Sofaz Lebih Senang Nyanyi Lagu Berentak Perlahan

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERKECIMPUNG dalam industri muzik selama tujuh tahun menjadikan kumpulan Sofaz semakin dikenali walaupun pada awalnya, kumpulan ini hanya gah di negara jiran.

Sebut sahaja band ini, sudah pasti gambarannya jelas dengan lagu-lagu berentak perlahan yang menjadi trademark mereka.

Kumpulan yang pernah mendapat tempat di negara Indonesia ini ketika ditemui mStar Online baru-baru ini, memberitahu mereka bakal keluar dengan album terbaru pada pertengahan tahun ini.

Menurut vokalisnya, Are-Meer, 24, album terbarunya itu akan memuatkan dua buah lagu baru berjudul Hingga Hujung Pernafasan Langitku dan Kamu dan Dirinya selain memuatkan lagu-lagu lama mereka.

Ditanya mengenai pemilihan dan ciptaan lagu-lagu yang berentak perlahan dinyanyikan oleh Sofaz, Are-Meer memberitahu, mereka lebih senang dengan lagu sebegitu.

Tambahan pula, lagu-lagu sebegini turut menjadi kegilaan peminat muzik terutamnya golongan anak-anak muda sekarang.

"Kami memang lebih berminat dengan lagu-lagu slow. Peminat lebih suka dengan lagu-lagu sebegitu," katanya selepas membuat persembahan di Suria FM Rancak Tour di Mydin MITC Melaka.

Menurut Are-Meer, lagu terbarunya itu turut mendapat sentuhan Zimi atau nama sebenarnya Zarimi Zahari selaku gitaris kedua Sofaz dan juga Zul 2 By 2 yang akan dimuatkan dalam album Best of Sofaz.

"Lagu kami yang baru ini hasil ciptaan Zimi dan turut dibantu oleh abg Zul 2 By 2.

"Dua buah lagu itu akan dimuatkan dalam album Best of Sofaz," kata Are-Meer.

Ketika ditanya mengenai ciptaan lagu yang dihasilkan oleh ahli kumpulannya sendiri, Are-Meer menjelaskan, dia tidak pernah memaksa dan menolak sekiranya ahli kumpulannya mempunyai lagu yang baik dan sesuai untuk kumpulannya.

"Saya tidak pernah tetapkan kepada kawan-kawan untuk buat lagu. Kalau sesuai dan baik, saya terima sahaja.

Sofaz terdiri dari Amir Mahiyiddin (Are-Meer) 24 tahun (vokalis), Wan Shahbaharin Niktah (Shah), 29 (gitaris), Ahmad Fairouz Mohamad atau Fairouz, 27, (pemain bass), Wan Shah Baharom Niktah (One), 27,( dram), Zarimi Zahari (Zimi), 24 (vokal dan gitar kedua) serta Rodie Jamun, 29 yang bermain keyboard.

Ternyata, band yang pernah dicalonkan untuk kategori Album Pop Rock Terbaik AIM 2006, menerusi Janjiku, membuatkan ramai penonton teruja ketika membuat persembahan di Suria FM Rancak Tour di melaka baru-baru ini.

Ketika Are-Meer menyanyikan lagu yang menjulang nama Sofaz semula di persada muzik tempatan iaitu Janjiku, peminat mereka menyanyi sama, seolah membangkitkan satu nostalgia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan