Ragam Dan Keletah Fara Ketara Dalam 'Alahai Fafau'

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FARA Fauzana, penyampai paling hangat masa kini menerusi AM Krew, Hotfm buat pertama kalinya bakal muncul di kaca TV9 dengan rancangan terbarunya Alahai Fafau.

Beliau pernah dinobatkan di dalam Anugerah Bintang Popular sebagai Pengacara TV Wanita Popular tahun 2005 dan 2006 serta meraih anugerah Penyampai Radio Wanita Popular 2007 dan 2008, bakal menemui penonton setia TV9 setiap Ahad jam 9 malam bermula 7 Februari ini yang juga merupakan sambutan ulang tahunnya yang ke-30.

Alahai Fafau memaparkan elemen komedi dan kemasyarakatan sambil menampilkan selebriti-selebriti dan ahli muzik terkenal tanah air.

Sesuai dengan perwatakan Fara Fauzana yang ceria dan lucu, rancangan santai berbentuk temubual ini tertumpu kepada perkara-perkara yang menjadi minat Fara Fauzana.

Menerusi rancangan ini, penonton setia dan peminat setianya dapat melihat sendiri karektor Fara Fauzana yang semulajadi dan pada masa yang sama dapat mendekatkan diri dengan peminatnya.

Topik-topik menarik bakal memukau penonton kerana dapat melihat ragam, gelak tawa dan aksi bersahaja hos dan artis jemputan.

Rancangan 13 episod ini pastinya akan memberikan inspirasi dan pengalaman baru yang akan bertakhta di hati penonton dan sekaligus peminat setia Fara Fauzana.

Rancangan 30 minit ini terbahagi kepada tiga segmen yang berbeza iaitu Misi Fara, Fara & Friends, Fara Fan Club dan Fakta Fara.

Menerusi segmen Misi Fara, rakan-rakan selebriti jemputan akan memberikan beberapa tugas kepada Fara dan dia akan diminta melaksanakan tugas-tugas yang diberi dalam satu jangka masa yang ditetapkan.

Antara tugasan yang akan diberi kepada Fara ialah bagaimana mengatasi rasa fobia, masuk kampung, roller coaster ride, melakukan tugasan penduduk kampung seperti menanam padi dan banyak lagi.

Untuk segmen Fara & Friends, Fara akan menjemput rakan selebritinya seperti Ziana Zain ke studio untuk berbual tentang aktiviti terbaru mereka serta mengupas pendapat mereka tentang beberapa topik yang akan dikemukakan berkaitan isu harian.

Contohnya bercerita tentang jodoh, hobi-hobi yang pelik dan menyimpan barangan kesayangan.

Untuk segmen ketiga pula iaitu Fara Fan Club, para peminat Fara yang bertuah akan diberi peluang untuk beramah mesra dengan Fara sambil mengambil bahagian dalam permainan-permainan mencuit hati di studio.

Untuk segmen Fakta Fara pula, ia merupakan suatu segmen yang cukup istimewa di mana Fara akan menceritakan perkara-perkara yang digemari dan sebaliknya seperti muzik, filem dan makanan.

Ini membolehkan para penonton dan peminat mengenali Fara dengan lebih mendalam dan secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan antara Fara Fauzana peminatnya.

Alahai Fafau diterajui oleh penerbit Roslina Abdul Rahman dan dibantui oleh Siti Rahmah Hassan, Norshafina Ahmad dan Mohd Saifudin Mohd Din.

Oleh itu, jangan lupa saksikan rancangan temubual Alahai Fafau yang penuh dengan aksi-aksi menghiburkan dan mencuit hati pada setiap Ahad, jam 9.00malam bermula 7 Februari ini hanya di TV9!

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan