Aditya: Artis Tunjuk Kuasa Mengarah Ala-ala 'Kuat Sepit Kerana Kempa'

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PESAN orang-orang tua kita dahulu, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Selain kandungan Al-Quran yang menjadi pegangan hidup kita, tidak salah kiranya kita renung-renungkan juga pesanan-pesanan orang yang terdahulu makan garam dalam kita menempuhi kehidupan ini agar tidak terus tenggelam gelombang kealpaan.

Dunia kehidupan artis adalah secebis bahagian daripada kehidupan kita. Mereka juga manusia yang mempunyai rencana dan hala tuju masing-masing sebelum memejam mata menghadap Ilahi.

Setiap daripada kita ada kisah dan sejarah untuk dipanduankan kepada orang yang melihat. Sudah beberapa kali Aditya ulang ayat ini tetapi tidak salahkan kalau kita selalu ingat mengingati? Maklumlah manusia mudah lupa!

Aditya membuka artikel kali ini dengan perumpamaan mudah itu apabila teringatkan kisah-kisah artis tempatan sejak kebelakangan ini yang gemar bermain sembunyi-sembunyi ‘hide and seek’.

Baik yang sudah kahwin mahupun yang baru merancang berjabat tangan dengan tok kadi, seolah-olah menjadi trend hari ini untuk tidak menghebahkan kepada masyarakat melalui media massa akan perkembangan sihat itu.

Orang tua-tua juga kata, benda yang baik seperti mendirikan masjid, lebih elok diwar-warkan agar tidak menimbulkan fitnah dan tercipta spekulasi di belakang hari.

Trend menyorokkan anak juga sudah menular di kalangan artis kita. Mungkin nak jaga eksklusiviti atau barangkali juga sengaja nak biarkan orang ternanti-nanti terutama wakil media yang sesetengahnya begitu hadap dengan paparan wajah anak selebriti.

Hormatilah kehendak mereka, bimbang nanti tiada pula bahan lain untuk dijadikan publisiti. Moleklah gunakan anak untuk raihkan populariti. Buatlah selalu!

Bagaimanapun dalam soal perkahwinan ‘hide and seek’ tadi, lebih memualkan apabila ia melibatkan hubungan artis dengan golongan kenamaan, Very Important People atau yang berstatus hartawan, telah meletakkan ‘road block’ di tengah-tengah jalan pekerjaan wakil media dalam usaha mencari kebenaran.

‘Road block’ itu bukan sekadar sekatan jalan raya biasa malah kali ini tiada peluang langsung untuk ‘detour’ ke arah lain sebagai alternatif penyelesaian.

Kebanyakan yang berkasih sayang dengan golongan artis ini, lebih mudah menggunakan jalan pintas dengan ‘mengarahkan’ sesiapa yang mampu diarahkan dengan kuasa mereka supaya dihentikan permainan ‘hide and seek’.

Mudahnya mereka membeli kebebasan petugas media dalam memberi maklumat kepada masyarakat. Tetapi inilah juga antara warna kebebasan media kita di dalam masyarakat demokrasi. Moleklah, biarkan situasi ini berterusan, moga-moga boleh menjadi virus dan parasit suatu hari nanti yang akan menggantikan makna kebebasan sebenar.

Lebih menyayat hati, kerana cintakan mereka yang berpengalaman, ada artis-artis muda sanggup meninggalkan sebuah persahabatan yang dijalin murni dengan orang media. Daun selasih aku lurutkan, kerana kasih aku turutkan.

Mereka peduli apa, pantang media memperkatakan khabar angin tentang mereka, mulalah menggeletis macam cacing kepanasan. Bagaimanapun dengan ikatan perkahwinan kuasa, artis itu turut mendapat kuasa mengarah ala-ala ‘kuat sepit kerana kempa’ (kempa ialah apitan).

Namun usah pertikaikan ketentuhan Allah. Jodoh pertemuan ajal maut sudah ditentukan Tuhan, tiada siapa yang mampu menghalang kehendakNya kerana setiap yang telah diaturkanNya memiliki sebab dan musababnya. Reda sahaja!

Cuma Aditya terasa apabila rakan-rakan baik daripada kalangan media sesekali membentang hal ini.

Baru-baru ini, Datuk Sheila Majid menyatakan pendiriannya mengenai fenomena dunia artis hari ini termasuk apa yang cuba Aditya depankan dalam artikel ini.

“Jangan mengeluh tak suka kehidupan peribadi diganggu, walhal kita meletakkan diri dalam profil tinggi. Bila berada dalam status ini, orang akan sentiasa bercakap pasal kita dan mahu ambil tahu semua perkara. Jadi kena sentiasa bersedia. Kalau tak suka, jangan masuk dalam industri,” katanya.

Benar sangat apa yang diperkatakan oleh penyanyi yang sudah 25 tahun berada di pentas seni ini. Bagaikan salah pula pihak media mencari dan mengorek cerita, walhal sebelum ini artis-artis ini faham benar tugas media. Mula-mula nak naik, sanggup bertunggu bertangga dengan media demi sebuah publisiti. Sekarang?

“Kalau tak nak kami bertanya dan tulis, jangan jadi artis. Baik pergi jual pisang goreng, kerani atau tukang kimpal batang besi. Taklah kami kemaruk nak cari cerita dia. Menyusahkan!” rungut seorang rakan Aditya yang bertugas di sebuah akhbar arus perdana.

Keluhan-keluhan begini bagaikan sumbu pelita yang kebasahan dicelup air longkang yang terus mematikan semangat untuk menulis atau melaporkan warna sebenar industri hiburan. Kita bukannya tidak tahu, dunia hiburan tempatan hanya tempat bermain wayang oleh pemain wayang yang bertopengkan senyuman plastik.

Aditya setuju benar apa yang dikatakan Sheila Majid itu. Dalam artikel yang sama di Metro Ahad baru-baru ini, Sheila turut menyatakan kekesalannya terhadap mereka yang bersikap lepas tangan dalam menerajui anak-anak program realiti hingga terkapai-kapai mencari arah.

Insya-Allah Aditya akan bawakan cerita ini dalam penulisan-penulisan seterusnya kerana banyak yang boleh kita renungkan daripada pandangan orang yang banyak makan garam industri hiburan seperti Sheila Majid itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan