Datuk Sarimah Kongsi Petua Kekal Jelita

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SENIWATI malar segar, Datuk Sarimah Ibrahim terpanggil untuk menganjurkan sebuah program penjagaan kesihatan sebagai memberi penghargaan kepada peminat-peminatnya yang sentiasa memberi sokongan kepadanya sehingga kini.

Program 'Sehari Bersama Datuk Sarimah' yang bakal berlangsung pukul 2 petang pada 27 Februari ini, akan menjurus kepada kepentingan menjaga kesihatan dari penjagaan wajah sehingga penjagaan dalaman wanita.

"Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman beliau dalam penjagaan diri supaya menyerlah dari segi luaran dan dalaman.

"Selain itu juga saya akan berkongsi petua-petua kecantikan yang saya telah amalkan sejak dari muda dan pemerhatian saya terhadap amalan kecantikan dan kesihatan diri ibu bapa saya dahulu.

"Tidak ketinggalan juga petua dan pantang larang semasa dalam proses berpantang selepas bersalin.

Menurut Datuk Sarimah, idea untuk menganjurkan bengkel daripada peminat sendiri yang sentiasa bertanyakan tentang petua-petuanya.

"Sebelum ini ramai peminat dan orang ramai yang jumpa saya bertanyakan tentang rahsia wajah dan kesihatan diri saya. Dari situlah saya mendapat idea untuk menganjurkan bengkel ini.

"Saya juga akan buat demonstrasi senaman untuk warga emas dalam bengkel tersebut," katanya yang masih kekal cantik walaupun sudah berusia 68 tahun.

Datuk Sarimah yang mendapat gelaran primadona filem Melayu, akan menyalurkan sebahagian daripada hasil kutipan bengkel tersebut kepada Persatuan Karyawan Malaysia bagi membantu dana artis veteran yang memerlukan.

"Sumbangan yang tidak seberapa ini adalah dedikasi saya kepada artis-artis veteran yang memerlukan terutamanya bagi yang seangkatan dengan saya," katanya.

Bengkel yang bakal dianjurkan di The Royal Bintang Damansara ini turut mendapat tajaan pelbagai pihak.

Bagi yang berminat menyertainya disarankan untuk membuat tempahan awal kerana tempat adalah terhad.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan