Teater 'Tanda' Tentang Kiamat Ubah Diri Zahiril

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JIWA teater sudah sebati dalam diri pelakon Zahiril Adzim yang sudah dua tahun menggilap bakatnya di persada seni ini.

Walaupun masih ‘setahun jagung’, pemuda yang baru berusia 26 tahun pada 23 Januari lalu ini juga sudah mula menunjukkan kemajuan menerusi beberapa lakonannya termasuk filem pertamanya, Kami The Movie.

Selain itu, Zahiril turut dikenali menerusi filem Karaoke dan beberapa buah drama seperti yang terbaru, Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata yang disiarkan di Astro Citra (Saluran 131) pada setiap Rabu pukul 9 malam melalui slot Suatu Ketika.

Ini belum termasuk teater yang sudah berpuluh-puluh dilakonkan oleh Zahiril. Jelasnya, dia memulakan karier seni menerusi teater sejak tiga tahun lalu di bawah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menyentuh tentang teater terbarunya, Zahiril berkata dia sedang sibuk dengan teater Tanda yang akan dipentaskan buat kali kedua pada 2 hingga 7 Februari ini, pukul 3 petang dan 8.30 malam di Panggung Eksperimen ASWARA, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

Bagi Zahiril, Tanda menceritakan tentang tanda-tanda kiamat atau lebih tepat kehancuran dunia.

Sejujurnya, anak ketiga daripada lima beradik ini sukar untuk menggambarkan perasaan takutnya apabila menyelami maksud sebenar di sebalik penyampaian teater itu.

“Sebelum ini saya pernah mengarah teater itu tetapi kali ini saya berlakon pula dalam teater yang sama. Jadi, saya perlu kaji habis-habis berkaitan teater ini.

“Hasilnya, apabila saya perhatikan di sekeliling, sebenarnya manusia sendiri yang menghancurkan dunia ini. Dari situ, saya menjadi lebih sayangkan alam sekitar.

“Misalnya, saya akan jimatkan penggunaan plastik dengan menggunakan beg sendiri apabila pergi membeli-belah. Saya nak jaga alam sekitar kerana dunia ini semakin tua.

“Pembaziran boleh menyumbang kepada kehancuran dunia,” beritahunya yang turut sibuk menjalani penggambaran sebuah lagi drama untuk slot Suatu Ketika, Apa Dosaku.

Teater Tanda dianjurkan oleh Rumah Anak Teater (RAT) melalui Projek Komuniti Kental (KoKen).

Persembahan teater ini berkonsepkan kolaborasi yang mengabungkan enam orang pengarah untuk mementaskan sebuah persembahan. Setiap pengarah akan mengarahkan sebuah cerita yang berkaitan dengan tema alam sekitar dan kemusnahan alam yang berdurasi 15 minit setiap satu.

Setiap cerita pendek ini akan bercantum dengan teras utama cerita yang disampaikan dalam bentuk persembahan ‘ensemble’ secara fizikal.

Teater ini akan diarahkan oleh lima pengarah termasuk pengarah artistik Nam Ron.

Selain Zahiril, lebih daripada 20 pelakon akan menjayakan pementasan ini. Antaranya ialah Beto Kusyairy, Noris Ali, Dira Abu Zahar, Ameerul Affendi dan ramai lagi.

Tiket dijual pada harga RM30 dan RM15 (pelajar).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan