melunaskan semua penggambaran drama seperti siri Jidin untuk TV3. Dia memegang watak Fendi dalam drama 13 episod itu.

Ditanya mengenai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya baru-baru ini, Syafie hanya menjawab ringkas: “Alhamdulillah.”

Menyentuh tentang perjalanan akademiknya selepas ini, Syafie berkata dia sudah mengisi borang permohonan ke institut pengajian tinggi dan memilih jurusan Media Massa sebagai pilihan utama.

“Saya tidak pasti lagi sama ada hendak menyambung pelajaran dalam bidang apa. Ikutkan, saya mahu menyambung pelajaran dalam jurusan lakonan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Tetapi apabila difikirkan semula, buat apa saya nak ulang belajar semula tentang lakonan sedangkan saya sudah terlibat dengan seni lakonan ini.

“Lagipun, saya rasa bidang ini tidak ada jaminan. Jadi, lebih baik saya memilih bidang lain,” katanya yang turut minat melukis.

Ibunya pernah meluahkan kemahuannya untuk melihat Syafie bergelar seorang doktor pada suatu hari nanti. Tetapi bagaimana, dia merupakan seorang penakut darah.

Namun mungkin tiada yang tahu, dia sebenarnya turut cenderung untuk bekerja di belakang tabir dalam sesebuah produksi seperti bergelar penyunting atau jurukamera pada suatu hari nanti.

Sementara itu, ketika diajukan soalan tentang seni lakonan, Syafie akui mahu mencuba pelbagai watak selain watak yang membuatkan penonton menangis.

“Seperti drama Jidin, saya berlakon watak pelajar kolej yang skema dan sentiasa dikawal oleh ibunya lakonan Didie Alias.

“Dalam drama ini, pertama kali saya melakonkan watak komedi. Memandangkan saya masih baru, pelakon-pelakon lain seperti Didie, pengarah Emi Suffian dan krew banyak membantu,” beritahunya yang turut berlakon dalam iklan komersial seperti Silky Girl ketika berusia 16 tahun.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan