Zed 'Berkorban' Untuk Bela Nasib Rakan Artis

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DILANTIK sebagai Ketua Biro Seniman Muda di bawah Persatuan Seniman (Seniman) adalah satu tanggungjawab yang cukup besar untuk pelakon ini.

Bagi Zed Zaidi, ia bukan hanya sekadar jawatan untuk dirinya, namun kepercayaan yang diletakkan di bahunya itu membuatkan jejaka ini sedar idea dan usahanya memang diperlukan untuk sama-sama membangunkan persatuan itu dan pada masa yang sama membantu membela nasib rakan-rakan pelakon yang lain.

Visi Zed di dalam persatuan ini sememangnya cukup tinggi. Setelah terpilih sebagai ahli jawatankuasa Seniman bagi penggal 2010/2011 di bawah pimpinan presiden baru, Harun Salim Bachik ini, dan kemudiannya sebagai Ketua Biro Seniman Muda, Zed sudah mula memasang agenda tersendiri termasuklah untuk menarik minat artis-artis muda untuk menyertai persatuan itu.

Menurut pelakon berusia 29 tahun ini, dia tidak mahu dilihat hanya bercakap kosong saja, tetapi hasilnya menghampakan. Dan perkara pertama yang dilakukan olehnya setelah pelantikan itu ialah menukar nama biro 'Putera Puteri Seniman' kepada 'Seniman Muda'.

"Saya mencadangkan dalam mesyuarat AJK untuk menukar nama biro ini. Bagi saya, nama Seniman Muda lebih sesuai digunakan pada masa sekarang kerana 'Putera Puteri' itu juga menggambarkan golongan muda.

"Namun apa yang penting sebenarnya adalah perisian aktiviti di dalam biro ini. Saya sedar, saya perlu memikul cabaran yang besar. Saya ingin melobi artis-artis muda untuk sertai persatuan ini. Mungkin selama ini orang beranggapan Seniman adalah untuk artis-artis veteran saja, tapi persepsi itulah yang ingin saya tangkis.

"Setakat ini, usaha awal saya menampakkan hasil. Ramai juga pelakon-pelakon sudah mula menyertai persatuan ini. Saya sebenarnya ingin menyedarkan mereka tentang faedah menyertai persatuan seperti ini. Jangan bila ditimpa masalah kelak, baru datang cari persatuan.

"Banyak perkara yang boleh diselesaikan jika berada di dalam persatuan. Memandangkan saya berada dalam Seniman, sudah tentu saya akan cuba menarik mereka sertai Seniman kerana saya tahu apa yang persatuan ini boleh tawarkan kepada mereka," kata Zed bersemangat.

Agenda pertama yang dirancangkan oleh Zed dan bironya pada tahun ini ialah untuk menggiatkan lagi pendaftaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di kalangan artis. Bukan hanya tampil dengan cadangan, Zed turut memastikan usaha itu digerakkan.

Buktinya, biro Seniman Muda berjaya mengadakan pendaftaran caruman KWSP serta insuran berkelompok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam, yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

"Alhamdulillah, setakat ini lebih kurang 100 artis telah mendaftar. Ini satu permulaan yang baik. Apa yang saya ingin lakukan ialah untuk menggalakkan lebih ramai artis untuk mendaftar KWSP ini dan kemudian, baru kita boleh mendesak penerbit-penerbit drama mahupun filem sediakan kontrak beserta dengan kadar potongan KWSP yang tetap kepada pelakon-pelakon ini.

"Kita akan menggunakan khidmat peguam persatuan ini untuk meneliti dulu kontrak tersebut. Tapi untuk merealisasikannya, sudah tentu kita memerlukan kerjasama daripada pelakon-pelakon," ujar Zed.

Mengenai insuran berkelompok itu pula, setiap ahli Seniman boleh menikmati pelbagai perlindungan dengan premium paling minima serendah RM50 sahaja setahun menerusi kad insuran yang diberi nama Senicare.

Dalam pada itu, berbicara lanjut tentang perancangannya yang lain bersamai biro Seniman Muda, kata Zed, dia masih ada beberapa 'misi' lain untuk dilaksanakan. Salah satunya ialah untuk menjadikan Seniman Muda sebagai 'one-stop centre' untuk golongan artis.

"Satu hari nanti, saya berharap mana-mana artis yang mendaftar di bawah persatuan Seniman, mereka sekaligus boleh terus mendaftar nama komersial masing-masing di dalam industri ini.

"Jadi, sekurang-kurangnya dapat elakkan kesilapan nama artis, sebagai contoh apa yang saya alami sendiri baru-baru ini apabila orang menganggap saya terbabit dalam kemalangan, sedangkan itu adalah pelakon lain yang mempunyai sedikit persamaan nama dengan saya.

"Insya-Allah, di bawah biro Seniman Muda juga, saya ingin cuba dapatkan projek-projek lakonan untuk pelakon-pelakon baru dengan kerjasama program UMNO Juara Rakyat," kata Zed yang juga merancang untuk menganjurkan kursus motivasi untuk golongan artis bersama pakar motivasi.

Ditanya sama ada dia mampu memikul tanggungjawab yang besar itu bersama Seniman apatah lagi pada masa yang sama, dia juga sibuk dengan kariernya sebagai pelakon, akui Zed, dia tidak menolak perasaan tertekan itu adakalanya memang wujud dalam dirinya.

"Tugas saya ini memerlukan tanggungjawab yang tinggi, apatah lagi saya juga sibuk berlakon. Tetapi saya yakin dengan bantuan AJK Seniman yang lain seperti Sazzy Falak, Jehan Miskin dan Serina Redzuawan serta termasuklah presiden Seniman sendiri, Harun Salim Bachik, kami dapat lakukannya bersama-sama.

"Saya bukan buat untuk diri saya sendiri, tetapi atas platform persatuan juga. Apa yang penting, artis-artis lain juga diharap dapat memberikan kerjasama yang baik dengan saya dan persatuan ini," kata Zed.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan