Amy Akui Susah Untuk Bermonolog

Diterbitkan: Jumaat, 19 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Amy akui sedikit tertekan dengan konsertnya yang bakal diadakan di Istana Budaya. Foto The Star Oleh LOW LAY PHON
Amy akui sedikit tertekan dengan konsertnya yang bakal diadakan di Istana Budaya. Foto The Star Oleh LOW LAY PHON

KONSERT Suatu Masa Amy yang bakal berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 26-28 Mac ini bakal menampilkan kelainan dengan mempersembahkan monolog oleh Raja Rock itu.

Penampilan Amy yang berlainan dengan konsert-konsertnya sebelum ini pastinya memberikan kejutan kepada peminatnya kerana akan menyaksikan dia berentap di pentas berprestij itu.

"Persembahan kali ini adalah sebuah konsert yang begitu berbeza jika dibandingkan dengan konsert-konsert sebelum ini.

"Lagipun konsert ini akan berlangsung di platform yang berbeza," ujar Amy selepas ke udara di Radio Suria FM pagi semalam.

Walaupun memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang seni suara, namun Amy akui agak susah baginya untuk menyampaikan monolog bagi konsertnya di IB.

"Menyanyi dan menyampaikan monolog adalah sesuatu yang berbeza, memang agak susah sebenarnya untuk bermonolog.

"Ogy banyak mengajar saya untuk menyampaikan monolog tersebut. Sehingga sekarang, saya masih belum membuat latihan untuk lagu-lagu yang akan dinyanyikan malam tersebut, tetapi menumpukan kepada monolog dulu.

"Monolog tersebut menceritakan mengenai permulaan kerjaya saya seorang penyanyi rock sejak mula sehingga ke hari ini," kata bapa kepada pelakon Nabila Huda.

Menurut Amy, Konsertnya itu akan berlangsung selama 1 jam 30 minit dengan menampilkan 11-14 buah lagu.

"Saya tidak mahu persembahan yang terlalu lama, cukup dengan satu jam setengah sahaja. Jika terlalu lama, peminat akan berasa bosan.

"Konsert itu akan menonjolkan saya bereksperimentasi dengan muzik dan lagu-lagu saya," kata Amy.

Selain itu, Amy memberitahu penjualan tiket untuk konsert tersebut juga berjalan dengan lancar dan menerima sambutan dari pelbagai peringkat umur.

Penganjur persembahan sulungnya di pentas berprestij tersebut adalah Mentari Channel Network dan IB dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Saksikan Suatu Masa Amy Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan pada 26 hingga 28 Mac di Istana Budaya (IB), dengan tiket berharga RM40, RM60, RM80, RM120,dan RM150.Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-4149 8600, atau layari laman web www.ticket2u.biz.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan