Ady Putra Ingin Terus Menetap Di Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 2 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Ady punya hasrat untuk terus menginap di Malaysia. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Ady punya hasrat untuk terus menginap di Malaysia. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

AKTOR kelahiran Singapura, Ady Putra bersyukur di atas peluang dan platform yang ada sehingga membolehkannya mencipta nama dan mendapat rezeki di bumi Malaysia. Kini, setelah tujuh tahun menetap di Malaysia, Ady mengakui teringin untuk terus kekal menginap di Malaysia.

Menurutnya, selama tujuh tahun berada di Malaysia, dia semakin serasi dan selesa dengan negara ini. Lebih manis, dia turut bertemu jodoh dengan wanita Malaysia.

"Sudah tujuh tahun saya bertapak di Malaysia dan sehingga hari ini, saya masih menggunakan status pelancong untuk urusan kerja dan tinggal di sini.

"Tapi, saya kerap juga berulang alik ke Singapura kerana keluarga masih di sana. Memandangkan isteri adalah orang Malaysia, memang saya terfikir untuk memohon taraf Penduduk Tetap (PR) di Malaysia.

"Sepanjang tempoh tujuh tahun ini, saya harus mengemaskini pasport saya setiap tahun bagi melancarkan urusan kerja dan pergerakan saya di sini," katanya memecah bicara.

Tambah Ady, pertaliannya dengan Malaysia bukanlah sesuatu yang asing dalam salasilah keluarganya. Malah, dia mengakui arwah neneknya juga berasal dari Selangor, Malaysia.

"Perkara ini mengingatkan saya kepada cerita tentang hasrat arwah nenek sebelum dia meninggal dunia dulu.

"Menurut cerita keluarga, arwah nenek adalah orang Selangor, Malaysia sebelum dia berkahwin dan menetap di Singapura.

"Sebelum meninggal arwah nenek pernah berkata, dia dapat rasakan satu hari nanti pasti ada keturunannya yang akan kembali ke Malaysia dan menetap di sini.

"Walaupun kisah itu disampaikan sebelum saya lahir lagi. Kini setelah saya bekerja dan tinggal di sini, perkara itu seperti menjadi satu kenyataan pula.

"Malah, saya juga tidak nafikan, ia seolah ketentuan takdir yang indah. Saya bertemu jodoh dan mencari sumber rezeki di Malaysia.

"Memang saya teringin nak duduk terus di Malaysia. Cuma proses itu memakan masa dan melalui pelbagai prosedur. Kita tunggu dan lihatlah," kata Ady yang cukup mengkagumi bakat dan karisma aktor Johnny Depp.

Serasi dengan Elly Mazlein

Beralih perbualan kepada karier lakonan, aksi Ady kini boleh dilihat dalam bersiri, Na O Mei di slot Akasia TV3.

Menerusi drama percintaan itu, Ady yang memainkan watak sebagai Reza bergandingan dengan Elly Mazlein selaku watak utama.

"Dalam drama Na O Mei, watak Reza adalah seorang lelaki yang terperangkap dalam konflik cinta bersegi-segi. Dia menyukai Na O Mei (lakonan Elly Mazlein), Camelia (Nabila Huda) dan watak lakonan Raja Farah.

"Jujurnya ia bukanlah watak yang sukar untuk dihayati, namun kekuatan drama ini terletak pada jalan cerita dan pemandangan di Langkawi yang melatari plot drama Na O Mei.

"Pengalaman berlakon di samping Elly Mazlein juga menyeronokkan dan kami serasi bergandingan.

"Kami pernah berlakon bersama dalam beberapa projek drama sebelum ini, jadi ia memantapkan lagi keserasian antara kami," jelas Ady.

Selain Na O Mei, Ady juga bakal muncul dengan filem terbarunya, Haq yang dijangka menjengah pawagam sekitar Mac depan.

Ditanya mengenai projek filem terbarunya, Ady berkata, dia bakal terlibat dengan filem bergenre epik dalam tahun ini di bawah arahan pengarah filem ternama.

Namun, Ady tidak dapat mengulas lanjut mengenai projek itu kerana rundingan bersama pihak produksi terbabit masih belum mencapai kata putus.

Bagaimanapun, dia bersedia untuk mengumumkan projek itu dalam masa terdekat.

Ingin Dapat Anak

Sebelum mengakhiri perbualan, Ady ditebak mengenai isu anak. Sebelum menyusun kata-kata menjawab persoalan itu, Ady sempat menghela nafasnya dalam-dalam.

Menurut aktor berusia 29 tahun ini, walaupun sudah empat tahun berkahwin, dia dan isteri Aida Yusof masih belum dikurniakan anak.

Namun, sebagai suami, Ady tidak pernah putus asa dan terus berdoa agar dikurniakan anak secepat mungkin.

"Memang saya dan isteri terlalu nak anak tetapi masih belum ada rezeki lagi.

"Tidak mengapa, kami masih muda dan akan terus berusaha ke arah itu. Doakanlah agar kami segera dapat anak," ujar Ady mengakhiri perbualan.

iklan

iklan

Iklan