Imam Muda Astro Akan Ditawar Jawatan Imam Masjid WP

Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Majlis pelancaran Imam Muda di Palace of The Golden Horses pada 11 Mac lalu.
Majlis pelancaran Imam Muda di Palace of The Golden Horses pada 11 Mac lalu.

SETELAH mencipta sejarah penyiaran, menjadi saluran TV pertama di rantau ini dengan siaran berita secara langsung dari Kota Suci Mekah sepanjang musim Haji tahun lalu, kini saluran gaya hidup Islam, Astro Oasis (saluran 106) terus mengorak langkah apabila menghasilkan sebuah lagi program memecah tradisi dengan rancangan terbaru Imam Muda!

Imam Muda adalah sebuah program siri pencarian tentang sekumpulan remaja lelaki Islam yang dihasilkan oleh Astro dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertujuan untuk mencari Imam Muda yang terbaik di Malaysia.

Individu yang terpilih bakal dihimpunkan di sebuah asrama selama tiga bulan bagi mempelajari dan memahami tentang hal-hal keagamaan dan kepimpinan Islam dari tokoh-tokoh ugama serta pendakwah dan pemimpin Islam terkemuka yang bertauliah dan berpengalaman.

Bakal imam-imam muda ini akan menjalani dan mengikuti jadual ketat, peraturan agama, tugas rutin dan pemahaman khusus mengenai tugas-tugas seorang Imam, pemimpin keluarga dan selaku pemimpin masyarakat setempat.

Kesemua individu ini bakal diuji setiap minggu dengan latihan amali, praktikal dan tajuk-tajuk agama serta kemasyarakatan dan kepimpinan.

Senator Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran memuji pihak Astro yang berani dalam membuat pelaburan yang besar bagi memartabatkan elemen keagamaan di sebuah stesen penyiaran yang berprestij dan bertaraf dunia seumpama ini.

“Saya melihat program siri pencarian Imam Muda ini nanti bukan sahaja akan berupaya untuk mengukir paradigma baru dalam alternatif hiburan bercorak keagamaan di negara kita tetapi juga dapat mengangkat martabat dan profesyen Imam itu sendiri di mata masyarakat.

"Saya juga penuh optimis bahawa program ini dapat menatijahkan keputusan yang optimum kepada semua pihak dan percaya ia dapat menarik minat ramai anak-anak muda malahan golongan dewasa juga ke arah mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kepimpinan masyarakat serta corak dan gaya penerbitan yang lebih interaktif dan menarik,” kata Datuk Seri Jamil.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata, “Sejajar dengan visi kerajaan untuk mengembangkan dan memantapkan lagi industri komunikasi dan multimedia, Astro amat gigih dalam mengumpul dan mencipta pelbagai pengisian kandungan tempatan di Malaysia melalui salurannya yang pelbagai.

“Jangka usia Astro Oasis yang bakal memasuki tahun ketiga pada bulan Oktober tahun ini telah memberi aspirasi kepada kami untuk mengadakan sebuah program siri pencarian yang terulung dan seumpamanya kerana ingin terus memainkan tanggungjawab sebagai pelopor saluran gaya hidup famili Islam dalam menyampaikan nilai-nilai positif dari sudut kerohanian dan pengetahuan.

"Tercetusnya evolusi untuk menerbitkan program seperti Imam Muda adalah di antara testimonial kami menerbitkan program-program ilmiah dan tidak tertumpu kepada elemen hiburan semata-mata.

"Hasrat kami dalam penerbitan Imam Muda ialah untuk memberi platform agar dapat memartabatkan status Imam dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang perlu dipikul serta menjadi pemangkin kepada kelahiran imam muda yang versatil dan relevan kepada komuniti,” tambah Zainir lagi.

Di antara insentif menarik yang bakal menanti Juara Imam Muda ialah penajaan penuh biasiswa di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi dan tawaran sebagai jawatan Imam di salah sebuah masjid utama di Wilayah Persekutuan berserta sebuah kereta.

Bukan itu sahaja, Juara Imam Muda juga bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah komputer riba Apple Macpro di samping pakej menunaikan haji.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pelapis dan penyambung warisan serta memikul tanggungjawab sebenar sebagai seorang Imam, anda dijemput hadir sesi temuduga yang akan diadakan seperti berikut dari jam 8 pagi hingga 1 petang:

26 – 27 Mac 2010-Pusat Pentadbiran Islam Negeri,Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, Terengganu

2 – 3 April 2010,-Masjid Zahir Negeri Kedah, Alor Setar, Kedah

10 - 11 April 2010-Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, Johor

17 – 18 April 2010-Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur

Sesi Ujian dan temubual ini terbuka kepada semua lelaki berwarganegara Malaysia yang beragama Islam dan berusia di antara 18 hingga 27 tahun. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R di samping boleh membaca Surah Al-Fatihah, Surah Lazim dan mempunyai pengetahuan agama Islam.

Siri pencarian Imam Muda ini bakal bersiaran di saluran rasmi Astro Oasis (saluran 106) bermula 27 Mei depan. Butir-butir lanjut mengenai program-program akan diumum pada sidang media akan datang.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan