Saya Tak Letak Tanda Harga Pada Lakonan Saya - Aaron Aziz

Diterbitkan: Khamis, 18 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Cabaran terbaru Aaron membawa watak ustaz dalam filem 2 Alam
Cabaran terbaru Aaron membawa watak ustaz dalam filem 2 Alam

LAKONANNYA yang berkesan dalam watak sebagai gangster, komedi, jejaka romantis dan lelaki ego membuatkan nama Aaron Aziz sering menjadi pilihan pengarah.

Namun begitu, Aaron yang semakin berani beradu di layar perak kini tampil membawa watak sebagai seorang ustaz untuk filem terbarunya '2 Alam'.

Ini jelas membuktikan pelakon terkenal ini tidak takut membawa apa saja watak yang diberikan kepadanya. "Pertama kali saya terima skrip itu, saya sangat teruja kerana belum pernah saya bawa watak seperti itu.

"Walaupun pertama kali saya memegang watak ustaz, saya sama sekali tidak berasa kekok.

"Lagipun, watak tersebut tidak memerlukan saya mengaji, berceramah dan wataknya juga tidak terlalu berat," katanya yang sudah membintangi lapan buah filem.

Aaron mengakui watak yang dipegangnya dalam filem ini turut menuntutnya bertindak tanpa mengikut emosi dan perasaan. Ini kerana watak ustaz yang dibawanya menuntutnya menjadi seorang ustaz yang tenang ketika berhadapan dengan situasi yang mencemaskan.

"Saya perlu menjadi ustaz yang tidak bersikap gopoh-gapah dan saya juga tidak boleh nampak seperti terkejut. "Sebagai ustaz, saya mesti bersikap tenang, mengawal ekspresi muka supaya tidak kelihatan beremosi," jelas Aaron.

Kalau hendak diukur pengalamannya sebagai pelakon yang pernah membintangi lapan buah filem, pelakon kelahiran negara Singapura ini tidak pernah meletakkan tanda harga pada lakonannya.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Aaron tidak mementingkan soal bayaran atau habuan yang diterimanya untuk membintangi sesebuah filem dan drama.

"Saya tidak nafikan sekiranya setiap pekerjaan yang kita lakukan itu semuanya adalah untuk mendapatkan pulangan yang lumayan.

"Saya tidak terlalu berkira sangat mengenai bayaran yang diberikan kepada saya kerana yang penting saya masih diperlukan dalam bidang ini," ujarnya yang mempunyai dua orang anak.

Ditanya mengenai pengalaman bekerja dengan Hairie Othman selaku pengarah filem '2 Alam', Aaron yang komited dengan tugasannya itu memberitahu dia senang bekerja dengan Hairie walaupun ini adalah kali pertama mereka bekerjasama. "Walaupun baru pertama kali bekerja dengan Hairie, saya dengan dia tidak mempunyai masalah dan kami senang bekerjasama.

"Dia seorang pengarah yang baik. Semasa di lokasi penggambaran, dia tetap mendengar pendapat daripada kru-kru bawahnya.

"Jika diberi peluang untuk bekerja dengannya pada masa-masa hadapan, saya mungkin akan terima jika jadual saya kosong," kata Aaron, 34.

Walaupun banyak cerita panas dan kisah-kisah tidak enak berlegar mengenai filem tersebut, namun Aaron sebagai pelakon utama filem itu mempunyai pandangannya sendiri.

"Kalau nak cerita pasal masalah semasa proses penggambaran, saya rasa setiap produksi ada masalahnya. Cuma cerita itu tidak dibesar-besarkan untuk diceritakan kepada umum.

"Mungkin pihak di luar sana mudah membuat telahan dan tanggapan mereka sendiri berdasarkan cakap-cakap orang, tapi saya selaku orang yang turut terlibat semasa penggambaran, tidak rasa perkara itu seperti yang digembar-gemburkan.

"Sepanjang 10 hari saya berada di lokasi, semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan