Shila Terkilan Sikap Stesen Radio Tempatan

Diterbitkan: Rabu, 17 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shila tetap memperjuangkan lagu-lagunya walaupun kurang mendapat sambutan.
Shila tetap memperjuangkan lagu-lagunya walaupun kurang mendapat sambutan.

BIARPUN sudah 11 tahun bergelar anak seni, namun namanya seakan terhalang untuk melonjak dan dikenali ramai.

Kemenangannya di tempat kedua pentas One In Million 2 (OIAM) sudah membuktikan Nur Shahila Amir Hamzah atau dikenali sebagai Shila bukan seorang yang tidak berbakat dalam bidang nyanyian.

"Susah untuk saya cakap, ini kerana semuanya bergantung kepada rezeki saya. Mungkin peluang untuk saya lebih menonjolkan dalam bidang ini terlalu kurang.

"Walau apa pun, saya tetap berusaha untuk memberikan sesuatu yang terbaik supaya orang akan memberi tumpuan kepada lagu-lagu saya," kata Shila, 20.

Menurut Shila, dia pernah bersedih dan terkilan kerana tidak mendapat perhatian semenjak bergelar penyanyi, tetapi perkara itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam bidang tersebut.

"Saya sudah fikir perkara ini secara positif, mungkin saya belum lagi mencapai apa yang masyarakat kita mahukan.

"Suatu hari nanti saya tetap akan buktikan kepada semua orang yang saya juga setanding dengan penyanyi-penyanyi terkenal tanah air.

"Mungkin juga Allah mahukan Shila buat yang terbaik, dan selepas itu barulah orang akan buka mata," ujarnya dalam proses menyiapkan rakaman album ketiganya.

Selain itu, Shila turut mengakui lagunya lebih banyak dimainkan di radio-radio luar seperti di Singapura berbanding di dalam negaranya sendiri.

"Kebanyakan lagu-lagu saya tidak diputarkan di radio tempatan yang didengari ramai. Lagipun mereka hanya memilih lagu-lagu tertentu sahaja.

"Mungkin itu antara sebab saya tidak berapa dikenali. Tetapi jika difikirkan kembali, sekiranya sesebuah lagu itu tidak bagus pun tapi kalau diputar selalu, orang akan suka juga," katanya yang terkilan dengan tindakan beberapa stesen radio tempatan.

Walaupun sudah mempunyai dua buah album, namun anak kepada penyanyi ND Lala itu tetap mempunyai targetnya dalam bidang nyanyian. Menurutnya, dia teringin untuk mempunyai lagu yang dihasilkannya sendiri dan popular di radio.

"Sekarang ini, Shila sudah belajar menggubah lagu, terasa nikmatnya jika lagu kita hasilkan itu pula diminati ramai.

"Tapi banyak perkara yang Shila mesti belajar untuk sampai ke tahap itu," ujarnya yang mengagumi lagu Pergi nyanyian Aizat.

Sementara itu, Shila turut mengakui dia sebenarnya begitu meminati lagu berkonsepkan Pop Rock selain Pop dan R&B.

"Saya sebenarnya minat dengan lagu-lagu pop rock, cuma tidak diberi kesempatan untuk membawakan lagu-lagu seperti itu.

Mungkin suatu hari nanti saya akan hasilkan lagu berkonsepkan pop rock pula," kata Shila yang berhasrat untuk menyambung pelajarannya pada tahun hadapan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan