'Sebutan Syariah' Paparkan Semua Kes Unik Dan Pelik

Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rancangan Sebutan Syariah  tampil dengan segmen baru
Rancangan Sebutan Syariah tampil dengan segmen baru "Aduan Syariah" dan pengacara barunya Abu Talib Husin. Foto The Star Oleh ART CHEN

KES syariah yang unik dan segala aduan berkenaan syariah kini boleh disaksikan dalam rancangan Sebutan Syariah yang sudah sampai musim kelima kini.

Program yang semakin mendapat tempat di hati penonton bakal menemui audien pada 26 Mac ini sebanyak 13 episod menerusi saluran 106, Astro Oasis. Rancangan yang berdurasi 30 minit itu akan bersiaran pada pukul 7.30 petang setiap hari Jumaat dengan menampilkan tiga segmen yang merangkumi beberapa Kes Syariah, kes syariah yang unik dan pelik serta segmen terbaru Aduan Syariah.

Bagi segmen pertama, beberapa kes akan dipaparkan bagi tatapan audien selain memberikan pendedahan mengenai perundangan syariah negara.

Manakala bagi segmen kedua, akan menampilkan kes syariah yang unik dan pelik serta diselang selikan dengan ulasan pihak yang profesional dalam bidang perundangan.

Seterusnya segmen ketiga yang juga segmen baru diperkenalkan untuk siri kelima ini pula bakal menampilkan Aduan Syariah.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, rancangan ini merupakan antara lingkungan lima terbaik yang mendapat sambutan ramai selain program paling lama di saluran 106 itu.

"Sebutan Syariah sudah sampai musim kelima, ia mula diperkenalkan sejak Astro Oasis mula beroperasi pada tahun 2007.

"Rancangan ini adalah sebagai pelopor saluran gaya hidup keluarga Islam selain dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat kita mengenai perundangan syariah. Lagipun masyarakat kita sememangnya tidak tahu mengenai perkara tersebut.

"Tambahan pula, sekarang ini banyak kejadian dan jenayah dalam bidang syariah. Sedikit sebanyak, dengan wujudnya rancangan ini boleh memberikan penunjuk arah kepada individu yang terlibat," kata Izelan.

Sementara itu, menurut penerbit rancangan, Wan Kamarudin Wan Ibrahim, rancangan Sebutan Syariah musim kelima bukan sahaja memberikan pendedahan dalam perundangan syariah, tetapi turut menjadi platform kepada pihak yang tertindas untuk tampil menyelesaikan masalah berhubung undang-undang syariah.

"Masyarakat kita sebenarnya mempunyai tanggapan negatif sekiranya menyebut sahaja mahkamah. Perkara ini berlaku kerana tiada pendedahan dan kurang pengetahuan.

"Rancangan ini bukan untuk mengaibkan sesiapa, tetapi kita mahu bongkar mengenai permasalahan yang terpaksa ditanggung sesetengah individu.

"Menariknya, melalui segmen terbaru itu, pihak kami akan membuat rakaman ketika berbicara dengan mangsa dan akan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka," kata Wan Kamarudin.

Pengacara Baru

Selain menguar-uarkan segmen terbaru dalam rancangan Sebutan Syariah, pihak Astro Oasis juga turut mengumumkan pengacara baru bagi rancangan tersebut.

Selepas empat musim bersiaran, kali ini Sebutan Syariah akan menampilkan pengacara baru, Abu Talib Husin bagi mengambil alih tugas Akhtar Sahari.

Menurut Wan Kamarudin, pertukaran pengacara adalah untuk memberikan nafas baru selain menonjolkan kelainan dalam rancangan yang sudah empat musim bersiaran di Astro Oasis.

"Dengan penampilan pengacara baru, saya harap dapat memberikan sesuatu pembaharuan kepada audien. Pengacara yang sebelum ini bukan tidak bagus, tapi pihak kami membuat keputusan dengan merehatkannya sekejap.

"Saya yakin dengan Abu Talib kerana dia mempunyai pengalaman mengendalikan rancangan Akademi Al-Quran dan rancangan Nasi Lemak Kopi 'O'. Penampilannya juga sesuai dengan rancangan itu," ujar bekas pengacara Edisi Siasat itu.

Sementara itu, Abu Talib ketika ditemui memberitahu, dia menerima tugasan sebagai pengacara baru Sebutan Syariah kerana merasakan ia sebahagian tanggungjawabnya kepada masyarakat untuk memberikan pendedahan mengenai undang-undang syariah.

"Saya gembira dapat laksanakan tanggungjawab seperti 'guru' untuk memberikan pendidikan dan pengetahuan kepada orang ramai.

"Jika dibandingkan dengan tugasan saya semasa mengendalikan Akademi Al-Quran dulu adalah berbeza, kerana rancangan itu adalah sebuah rancangan realiti TV.

"Saya harap dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya itu dengan baik," ujar bapa kepada dua orang anak.

Abu Talib juga berharap, tugasannya sebagai pengacara dalam rancangan Sebutan Syariah musim kelima itu tidak dibanding-bandingkan dengan pengacara terdahulu.

"Saya akan kendalikan rancangan itu dengan cara sendiri, tidak perlu untuk membandingkan saya dengan pengacara dulu.

"Sudah pasti kami berdua mempunyai perbezaan dalam mengendalikan rancangan itu. Saya berharap dapat memberikan yang terbaik sepanjang mengendalikan rancangan itu," kata Abu Talib yang bekerja sepenuh masa sebagai koordinator.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan