Hairie Akui Ada Orang Tikam Dari Belakang

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NADA suaranya saja jelas menggambarkan kekecewaan terhadap 'dakwaan kosong' yang timbul lewat beberapa hari ini. Dakwaan yang menuduh aktor dan pengarah Hairie Othman sebagai pembawa masalah kepada produksi filem 2 Alam adalah fitnah yang mencalar nama baiknya.

Malah, tidak keterlaluan bagi Hairie menganggap dirinya bagai ditikam dari belakang oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin mengeruhkan hubungan baiknya dengan produser filem itu, Datuk Dr Rozmey Che Din.

Dia dan produser itu tidak mempunyai sebarang masalah atau bercakaran seperti yang didakwa. Katanya, cerita yang timbul itu adalah tidak berasas dan sengaja 'dijaja' oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencemar reputasinya.

"Saya tiada sebarang masalah dengan Dr Rozmey. Hubungan kami baik seperti biasa. Sebenarnya, isu ini telah diputar-belitkan oleh pihak tertentu untuk mencalar reputasi saya," ujar hero Leftenan Adnan.

Sebaliknya, Hairie menegaskan punca permasalahan ini bertitik-tolak daripada 'ketegangan' dan krisisnya dengan Penerbit Penyelaras produksi filem itu, Imran Ismail.

"Terus terang saya kata, yang menjadi masalahnya adalah Penerbit Penyelaras, Imran Ismail. Imran dilantik oleh Dr Rozmey bagi menguruskan hal ehwal penggambaran 2 Alam.

"Namun, dia gagal melaksanakan tugasnya dengan baik. Sebaliknya, dia menutup kelemahannya dengan mengaitkan nama saya dalam hal ini.

"Sebolehnya, saya tidak mahu membuka pekung produksi. Pada asalnya segala kelemahan dan kepincangan dalam sesebuah produksi adalah lumrah penggambaran.

"Ia tidak sepatutnya dicanangkan ke sana-sini. Biasalah masalah kecil-kecil, masih boleh diatasi.

"Tapi apabila ia mengaitkan nama saya dan merehatkan saya daripada produksi tanpa penjelasan munasabah serta mendakwa saya merosakkan filem itu pula, takkan saya hendak berdiam diri? Ini melibatkan nama baik dan reputasi saya.

"Apabila di depan Dr Rozmey, dia pandai cakap itu dan ini, kononnya mahukan yang terbaik untuk penggambaran filem itu. Tapi hakikatnya, dia uruskan filem itu secara tangkap muat sahaja.

"Contohnya, kos sewa motor 'buruk' mencecah sehingga RM150 sehari dan rumah kampung mencecah RM1000 sehari? Bukankah itu menipu namanya?

"Dalam hal ini, Dr Rozmey memang tidak tahu-menahu. Sebagai penerbit dia hanya keluarkan duit dan serahkan semuanya kepada Imran.

"Saya pun tak tahu nak kata sama ada Imran ingin mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diberikan atau memang dia tidak pandai menguruskan produksi.

"Tapi apabila saya tegur dia, saya terus direhatkan daripada produksi dengan pelbagai alasan termasuklah tidak pandai mengarah filem.

"Jika saya tidak lunaskan tanggungjawab saya dengan baik, mana mungkin jadual penggambaran yang diperuntukkan untuk 10 hari berjaya saya sudahkan dalam tempoh 8 hari saja.

"Sudah tentu saya hormati kepercayaan yang diberikan oleh produser. Bukan dia seorang sahaja mahukan yang terbaik untuk filem ini. Saya juga mahukan hasil yang terbaik.

"Saya tidak memutar-belit atau mereka-reka cerita. Perkara ini diketahui oleh semua krew dan artis yang terlibat. Mereka semua tahu cerita sebenar yang berlaku.

Ditanya adakah Imran atau pihak tertentu sengaja ingin mensabotaj dan memburukkan namanya dengan dakwaan sedemikian, Hairie berkata, dia enggan menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak berkenaan perkara itu.

Malah, tujuan dia membuat laporan polis adalah kerana tidak mendapat baki bayaran untuk kerja yang dilakukannya dan mengaibkan namanya dengan tuduhan tidak berasas sebegitu.

"Tujuan saya buat laporan polis tempoh hari adalah kerana saya tidak mendapat baki 50 peratus bayaran untuk kerja saya dalam produksi itu.

"Saya tahu memang Dr Rozmey tidak tahu menahu mengenai perkara ini kerana dia sudah serahkan bulat-bulat pada Imran untuk uruskan.

"Jika perkara ini melarat, saya tidak tolak kemungkinan untuk besar-besarkan hal ini. Saya ada kebenarannya. Nama baik saya tercalar kerana dakwaan melulu pihak tidak bertanggungjawab itu kepada pihak media.

"Saya mahu pihak yang tidak bertanggungjawab itu tampil ke depan dengan permohonan maaf atas kontroversi tidak berasas yang dicetuskan terhadap saya," kata Hairie dengan tegas.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan