Azza Terpinga-pinga, Keliru Kronologi Kes Pukulnya

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bahasa tubuh dan cara Azza menjelaskan kes kontroversinya sedikit meragukan. Malah, dia kelihatan keliru apabila diminta mengulangi kronologi kes itu. - Foto oleh Utusan
Bahasa tubuh dan cara Azza menjelaskan kes kontroversinya sedikit meragukan. Malah, dia kelihatan keliru apabila diminta mengulangi kronologi kes itu. - Foto oleh Utusan

BERTEMU dengan penyanyi dan pelakon Azza Elite di majlis pelancaran drama terbaru lakonannya Ejen 008 adalah peluang berharga untuk mendapatkan penjelasan daripadanya berhubung kes kontroversi dipukul kekasih sehingga membawa kepada laporan polis beberapa minggu lalu.

Dalam reaksi serba tidak kena Azza tetap dapat mengukir senyuman sebelum memulakan bicara.

Menurut bintang berusia 32 tahun ini, kontroversi yang tercetus itu telah disalahtafsirkan oleh khalayak ekoran percanggahan beberapa fakta tentang kes itu.

Tampil membuat penjelasan, Azza berkata, kes dia dipukul kekasih dan cerita tentang dia membuat laporan polis adalah dua kes yang berbeza.

Untuk kontroversi pertama berhubung kes dia membuat laporan polis, sebenarnya dia bertindak demikian bukan kerana pergaduhan atau dipukul oleh kekasihnya seperti yang didakwa.

Sebaliknya, tujuan dia membuat laporan polis adalah kerana SMS (Sistem Pesanan Ringkas) ugutan yang diterimanya daripada seseorang yang tidak dikenali.

Tambah Azza, SMS berbaur ugutan itu telah dihantar kepada nombornya beberapa kali dengan kata-kata gurauan yang disifatkannya memperlekehkan maruahnya.

Azza yang enggan bercerita dengan mendalam mengenai kandungan SMS itu bagaimanapun menganggap si penghantar sengaja ingin bergurau atau mempersendakannya dengan cara gurauan yang keterlaluan.

"Orang itu menghantar SMS gurauan dengan kata-kata dan cara yang tidak manis dan tidak elok.

"Malah, selepas saya memberi amaran kepadanya pun dia masih mengganggu saya dengan kiriman SMS yang serupa.

"Mungkin pada orang lain, ia bukanlah perkara besar sehingga perlu membuat laporan polis, tapi tidak bagi saya.

"Apabila saya menerima SMS sebegitu secara berterusan selama seminggu, ia mula menimbulkan perasaan tidak senang kerana memperlekehkan maruah saya.

"Sebelum sesuatu yang buruk berlaku, lebih baik saya membuat laporan polis," katanya.

Usai konflik pertama, Azza lantas diminta menjelaskan senario sebenar mengenai kes dia dipukul kekasih sehingga membawa kepada laporan polis.

Kata Azza, pergaduhan dengan kekasihnya, Firhan Yusuf adalah pertelingkahan biasa sebagaimana pergaduhan antara kekasih. Ia tidak seteruk seperti yang digembar-gemburkan.

"Biasalah, sebagai pasangan kekasih, kami hanya berselisih faham dan bergaduh kecil sahaja.

"Terus-terang saya kata, ia langsung tidak melibatkan pukul-memukul seperti yang didakwa.

"Apatah lagi sehingga menyebabkan kecederaan dan dahi berdarah seperti yang dinyatakan.

"Itu tidak benar. Isu ini telah disalahtafsir dan diperbesar-besarkan. Kami hanya bertekak kerana perselisihan faham. Tidaklah sampai saya dipukul," jelas Azza lagi.

Bercerita lanjut, Azza berkata, 'serangan' SMS liar terhadapnya itu adalah salah satu punca pergaduhan dengan kekasihnya.

Ekoran tekanan yang dilaluinya kerana kiriman SMS itu dan tekanan kerja, Azza mengakui dia mudah beremosi. Lantas, pertelingkahan kecil dengan kekasihnya menjadi semakin tegang.

Justeru enggan keadaan menjadi lebih tegang, Azza membuat keputusan untuk ke balai polis dan menjadikan pihak polis sebagai saksi dan orang tengah seandainya sesuatu yang lebih buruk berlaku.

"Saya agak tertekan ketika itu kerana kes SMS dan tekanan kerja. Kekasih pula sedikit mendesak dalam banyak perkara termasuklah isu SMS itu.

"Pertelingkahan pun tercetus. Tapi saya faham Firhan seorang yang begitu mengambil berat mengenai saya, sebab itu dia bising.

"Memandangkan pergaduhan semakin serius, kami yang sedang bergaduh di pos pengawal berhampiran rumah, lantas saya ajak ke balai polis untuk selesaikan hal.

"Bukannya apa, jika apa-apa berlaku, sekurang-kurangnya ada pihak ketiga untuk meleraikan," katanya.

Oleh kerana penjelasan Azza mengelirukan dan menimbulkan keraguan, ibu kepada Marissa Jannah, 5, diminta menceritakan semula kronologi kes kontroversinya itu dengan lebih tersusun dan meyakinkan.

Seperti orang tak keruan, Azza terpinga-pinga dalam kekeliruan dengan fakta sebenar cerita yang berlaku.

Reaksinya itu benar-benar menimbulkan tanda tanya akan kesahihan kisah sebenar yang berlaku.

Namun sebagai menghormati Azza, versi penjelasannya itu diterima pakai seadanya seperti mana yang diceritakannya. Kebenarannya, hanya Tuhan yang tahu.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan