Belasungkawa: Dr Anuar Nor Arai (1943 - 2010)

Diterbitkan: Khamis, 21 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALLAHYARHAM Dr Nor Arai meninggal dunia akibat serangan jantung.
ALLAHYARHAM Dr Nor Arai meninggal dunia akibat serangan jantung.

PEMERGIAN seorang karyawan dan juga pendidik yang lantang memperjuangkan karya filem seni merupakan kehilangan yang cukup besar kepada industri seni tanah air.

Kelantangannya memperjuangkan filem berkonsep seni selain mencetuskan semangat kebangkitan filem Malaysia dari sudut akademik sudah pasti akan terus dikenang.

Namun pada 20 Januari, pengkaji dan pensyarah filem terkenal, Dr Anuar Nor Arai pergi menghadap Ilahi.

Di Pusat Perubatan Selangor, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.25 petang di sisi isterinya, Zahrah Ibrahim serta tiga anaknya iaitu Mazura, 39, Zuraira, 37, dan Ifa Mutiara, 36.

Anuar, 66, mula menerima rawatan di hospital berkenaan sejak lapan hari lalu dan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Allahyarham pernah mencipta sejarah dalam dunia perfileman tanah air kerana mengarahkan filem dengan durasi terpanjang iaitu selama lima jam berjudul Johnny Bikin Filem.

Bagaimanapun filem pertama dan terakhirnya itu yang diterbitkan oleh Universiti Malaya (UM) pada 1995 tidak pernah ditayangkan kepada umum.

Walaupun karyanya tidak pernah dipertontonkan kepada orang ramai, namun sudah pasti satu kejayaan bermakna buatnya apabila Johnny Bikin Filem mencipta rekod sebagai filem tempatan paling lama disiapkan layak untuk disenaraikan dalam pelbagai kategori di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) pada 2008.

Johnny Bikin Filem memaparkan kisah Johnny, seorang anak muda dari kampung yang menjadi ketua gangster berpengaruh di Singapura dalam tahun 1950-an.

Ketika itu dunia filem Melayu dikuasai kapitalis Cina dari Hong Kong, dan gangsterisme menjadi sebahagian daripada pelengkap sosial zaman itu.

Johnny dengan kekayaan dan pengaruhnya berhasrat membeli studio filem di Singapura setelah menjalinkan hubungan cinta dengan salah seorang primadona filem Melayu.

Filem berdasarkan skrip, lakon layar dan arahan Anuar itu membariskan pelakon seperti Zack Idris, Erma Fatimah, Wafa Abdul Kadir, Datuk Jalaludin Hassan, Omar Rojik (Allahyarham) dan M Amin (Allahyarham).

Kru produksi yang terbabit dalam filem ini ialah Meor Hashim Manap sebagai penyunting, Jamal Maarif (pengarah fotografi) dan Din Osman (penggubah skor muzik).

Allahyarham atau nama sebenarnya Anuar Mohd. Nor @ Arai adalah anak Malaysia pertama yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perfileman dari Universiti California Los Angeles, Amerika Syarikat dan bertugas lebih 20 tahun sebagai pensyarah bidang perfileman di UM.

Selain itu, beliau pernah bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan jawatan terakhir yang disandangnya ialah Timbalan Rektor Aswara.

Anuar juga pernah mengarah beberapa teater termasuk teater terakhirnya berjudul, Ronggeng Rokiah yang dipentaskan di Istana Budaya.

Walaupun Allahyarham lebih terkenal dalam bidang akademik, namun namanya bukanlah asing dalam genre drama pentas.

Naskah 'Tok Selampit' karya beliau adalah antara naskah drama yang sering dikaji selain drama Vakum dan Si Pemacak yang sering pula dijadikan drama untuk latihan oleh pelajar-pelajar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan