Aditya: Azwan Ali Satu Fenomena Dalam Gelanggang Tersendiri!

Diterbitkan: Rabu, 17 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ARAS kepanasan dunia hiburan yang dicetus oleh seorang selebriti yang bernama Azwan Ali bukan di tahap biasa.

Keluarbiasaannya itu tercetus kerana keberaniannya mengkritik sesiapa saja yang dirasakan tidak betul pada pandangannya sehingga cetusan itu dilabelkan sebagai menjelekkan industri hiburan keseluruhannya.

Siapa yang tidak kenal Azwan yang juga tidak jemu mencari publisiti. Gila glamour, gila publisiti dan sebagainya dilekatkan cop itu di dahinya sehingga satu tahap membuatkan Azwan kehilangan populariti itu. Ada aku kisah?, meminjam kata-kata lelaki ini kerana dia bagaikan tidak lagi menghiraukan publisiti dan populariti kebelakangan ini.

Skeptikal terus menghantui orang industri terutama pihak media yang dihentam ganas oleh Azwan menerusi blog lasernya. Biarpun Azwan kini cuba untuk berubah ke lebuhraya yang lebih bersih, namun pihak-pihak yang didakwa Azwan sebelum ini dengan pelbagai jenama negatif itu masih was-was dengan pengakuan dan keputusannya untuk menjernihkan keladak hubungan silaturahim.

Puas sudah dicanangkan kepada orang secara lisan, juga melalui blognya tetapi sikap skeptikal mereka tetap menebal.

Menerusi penulisannya yang berani menentang arus itu, semakin jelas kini dia mula menapis apa yang cuba diluahkan sekali gus cuba mengendurkan ketegangan. Satu permulaan yang baik, lebih-lebih lagi selepas pulangnya dari Mekah mengerjakan umrah pada Ramadan lalu.

Mungkin ramai yang salah tafsir tujuan umrah kononnya Azwan ke Baitullah untuk meraih publisiti binti simpati daripada masyarakat.

Secara peribadi, Aditya melihat perkembangan ini sebenarnya tidak betul kerana tidak semua yang dipanggil Allah untuk ke Tanah Suci. Walau sekaya manapun harta dan ilmu tetapi kiranya Allah belum membuka hati seseorang untuk menjejakkan kaki ke sana pada waktu tertentu, nescaya rezeki itu tidak akan diperolehi.

Percayalah dengan ketentuanNya kerana Dia Maha Mengetahui setiap yang diaturkanNya.

Dan dalam hal ini, Azwan yang selama ini dicop sebagai mulut longkang dan tidak berperasaan sesama manusia terutama orang media, diberikan rezeki oleh Allah untuk menjadi tetamuNya di Madinah dan Mekah.

Bukan untuk membesar-besarkan atau bermegah-megah kerana sesungguhnya Allah tidak suka orang bersikap begitu, namun cuba kita mengambil iktibar daripada perkembangan ini supaya tidak terus membiarkan deria mata dan telinga melihat serta mendengar yang negatif semata-mata.

Soal positif dan negatif ini sudah berulang kali Aditya laraskan di ruangan ini tetapi itulah tujuannya hala penulisan ini agar menjadi wadah untuk kita renung-renungkan bersama. Aditya bukan manusia yang sempurna tetapi kebolehan yang tidak seberapa dalam penulisan ini, moga-moga mampu kita kongsikan bersama.

Sepertimana wujudnya manusia bernama Azwan Ali itu. Berbelas tahun kita melihat dia dengan warna tersendiri termasuk warna hitam dan kelabu kebelakangan ini. Namun apakah kita hanya mengingati yang tidak elok sahaja? Bagaimana dengan warna-warni berselang sanjungan peminat kepadanya sebelum itu?

Azwan tersendiri dalam gelanggang seninya kerana dia tiada dua dan keberanian membuat apa saja di luar kotak agar hasil kerja seninya lain daripada yang lain. Lebih terang, dia bukan jenis yang menyalin adaptasi daripada kerja orang lain.

Sekali lagi dijelaskan di sini, Aditya bukan peminatnya tetapi kehadiran Azwan memberikan kita lebih warna dalam kehidupan, warna teladan untuk kita pelajari sesuatu.

Sikap was-was dan skeptikal itu tidak membenarkan kita melihat yang positif terutama apabila Azwan menyatakan ingin membuat transformasi terhadap kehidupannya, ingin berubah ke jalan yang lebih baik.

Tetapi kebanyakan musuhnya masih mengunci ketat pintu agar salam dihulur untuk kembali menjalinkan persahabatan ukhuwah sesama manusia itu tidak dijadikan satu hakikat.

“Ada aku kisah?”. Kata-kata ini semakin popular sebagaimana Azwan mempopularkan Amboi Amboi Amboi. Kata-kata ini sering dipermainkan tetapi ingatlah suatu hari nanti, kita akan terasa dengan permainan itu.

Terlalu sukar nampaknya usaha Azwan untuk berdamai. Tidak hanya kerana elemen skeptikal tetapi bertambah-tambah dengan perisa ketidakpercayaan langsung akan perubahan yang cuba dilakukan Azwan itu. Terus memburukkan lagi keadaan apabila Aditya melayari blognya baru-baru ini apabila tulisan Azwan kembali berbaur pahit dengan menyentuh sisi peribadi seorang Pengarang Hiburan.

Harapnya ia tidak berlanjutan dan Azwan seharusnya berpatah semula ke jalan yang cuba dicari selama ini yakni transformasi yang diredhai oleh Allah. Apa yang dilakukan sepulangnya dari Tanah Suci pada September 2009 sudah baik, jadi usah campuri lagi dengan najis-najis yang pernah mengotori hidup Azwan sebelum ini.

Sampai bila boikot dan tidak bertegur sapa ini berterusan, Aditya buntu kerana Aditya bukan tukang tilik nasib atau peramal masa depan. Bagaimanapun bimbangnya nanti, ada yang menyesal apabila orang yang dibenci itu pergi selama-lamanya menghadap Ilahi tanpa sempat kita meminta maaf dan bermaafan.

Bukanlah Aditya mendoakan kematian Azwan (maaf Azwan) tetapi ajal maut tidak mengira usia, pangkat, darjat dan jantina.

Bila-bila masa sahaja kerana kita selaku manusia, tidak diberitahu ketibaan malaikat maut menjemput kita. Tetapi sekiranya ditakdirkan begitu, ketiadaan Azwan Ali suatu hari nanti akan diingati kerana warna hidupnya.

Bimbang Aditya kerana dengan ketiadaan seseorang terutama orang terkenal di muka bumi ini, maka barulah timbul ‘hilangnya sebutir permata’, ‘industri hiburan rugi besar’ dan apa-apa lagi frasa atau tajuk yang seangkatan dengannya.

Ini kerana, kita sememangnya semula jadi suka menghargai orang yang telah tiada. Ketika nyawa masih dikandung badan, ketika hayat masih bernafas, mereka tidak dipedulikan kewujudannya.

Inilah juga sebahagian daripada warna kehidupan kita. Wassalam!

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan