Nabil Ganti AC Mizal Untuk 'Cuci The Musical 2'

Diterbitkan: Selasa, 23 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nabil akan menggantikan AC Mizal.
Nabil akan menggantikan AC Mizal.

KEHEBATAN naskah 'Cuci The Musical 1' akan diulang pada pertengahan tahun ini.

Kalau dulu watak SiTan dibawa oleh pengacara popular AC Mizal, kini watak itu akan digalas oleh pendatang baru Nabil Ahmad. Begitu juga dengan watak Adibah Nor akan diserahkan kepada penyanyi Jaclyn Victor.

Dalam satu temubual eksklusif, penerbit dan pelakon Hans Isaac memberitahu dia mempunyai alasan kenapa kedua pelakon asal AC Mizal dan Adibah Nor akan diganti.

"Perkara ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Lagipun, kami menjual jenama 'Cuci The Musical' bukan nama individu semata-mata.

"Sebelum ini, kesemua gandingan pelakon yang mantap menguatkan lagi teater ini. Setelah membuat beberapa perbincangan dan sesi audition, kami bersetuju mengambil Nabil dan Jaclyn," kata Hans yang masih enggan memberi komen tentang sejauh mana kekeruhan perhubungannya dengan AC Mizal.

Jelasnya lagi, isu perselisihan faham antara dia dan AC Mizal akan dijawab kemudian.

"Saya akan jawab semua persoalan yang pernah dimainkan media pada hari sidang akhbar nanti. Tumpuan saya kini adalah untuk teater 'Cuci The Musical 2' akan datang," kata Hans.

Ditanya apa yang mendorongnya memberi peranan penting kepada Juara Raja Lawak Musim Kedua, Nabil sedangkan aktor itu sedang menghadapi saman ekoran sikapnya terhadap filem, 'Lu Fikirlah Sendiri', Hans berkata dia percaya memberi peluang kedua kepada Nabil.

"Apa yang berlaku kepada Nabil adalah kesilapan Nabil sendiri dan perkara ini sudah pun saya terangkan kepadanya.

"Saya juga sudah memberi amaran kepadanya agar tidak mengulangi kesilapan lalu. Kami telah mengadakan perbincangan dari hati ke hati dan rasanya tidak perlu saya terangkan apa yang dibincangkan...," jelas pemilik syarikat produksi Tall Order Productions Sdn Bhd (TOPSB).

Bagi Hans, apa yang penting ialah bakat yang ada pada Nabil dan juga Jaclyn Victor.

"Nabil berbakat besar. Sayang kalau bakatnya dibiar begitu saja. Saya harap gandingan Nabil bersama Awie, bersama saya dan Afdlin akan mengulangi kejayaan yang lepas," kata Hans.

Skrip 'Cuci The Musical 2' juga akan ditulis mengikut watak Nabil dan Jaclyn.

"Seperti musim, setiap skrip ditulis untuk setiap watak. Jadi untuk kali ini, watak Nabil dan Jaclyn akan diberi skrip berbeza," jelas Hans yang akan melaburkan RM2 juta lebih untuk pementasan kali ini.

Katanya lagi, "Pementasan kali ini akan menampilkan sesuatu yang berbeza.

Teater 'Cuci The Musical 2' ini bakal menampilkan pelakon-pelakon seperti Awie, Hans Isaac, Nabil, Vanida Imran, Harith Iskandar, Jaclyn Victor dan ramai lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan