Kakak Tua: Kemaafan Dendam Yang Terindah!

Diterbitkan: Jumaat, 22 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEWAKTU mendengar lirik lagu Kak Chah, 'Kemaafan Dendam Yang Terindah' karya Ross Ariffin dan nyanyian Aishah, tidak tercapai dek akal kenapa dan mengapa bait-bait lagu ini dipilih.

Rupa-rupanya terselit banyak pengajaran dan keinsafan jika didengar berkali-kali. Dan keindahan sebuah kemaafan hanya akan dirasakan apabila tiada lagi dendam di hati. Lagu ini tiba-tiba saja bermain dalam kepala tatkala melihat kasih bertaut antara dua pengacara penuh sensasi Aznil Nawawi dan Azwan Hj Ali baru-baru ini.

Semakin dewasa, semakin bijak kita mengendali emosi dan lebih arif mengawal kata agar yang pahit dan pedih itu tidak singgah di telinga orang-orang yang tidak kita gemari. Pengalaman itu sebaik-baik guru untuk kita mengambil pedoman.

Kakak Tua cukup kagum keperibadian primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad yang semakin menolak 'hiasan dunia'. Setiap waktu dimanfaatkan untuk mengutip bekalan pulang. Walau hati tercuit dek keghairahan media memaparkan wajah mudanya yang pernah berkemban satu ketika dulu di sebuah majalah baru-baru ini, Sarimah hanya menelan saja segala kepahitan itu.

"Biarlah, Kak Mah dah tak kuasa nak tegur lagi....walaupun Kak Mah tak senang melihat cover majalah itu," katanya melemparkan rasa yang amat terkilan.

Bagi Sarimah, apa yang dikecapinya hari ini cukup berharga. Kesihatan dan kesejahteraan hidup bersama anak-anak dan cucu-cucu yang penyayang adalah satu rahmat yang tidak terhingga. Begitu juga perjalanan hidup yang penuh kesederhanaan tanpa kepura-puraan.

Kisah silam semasa usia muda remaja hanya sebuah kenangan dan saat itu tidak mungkin berulang. Biarlah ia terpahat dalam sebuah memori usang kerana yang lebih penting, hubungan dengan si pencipta dijaga.

Bagi Sarimah, usia 67 tahun adalah satu bonus sebuah kehidupan dan damai yang dicari selama ini sudah pun ditemui. Dalam segala kerendahan hati, seniwati jelita yang pernah menjadi rebutan ramai lelaki hartawan ini memilih untuk hidup bersendirian kerana itulah kebahagiaan yang sudah diatur untuknya.

Kata Sarimah, dua perkara perlu dilakukan untuk mengecapi ketenangan yang dimilikkinya sekarang iaitu memaafkan segala keterlanjuran kata juga perbuatan dan buang perasaan hasad dan dendam.

"Bila kita ingat mati dan tidak ada apa yang kekal di dunia ini, kita tidak ada masa untuk berdendam," kata seniwati yang masih jelita itu.

Mungkin kesedaran itu masih belum dapat dinikmati oleh ramai angkatan artis baru dan lama sekarang.

Bukan semua diberi petunjuk dan laluan mudah untuk memaafkan. Sarimah sungguh istimewa di mata Kakak Tua kerana bintang filem veteran ini berani berpijak di bumi nyata dan sudah berhenti dari mengumpul angan-angan yang tidak berkesudahan.

Mungkin juga sebab itu, tempat Sarimah di persada seni tetap eksklusif walaupun dia sudah tua dan sepi dari berita.

Bukan saja dia sudah tidak kuasa untuk bergelumang dalam dunia seni, Sarimah mengaku dia cukup takut difitnah.

Disebabkan itu, dia lebih senang menyendiri bersama famili melainkan ada perkara terdesak, baru dia akan mengorak langkah keluar rumah.

Dan benar sekali kata Sarimah, bila kita bermaaf-maafan, ia dapat mencuci hati agar bersih dari noda hitam. Dan hidup menjadi lebih tenang setelah dosa sesama manusia dapat ditebus di dunia.

Alangkah ruginya mereka-mereka yang masih menyimpan kesumat kerana hidup ini begitu singkat untuk dihabiskan bermusuhan dan berdendam.

Dan yang akan dibawa pulang bukan emas atau harta tapi hanya sehelai kain putih.

KAKAK TUA: Senang memaafkan tapi tidak mudah lupa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan