Rantai Emas Putih Tanda Cinta Nabil Pada Irma

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KISAH percintaan hangat aktres jelita Irma Hasmie dengan pasangannya, juara Raja Lawak musim kedua, Nabil sering menjadi topik bualan ramai terutamanya apabila mereka telahpun mengumumkan untuk berkahwin pada tahun ini.

Namun begitu pasangan selebriti ini masih lagi berteka-teki tentang tarikh pertunangan mereka.

Sempena hari ulang tahun Irma ke-27 pada 8 Januari lalu, Nabil telah memberi kejutan dengan menghadiahkannya seutas rantai emas putih sebagai tanda cintanya dan secara tidak langsung menafikan desas-desus terhadap keretakan hubungan cinta mereka baru-baru ini.

"Perjalanan cinta saya dengan Nabil seperti biasa, tiada apa-apa masalah, cuma kami tidak putuskan lagi bila akan bertunang. Seperti yang diberitahu Nabil, insya-Allah tahun ini kalau tiada ada halangan, tapi belum ada apa-apa persiapan yang serius.

"Sempena hari lahir saya minggu lalu, dia ada buat kejutan, sehari sebelumya dia hantar cupcakes. Pada malam hari jadi saya, dia telah merancang bersama kawan-kawan saya yang lain untuk buat kejutan dan hadiahkan seutas rantai emas putih," ujar pengacara Galaksi di TV9 ini.

Walaupun tidak menyatakan harga rantai tersebut namun Irma mengakui nilai pemberian rantai yang dihadiahkan kekasihnya itu amat bererti.

"Tidak eloklah kalau saya beritahu harganya tapi apa yang lebih mahal ialah nilai kasih sayang dan kebahagiaan kami," ujar Irma yang sedang menjalani penggambaran drama Alif Firdaus.

Irma turut memberitahu, majlis pertunangan dan perkahwinannya yang bakal dilaksanakan nanti adalah secara sederhana sahaja.

"Saya tidak mahu terlalu besar, biarlah secara sederhana seperti orang lain dan kalau boleh ikatan pertunangan tersebut tidaklah terlalu lama.

"Tentang konsep majlis, saya masih belum fikirkan lagi sebab ianya belum ditentukan dan tiada perancangan yang lebih serius kearah itu buat masa ini," ujar Irma yang lebih selesa jika perkara berkaitan pertunangannya dijawab sendiri oleh Nabil.

Dalam perkembangan lain, dia kini sibuk menjalani penggambaran drama 26 episod bertajuk ‘Aliff Firdaus’ yang sedang ditayangkan untuk slot Perdana di TV3 bersama beberapa pelakon lain seperti Beego Nasir Bilal Khan, Fadhilah Mansor, Zed Zaidi, Fezrol Khan, Jasmin Hamid, Maria Farida, Kuza, Rahim Jailani, Khatijah Tan dan ramai lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan