Kesilapan Besar Saya Sebab Pilih Ellie - Erma

Diterbitkan: Sabtu, 13 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Erma bersama trofi yang dimenanginya sewaktu Anugerah Skrin baru-baru ini.
Erma bersama trofi yang dimenanginya sewaktu Anugerah Skrin baru-baru ini.

BUKAN ingin membuka pekung tetapi sekadar meluahkan perasaan kesalnya atas tindakan seseorang yang sudah pun dianggap sebagai adiknya sendiri.

Pengarah dan penerbit teater Antara..., Erma Fatima memberitahu dia masih belum mampu untuk memaafkan kesilapan yang telah dipalitkan oleh Ellie Suriati kepadanya.

Semuanya tercetus gara-gara Ellie merasakan dirinya ibarat ‘kuda tunggangan’ Erma. Lantas, Ellie mengambil keputusan menarik diri sebagai pengarah teater itu.

"Apa yang berlalu sangat menyakitkan saya, saya pernah rasa perasaan macam ini masa filem Embun dahulu, terlalu banyak kontroversi yang terjadi. Dulu pun saya kena bertubi-tubi macam ini.

"Jika ditanya sama ada ingin memaafkan dia (Ellie). Buat masa ini memang tidak mungkin untuk saya maafkan dia, tapi tidak bermakna juga saya sudah tutup pintu kemaafan kepada dia. Cuma pengajarannya sekarang saya perlu lebih berhati-hati walaupun dengan orang yang saya kenal," katanya.

Menurut Erma, dia berdiam diri selama ini tidak bermakna dia bersetuju dengan tindakan Ellie, tetapi kerana tidak mahu membuka aib pelakon tersebut.

"Saya tidak cipta kontroversi dan tidak pernah menggunakan kontroversi untuk lariskan produk saya. Dia yang mulakan kontroversi ini dan saya tahu dia SMS kepada semua wartawan beritahu perkara ini.

"Saya tahu semua ini tapi saya tidak mahu buka mulut sebab tidak mahu panjangkan kontroversi ini sehingga teater tersebut berakhir," ujarnya yang tidak perlukan publisiti murahan untuk menaikkan teater itu sewaktu dipentaskan pada 26 hingga 28 Februari lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Kakak kepada aktres Umie Aida itu turut mengakui bahawa dia telah membuat kesilapan besar kerana memilih Ellie Suriati sebagai pengarah teater tersebut.

"Ya, ini kesilapan besar saya sebab memilih dia. Sebelum ini saya sudah tahu perangai dan emosi dia dalam rumah tangganya tapi saya tidak sangka dia bawa emosi itu dalam soal kerja," katanya.

Dalam pada itu, Erma memberitahu kenyataan Ellie yang menuduh naskah Antara sebagai terpesong daripada akidah adalah tidak berasas kerana perkara tersebut telah pun diulas oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini.

"Saya tidak puas hati dengan salah satu kenyataan dia yang mengatakan bahawa dia tidak mahu terlibat dengan teater ini disebabkan naskah tersebut terpesong.

"Jika dia bijak dia faham dengan kenyataan daripada pihak JAKIM yang telah menjawab semua persoalan tentang teater ini," katanya ketika mengulas tentang kontroversi tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan