Iqbal Mazlan Teringin Berlakon Filem MIG dan TU

Diterbitkan: Ahad, 14 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Iqbal teringin berlakon di bawah produksi-produksi besar seperti Metrowealth dan Tayangan Unggul. - Foto Aquila Emas
Iqbal teringin berlakon di bawah produksi-produksi besar seperti Metrowealth dan Tayangan Unggul. - Foto Aquila Emas

PENDATANG baru yang juga juara program realiti lakonan, Pilih Kasih Iqbal Mazlan mengakui bukan mudah untuk mengukuhkan namanya di persada lakonan tanah air. Dengan persaingan sengit di kalangan aktor muda yang sedia ada, Iqbal tidak menolak kesukaran yang perlu dihadapinya dalam merebut peluang lakonan.

Menurut Iqbal, walaupun bergelar juara program itu, gelaran itu tidak sedikit pun memberi kelebihan untuk mendapat ruang baik di kaca TV mahupun filem.

Selepas enam bulan program itu berakhir, kembara Iqbal sebagai anak seni masih boleh diibaratkan seperti baru bertatih.

"Walaupun bergelar juara Pilih Kasih, laluan untuk mengukuhkan nama saya tidak semudah yang disangka. Sebagai orang baru, saya perlu ringan mulut bertanyakan peluang berlakon di merata-rata produksi.

"Namun, saya bersyukur kerana urusan karier dan tawaran berlakon kini semakin terurus sejak saya menyertai pengurusan syarikat Aquila Emas.

"Justeru, perjalanan karier seni saya kini lebih terancang dan terjamin," kata Iqbal yang mula bernaung di bawah pengurusan itu Februari lalu.

Walaupun sudah membintangi beberapa buah drama termasuk Pulangnya Karina, Hati Liya dan Terima Kasih Cikgu, bakatnya belum lagi dilihat oleh masyarakat. Ini kerana, sehingga hari ini, kebanyakan drama lakonannya belum lagi disiarkan di kaca TV.

"Alhamdulillah, setakat ini peluang rezeki dalam lakonan masih berterusan. Saya sudah membintangi pelbagai drama TV cuma semuanya belum disiarkan di TV lagi, mungkin sebab itu orang ramai fikir saya tidak ada peluang berlakon.

"Apa pun, saya dimaklumkan, drama-drama yang lakonan saya bakal disiarkan di TV sedikit masa lagi," kata aktor yang kini diuruskan oleh Aquila Emas.

Menyentuh tentang tawaran filem, anak muda kelahiran Bagio, Filipina itu ditanya mengenai perkembangan filem sulung lakonannya, Cempaka arahan Hairie Othman yang dikatakan tertangguh.

Jelas Iqbal, sebagai orang baru dia tidak begitu mengetahui cerita sebenar di sebalik penangguhan penggambaran filem itu. Apa yang dimaklumkan kepadanya, penggambaran filem itu terpaksa ditangguhkan kerana beberapa masalah termasuklah isu kewangan.

"Saya pun tidak tahu tentang perkembangan filem Cempaka. Apa yang diberitahu, produksi filem itu terpaksa ditangguhkan buat masa ini kerana beberapa masalah. Tapi, saya sendiri pun tidak begitu pasti apa masalah sebenarnya.

"Namun, saya masih terus mengintai peluang untuk berlakon filem. Memandangkan filem Cempaka pun masih tidak tahu perkembangannya, jadi saya perlu terus mencari peluang berlakon di bawah produksi lain," ujarnya lagi.

Tambah Iqbal, dia begitu berharap untuk mengintai peluang beraksi dalam filem-filem terbitan produksi-produksi besar seperti MIG dan Tayangan Unggul (TU).

"Terus-terang saya katakan, saya selalu berangan-angan untuk berlakon filem di bawah MIG dan TU. Kalau dapat peluang berlakon di bawah dua produksi itu tentu menyeronokkan.

"Kedua-dua produksi ini bukan sahaja terkenal dengan filem-filem hebat dan dekat dengan masyarakat, malah kebanyakannya pecah panggung," ujar Iqbal yang mengakui masih berhubung baik dengan mentor lakonannya, Rosyam Nor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan