Nubhan Mengeluh, Album Banyak Kali Tertangguh

Diterbitkan: Jumaat, 22 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DALAM seronok mendengar lagu Oh Juwita yang semakin hangat diputarkan di stesen radio tempatan, penyanyi Ahmad Nubhan Ahmad sempat mengeluh tentang album yang banyak kali tertangguh itu.

Ramai yang menganggap album sulungnya yang setakat ini menggunakan nama Langkah Nubhan itu agak lewat untuk tampil di pasaran.

“Sebelum ini saya pernah beritahu album ini mungkin akan dipasarkan selepas Hari Raya Aidlfitri tahun lalu tetapi tak keluar-keluar juga. Sebenarnya, saya mengalami masalah lain dari segi pemilihan lagu yang tiga kali dirombak dan masalah kesihatan.

“Biarlah orang kata lambat pun, kerana saya mahu hasilkan album jangkamasa panjang. Saya rasa belum terlambat untuk keluarkan album.

“Saya merupakan artis baru, jadi agak berat untuk menghasilkan album sulung dalam tempoh yang cepat. Lainlah jika artis senior. Cuma saya harapkan album ini mendapat sambutan terbaik.

“Jadi, dengan kemunculan album ini nanti, saya harap ia dapat menjadi hadiah buat peminat-peminat yang menantikan kemunculan album saya,” jelas penyanyi yang pernah memenangi tempat ketiga dalam program realiti Akademi Fantasia keenam ini.

Atas kelebihannya yang boleh berbahasa Cina, Nubhan telah merakamkan lagu Ai Mei Cuo untuk dimuatkan dalam album sulungnya yang bakal muncul pada pertengahan Februari ini.

Lagu ciptaan komposer dan penyanyi Tam Spider itu sekaligus merealisasikan impiannya yang mahu menyanyikan lagu dalam bahasa Cina.

“Saya memang sudah lama teringin menyanyikan lagu berbahasa Cina sebab saya tahu bercakap bahasa itu setelah belajar di sekolah Cina selama lapan tahun.

“Lagu Ai Mei Cuo merupakan lagu terakhir yang dirakamkan untuk album saya dalam minggu ini. Saya menyanyikan lagu secara duet dengan seorang penyanyi Cina, Max yang masih baru dalam industri seni ini.

“Selain lagu Ai Mei Cuo yang kalau tak silap saya bermaksud Tidak Salah Bercinta itu, tujuh lagu lain yang turut dimuatkan dalam album saya nanti adalah Diredup Matamu, Ratu Hati, Beri Rasa, Aku Atau Dia, Oh Juwita, Seadanya Aku dan Ada Untukmu,” katanya yang turut akan menghasilkan empat klip video lagu daripada album itu.

Antaranya lagu yang akan dihasilkan dalam bentuk klip video adalah Diredup Matamu, Oh Juwita, Beri Rasa dan Ai Mei Cuo.

Dengan kos hampir RM100,000, Nubhan menghasilkan lapan buah lagu termasuk empat buah klip video.

Mengenai pemilihan lagu berbahasa Cina itu, Nubhan berkata dia mahu menyasarkan album itu kepada pendengar berbangsa Cina dan akan menghantar lagu tersebut ke stesen radio Cina.

“Kalau lagu ini mendapat sambutan, saya akan buat sesuatu. Mana tahu saya boleh memboleh persembahan untuk majlis melibatkan bangsa Cina.

“Sebelum ini, saya pernah mendapat jemputan menyanyikan lagu berbahasa Cina, Tong Hua Guan Liang dan idea untuk menghasilkan lagu berbahasa Cina juga datang dari permintaan peminat dan penganjur majlis sebelum ini kerana merasakan saya mempunyai kelebihan itu,” beritahunya yang bernaung di bawah Artistes United Records Sdn Bhd (AUR) ini.

Dalam perkembangan lain, jejaka berusia 24 tahun dari Negeri Sembilan ini akan muncul dengan filem Romance arahan Sharad Sharan yang diadaptasi daripada novel Lagenda Budak Setan karya novelis popular Ahadiat Akashah.

Menurut Nubhan, sebagai rangka promosi filem yang turut dilakonkan oleh pelakon popular Lisa Surihani dan Farid Kamil itu, novel Lagenda Budak Setan akan dipasarkan semula pada Februari ini.

“Saya memegang watak seorang budak nakal iaitu 'Sapi'. Sebelum filem itu ditayangkan, saya mendapat tahu sebuah novel edisi istimewa yang menampilkan karektor pelakon dalam filem itu juga akan diterbitkan terlebih dahulu. Saya sudah menulis perasaan dan maklumat mengenai diri saya sebagai bahan dalam novel itu,” akhirinya.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan