Pierre Perlukan Waktu Sesuai Nyata Kemaafan Pada David

Diterbitkan: Isnin, 22 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pierre ingin buang yang keruh dan ambil yang jernih atas perselisihan faham yang berlaku dengan David Teo.
Pierre ingin buang yang keruh dan ambil yang jernih atas perselisihan faham yang berlaku dengan David Teo.

CERITA mengenai pengarah, penulis dan aktor Pierre Andre yang ingin berbaik semula dengan penerbit filem, David Teo bukanlah satu keputusan yang baru difikirkan olehnya.

Pierre ketika dihubungi mStar Online berkata, walaupun dia ada meluahkan niat dan keinginannya untuk berbaik semula dengan David, namun aktor itu masih belum dapat menentukan masa yang paling sesuai untuk bersemuka dengan produser jutawan itu.

"Memang benar saya ingin berbaik semula dengan David. Saya akui kesilapan saya dan ingin pulihkan semula hubungan yang keruh sebelum ini. Tapi saya perlukan waktu yang sesuai untuk berbuat demikian.

"Saya merancang untuk bertemu dengannya tapi bukan dalam masa terdekat ini. Saya berharap masih ada ruang untuk saya berbaik semula dengan David dan Metrowealth," jelas Pierre yang memulakan perbualan.

Ketika ditanya apakah faktor yang menyebabkannya membuat keputusan itu, anak kepada dramatis Khatijah Tan itu berkata, sebagai manusia dia tidak pernah lekang daripada melakukan kesilapan.

Malah, sepanjang tempoh menjauhkan diri dan belajar berdikari dalam bidang seni hampir dua tahun ini banyak mengajarnya erti perhubungan dan kemanusiaan.

"Saya banyak belajar daripada kesilapan lalu. Hidup ini bukannya lama, jadi buat apa saya terus bermusuhan. Adalah lebih baik saya berbuat baik sesama manusia.

"Lagi pun saya merasakan waktu ini adalah masa yang paling sesuai untuk saya cuba pulihkan semula keadaan.

"Saya akui keputusan sebelum ini dilakukan atas prinsip yang tidak sehaluan dengan mereka (Metrowealth). Namun, sebagai anak muda saya juga melakukan kesilapan.

"Tapi, hubungan saya dengan mereka bukanlah terputus langsung. Sejak kebelakangan ini wakil daripada Metrowealth kerap bertemu saya dan kami masih baik seperti sebelum ini.

"Cuma, seperti yang saya katakan, saya tidak mahu pertemuan dengan David digembar-gemburkan untuk tujuan publisiti. Saya ingin berbaik dengannya bukan untuk publisiti. Ia datang dari dalam hati saya," ujar Pierre yang mengakui tahun pertama selepas pengundurannya daripada Metrowealth sedikit menggugat karier dan periuk nasinya sebagai anak seni.

Seronok Dengan Kehidupan Sekarang

Beralih perbualan kepada perkembangan terbarunya, pengarah yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Mia Oh Mia untuk TV3 ini mengakui sedang menjalani fasa kehidupan yang membahagiakan.

Bukan dek panahan asmara cinta, tetapi pengarah filem 9 September itu semakin selesa dengan kesederhanaan yang dilalui dalam hidupnya hari ini.

"Alhamdulillah, saya senang dan selesa dengan keadaan sekarang. Saya senang dengan komitmen belakang tabir yang saya jalani hari ini. Tidak terlalu menonjol atau terlalu tenggelam dan keadaan ini amat menyenangkan saya," katanya.

Menyentuh topik kebahagiaan hidup yang dinikmatinya ini, Pierre turut diusik mengenai perubahan pada fizikalnya yang sedikit berisi.

Ujar Pierre, memang dia menyedari badannya semakin berisi sejak kebelakangan ini. Perubahan fizikal itu mungkin berlaku disebabkan oleh tabiatnya yang semakin kerap makan dan senang hati.

"Memang saya sedar badan semakin berisi dan berat badan naik sedikit. Tapi, saya tidak kisah pun.

"Lagipun sekarang saya banyak terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir, jadi saya selalu makan. Mungkin sebab itu badan berisi sikit.

"Tapi jika saya ingin aktif berlakon semula, saya perlu kuruskan badan. Bukan tidak senang dengan keadaan sekarang, cuma ia tidak begitu sesuai. Lainlah jika saya berlakon watak-watak komedi saja," katanya secara berseloroh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan