Pete Teo Tidak Harap Populariti ‘Pergi’

Diterbitkan: Jumaat, 22 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lagu Pergi ciptaan Pete Teo dinobatkan sebagai Juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-24. -Foto The Star oleh KEVIN TAN
Lagu Pergi ciptaan Pete Teo dinobatkan sebagai Juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-24. -Foto The Star oleh KEVIN TAN

SUDAH namanya kawan baik, sampai bila-bila pun komposer, penyanyi, pelakon dan produser terkenal Pete Teo akan mengingati setiap detik pertemuannya dengan pengarah popular Arwah Yasmin Ahmad sama ada menerusi telefon atau di depan mata.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya sesetengah masyarakat Melayu lebih mengenali Pete melalui karya Yasmin berjudul Talentime.

Lagu Pergi atau dalam versi Inggerisnya, I Go, yang dimuatkan dalam Talentime membuatkan ramai yang menyangka lagu itu dicipta khas oleh Pete untuk Yasmin.

Seawalnya, Pete berkata dia tidak berniat mencipta lagu I Go pada hujung tahun 2008 khas untuk filem lakonan Mahesh Jugal Kishor dan Pamela Chong Ven Tee itu.

Tetapi dia tidak menolak apabila Yasmin berminat untuk menjadikan lagu itu sebagai antara lagu runut bunyi filem itu. Selain lagu I Go, lagu Just One Boy dan Angel ciptaannya turut dimuatkan dalam filem yang sama.

Bagi Pete, dia hanya membuat lagu itu untuk mewujudkan perpaduan dan yang pasti dia lebih gemar menunjukkan kejujuran dalam lagu itu yang disampaikan daripada hati.

Namun, Pete sendiri masih berasa seram apabila meneliti lirik lagu yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu kerana serta-merta kenangannya dengan Yasmin berlegar-legar di kepala.

“Saya dan Yasmin selalunya akan berhubung melalui SMS kerana masing-masing sibuk ke luar negara. Kalau saya pulang ke Malaysia, tidak lebih dari 10 kali saya berjumpa dan menikmati makan malam dengannya.

“Setelah dia tiada dan saya teliti semula lirik lagu I Go iaitu ‘..words have fallen silent like soldiers to the grave..’, terus saya terfikir perkataan 'words' yang menjadi simbolik hubungan kami yang berlangsung menerusi SMS,” beritahu Pete dalam nada tenang.

Terlalu banyak kenangan indah yang tak mampu diluahkan oleh Pete saat menemubualnya namun kadangkala mulutnya bercerita beberapa kiriman SMS daripada pengarah filem Sepet, Gubra, Mukhsin dan Muallaf itu yang masih disimpan dalam telefon bimbitnya.

Hubungannya dengan Yasmin yang berlangsung selama lapan tahun itu pastinya akan dikenang oleh lelaki berusia 38 tahun ini sampai bila-bila.

Mulutnya tidak putus-putus memuji Yasmin yang digelarnya ‘The Most Important Film Maker’. Dari kaca mata Pete, Yasmin merupakan seorang yang berani, jujur dan sangat berfikiran terbuka.

Ditanya, tidakkah dia akan membuat sesuatu untuk meneruskan legasi Yasmin, Pete berkata dia akan cuba melakukan sesuatu menerusi lagu-lagunya.

“Tahun ini merupakan tahun saya yang sibuk tetapi saya akan cuba fikirkan. Mungkin saya boleh membuat lagu yang mengikut semangatnya,” jelasnya yang turut berjaya menempatkan lagu Pergi sebagai Juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-24 baru-baru ini.

Keindahan lagu Pergi nyanyian Aizat dan liriknya oleh Amran Omar itu telah membuatkan ramai yang menganggap Pete seolah-olah telah menelusuri usaha Yasmin dalam mencapai mesej 1Malaysia yang turut dimuatkan dalam filem Talentime.

Bagi Pete, dia merasakan kemenangan itu juga sebagai satu tribute oleh Yasmin untuk 1Malaysia. Sebagai anak Malaysia, anak kelahiran Tawau, Sabah ini mahu berkongsi kemenangan ini dengan semua rakyat Malaysia.

Bagi Pete, dia bukanlah seorang yang terlalu mengejar anugerah, populariti atau wang semata-mata apabila berkarya sebaliknya kepuasannya dalam berkarya yang lebih diutamakan.

Sebab itu dia tidak kisah saat ditanya nama Aizat lebih kerap disebut-sebut sebagai pemenang AJL24 dan bukan dirinya sebagai pemilik lagu itu.

“Saya tidak kisah kerana Aizat telah melakukan kerja yang baik dan orang menyukai persembahannya. Saya sendiri menonton persembahannya menerusi rakaman di YouTube sewaktu di China,” katanya yang banyak mengembara ke luar negara sejak berusia 10 tahun kerana mengikut bapanya bekerja di Singapura.

Sebanyak 12 negara yang dijelajahinya atas urusan kerja termasuk Jepun, Korea, Amerika, negara Timur Tengah, Afrika dan Eropah Timur.

Pete yang begitu mementingkan kesempurnaan itu akui kejujuran, kekuatan lagu yang berkait dengan semua orang itu membuatkan kemenangan lebih memihak kepada lagu Pergi.

“Semua orang pernah kehilangan orang yang mereka sayangi sebelum ini. Dengan melodi yang mudah diterima oleh semua orang mungkin membuatkan lagu ini lebih mendapat tempat di hati semua.

“Tetapi saya tak nafikan selera setiap orang berbeza dan saya tidak berharap semua orang menyukai lagu Pergi,” jelasnya yang hanya mengambil masa 10 minit untuk menghasilkan lagu I Go.

Pete berkata, dia akan menggunakan habuan wang tunai sebanyak RM35,000 yang dibahagikan antara dia, Aizat dan Amran Omar itu untuk membeli hadiah kepada keluarganya.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan