Kisah Bujang Sepah Diteruskan Dalam Drama Siri

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Si Bujang Sepah.
Si Bujang Sepah.

ISTIMEWA bulan Februari ini, Astro PRIMA dengan bangganya membawakan sebuah lagi drama komedi ringan bersiri terbaru berjudul Bujang Sepah Lalalitamplom yang bakal menemui para penonton pada setiap hari Rabu, jam 10.30 malam bermula 10 Februari 2010 menerusi saluran 105.

Drama komedi 13 episod arahan Fahizal Abdullah ini dijayakan oleh gabungan barisan pelakon baru dan lama tanah air seperti Juara Raja Lawak Musim 3; Kumpulan Sepah selaku watak utama Bujang Sepah, pelakon dan penyanyi yang cukup terkenal dengan kebolehannya untuk meniru lenggok badan, tutur percakapan, suara dan juga mempunyai rupa paras yang hampir serupa Allahyarham Seniman Agung P. Ramlee; Musly Ramly sebagai Abdul Kibas, seniman serba boleh yang cukup aktif sebagai pelakon, pengarah filem, pelawak dan penulis skrip; Datuk Aziz Sattar sebagai Pak Long Mustar, pelakon berbakat yang cukup sinonim dengan watak polis; Raja Azrey sebagai Abdul Qhuyyob, pelakon baru yang semakin dikenali menerusi drama Kampung Jaguh di Astro WARNA; Nur Akma sebagai Rona, bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang semakin meningkat menerusi drama Kau Dan Aku di Astro RIA; Ika Nabila sebagai Rini, pelakon baru berbakat besar yang telah dicungkil menerusi program realiti Anak Wayang; Dayana sebagai Runu dan Eiz sebagai Suzana.

Pengurus saluran Astro Prima, Encik Nizam Sani berkata, “Astro amat teliti dan berhati-hati dalam pemilihan kandungan yang ditayangkan menerusi setiap salurannya bagi memastikan para penonton hanya menerima perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.

Di bawah payung penjenamaan Astro Megadrama, destinasi utama bagi drama-drama Melayu hebat yang cukup sinonim dalam membariskan variasi program dan drama mantap menerusi salurannya yang pelbagai, Astro Prima dengan sukacitanya mempertaruhkan drama komedi terbaru berjudul Bujang Sepah Lalalitamplom yang bakal menyambung kesinambungan kisah Bujang Sepah yang kini diterjemahkan pula ke dalam bentuk drama bersiri.”

Nizam turut menambah, “Keputusan untuk menyambung kisah mereka ke dalam bentuk drama ini diambil berikutan maklum balas positif yang diterima selepas penayangan dua telemovie menarik iaitu Bujang Sepah Si Lalalitamplom dan Lemang Si Bujang di Astro PRIMA tahun lalu. Kami berharap ia mampu mendapat tempat di hati para penonton dan mengulangi kejayaan telemovie-telemovie lain yang turut disambung ke dalam bentuk drama bersiri seperti Halimah Jongang dan juga telemovie Sonata Labu Labi dalam Kempen Tribut Khas Inspirasi P Ramlee.”

Drama Bujang Sepah Lalalitamplom ini mengisahkan tentang kemunculan seorang pengusaha dan pemilik Syarikat Pemegang Harta bernama Tuan Abdul Kibas lakonan Musly Ramlee yang sedang mengalami masalah kerugian aset syarikatnya. Beliau mempunyai tiga orang anak dara yang cukup ayu bernama Rona (lakonan Nur Akma), Rini (lakonan Ika Nabila) dan Runu (lakonan Dayana). Beliau juga mempunyai seorang penasihat terhormat bernamaa Abdul Qhuyyob (lakonan Raja Azrey) yang cukup tersohor kerana sering memberi nasihat kepada ketua-ketua mafia Arab.

Kisah bermula apabila Tuan Abdul Kibas dan penasihatnya berpakat untuk menyeleweng harta yang bakal diwarisi oleh tiga jejaka Bujang Sepah; Jep, Mamat dan Shuib (lakonan Kumpulan Sepah). Tiga Bujang Sepah telah diperdayakan dengan tipu helah sehingga menandatangani dua dokumen perjanjian yang berkenaan dengan wasiat dan penipuan tanah pusaka. Jejaka Bujang Sepah ini terpaksa mengalami kerugian setelah terjerat dengan penyelewengan yang dilakukan oleh Tuan Abdul Kibas dan Abdul Qhuyyob. Mereka juga telah diberikan tempoh masa tujuh bulan untuk bergelar seniman percuma.

Lalu bermulalah kehidupan jejaka Bujang Sepah yang bertungkus lumus menyahut seruan untuk memastikan mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan yang dikenakan untuk memiliki harta keturunan Syed Maulana Al-Bebiri. Mereka terpaksa menghadiri sesi ujibakat dan harus menempuhi pelbagai dugaan demi untuk bergelar sebagai seniman. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka lalu gagal dek kerana helah Tuan Abdul Qhuyyub dan Abdul Kibas yang telah menjadi dalang dan menggunakan pelbagai helah untuk menghalang mereka daripada menjadi seniman.

Jejaka Bujang Sepah tidak putus asa dan bertekad untuk menjadi seniman jalanan. Mereka berusaha untuk berlatih menyanyi dan akhirnya mereka memberanikan diri untuk membuat persembahan di khalayak ramai.

Dalam perjalanan mereka untuk bergelar seniman, Bujang Sepah telah berkenalan dengan Pak Long Mustar (lakonan Datuk Aziz Saltar) bersama anak gadis bongsunya yang jelita bernama Suzana (lakonan Eiz). Maka bermulalah pelbagai kisah yang mencuit hati berlaku. Manakala Tuan Abdul Kibas serta Abdul Qhuyyob pula masih merancang untuk membolot harta jejaka Bujang Sepah dengan menggunakan tiga anak gadis sebagai pancing untuk menggoda mereka. Maka bermulalah episod permainan perasaan jejaka Bujang Sepah bersama tiga anak dara Tuan Abdul Kibas.

Apakah yang akan berlaku? Adakah Tuan Abdul Kibas dan Abdul Qhuyyob berjaya membolot harta tersebut atau adakah jejaka Bujang Sepah akhirnya berjaya menerima harta pusaka peninggalan atuk mereka?

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama komedi Bujang Sepah Lalalitamplom yang pasti mencuit hati pada setiap hari Rabu jam 10.30 malam bermula pada 10 Februari ini, hanya di Astro PRIMA (saluran 105). Selamat menonton!

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan