Malam AJL24 Milik Bintang-bintang Muda

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aizat menyerlah dengan kemenangan berganda selaku Juara dan Persembahan Terbaik. - Foto The Star oleh AZMAN GHANI
Aizat menyerlah dengan kemenangan berganda selaku Juara dan Persembahan Terbaik. - Foto The Star oleh AZMAN GHANI

UMUM telah mengetahui kejayaan lagu Pergi dendangan penyanyi dan komposer muda, Aizat di malam Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) kelmarin. Menyusuli Pergi di tangga kedua adalah Dan Sebenarnya oleh Yuna. Di tempat ketiga pula berpihak kepada Bencinta hasil kolaborasi komposer dinamik Audi Mok dan penyanyi Faizal Tahir.

Selaku juara AJL24, Aizat kelihatan cukup teruja, ceria dan seakan tidak senang duduk disebabkan terlalu gembira dengan kejayaan itu.

Tambah penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 5 (AF), kemenangan besar itu amat bermakna buatnya kerana itu merupakan kejayaan pertama yang pernah diperolehi sejak dari alam persekolahan lagi.

"Terus terang saya katakan, sejak dari zaman sekolah lagi saya tidak pernah apa-apa pertandingan yang saya sertai.

"Tidak kiralah pertandingan nyanyian, puisi atau apa sahaja, saya memang tidak pernah menang. Malah, ketika menyertai AF5 pun, saya tersingkir awal.

"Kemenangan ini melahirkan perasaan bercampur baur dalam diri saya. Saya gembira, bersyukur, takut, gemnetar dan lupa diri seketika dibuatnya," katanya dalam nada bergurau.

Jelas Aizat, kekuatan lagu Pergi mungkin terletak pada adunan muzik indah dan lirik yang puitis.

Malah, Aizat juga percaya gabungan orkestra dan instrumen seperti gitar akustik dan erhu adalah antara faktor yang menarik perhatian juri.

Malam Aizat terus bergemerlapan apabila memperolehi kemenangan berganda menerusi satu lagi lagu yang dipertandingkan, Kau Aku.

Lagu tersebut telah diangkat sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik. Persembahan serba 'comel' dan ringkas yang turut menampilkan lebih daripada 30 pelajar sekolah itu berjaya membawa kelainan dan menghidupkan penceritaan lirik lagu yang berkisar kepada semangat anak muda dan motivasi diri.

Mengulas kejayaan lagu itu, Aizat berkata, idea dan konsep persembahan istimewa itu adalah hasil buah fikiran warga syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment dan ahli keluarga.

"Idea untuk menampilkan kanak-kanak sekolah itu tercetus hasil perbincangan warga Kasi Gegar dan ahli keluarga saya sendiri.

Pelajar-pelajar itu datang dari pelbagai sekolah termasuklah St. John, Convent Bukit Nenas, sekolah dari Muar, Johor dan beberapa orang sepupu saya sendiri.

"Kami himpunkan lebih 30 orang pelajar sekolah ini untuk wujudkan kemeriahan semasa persembahan.

"Tambahan pula, kisah lagu Kau Aku itu sendiri memang bersesuaian dengan elemen semangat anak muda dan berbentuk motivasi.

"Tapi saya tidak sangka persembahan itu akan menarik hati para juri. Ini bukan sahaja kemenangan saya seorang tetapi juga ahli keluarga dan Kasi Gegar yang banyak membantu dalam memikirkan idea dan konsep persembahan.

"Saya ingin dedikasikan kemenangan ini untuk semua peminat yang menyokong industri muzik tanah air," katanya yang ditemui di majlis sidang media sejurus selepas AJL24, kelmarin.

Yuna yang memiliki aura tersendiri dengan alunan suara dan persembahan persis Norah Jones mengakui sedikit tertekan ekoran kejayaan lagu, Dan Sebenarnya yang menduduki tempat kedua. Katanya, dia langsung tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang di pertandingan besar seperti AJL.

Malah, Yuna seakan tidak percaya kerana penyanyi arus indie sepertinya diberi peluang beraksi di pentas keramat itu.

"Ekoran kejayaan ini, saya akui sedikit tertekan selepas ini. Masyarakat akan terus mengharapkan yang karya lebih baik, lebih besar dan berbeza daripada apa yang sudah saya tampilkan.

"Kejayaan ini adalah satu penyuntik semangat buat saya untuk terus bekerja keras dan menghasilkan muzik yang lebih baik selepas ini.

"Ini bermakna, saya harus laburkan lebih banyak wang dan komitmen untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan berbeza," kata graduan Undang-undang dari UiTM, Shah Alam itu.

Sambil menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pemangkin semangat buatnya untuk melakukan yang lebih baik di masa akan datang, Yuna juga berharap agar perjalanan karier seninya akan terus bersinar.

Sementara itu, aksi bertenaga Faizal Tahir menerusi lagu Bencinta memikat para juri untuk menobatkannya selesa di tangga ketiga.

Menurut Faizal, keterbatasan fizikalnya untuk tampil agresif dan bertenaga di atas pentas ternyata tidak melemahkannya untuk tetap menampilkan persembahan memukau.

Dengan imej dan busana ala Michael Jackson, Faizal yang terpaksa bertongkat kerana masalah kesihatan yang dihadapinya, memang memukau dengan lagu Bencinta.

"Asalnya, saya merancang untuk tampil dengan persembahan yang biasa-biasa saja ekoran keadaan kesihatan yang saya hadapi sekarang.

"Saya memang sudah rancang untuk sekadar naik ke pentas dan nyanyi saja lagu itu. Ini kerana saya sedar keadaan kesihatan ini pasti akan mengganggu kelancaran persembahan.

"Saya amat bersyukur dengan peluang dan kejayaan ini. Walaupun ada awalnya, saya agak ragu-ragu dengan kemampuan diri untuk muncul di AJL.

"Saya kuatkan diri demi tanggungjawab sebagai penyanyi dan komposer lagu ini," jelas Faizal.

Faizal turut mengakui, pada awalnya dia merancang untuk tampil dengan sebuah persembahan yang berskala besar dan lain daripada yang lain. Tapi, ia melibatkan komitmen satu pihak yang lain. Malangnya perancangan itu tidak mendapat kelulusan pihak tersebut dan enggan untuk bekerjasama dalam persembahan yang dirancang.

Justeru, perancangan itu terpaksa dilupakan saja. Bagaimanapun, persembahan Faizal tetap gah dengan alternatif persembahan baru seperti yang ditampilkan.

Faizal bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pihak terbabit yang dimaksudkannya itu.

Bagi pendatang baru, juga juara program Mentor musim ke-3, Black mengejutkan ramai apabila dipilih sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik.

Ternyata, penyanyi bersuara unik ini telah tampil dengan vokal bertenaga dan konsisten sepanjang mempersembahkan lagu Aku Rindu Sayang Kamu, hingga menambat hati barisan juri untuk menobatkannya sebagai pemenang.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Ia satu pengalaman yang tidak mungkin akan saya lupakan kerana ini adalah pertama kali saya membuat persembahan di pentas besar dan berprestij seperti AJL.

"Jujurnya, saya langsung tidak sangka akan menang Vokal Terbaik. Cuma, terdetik juga keinginan di dalam hati untuk menang kategori ini.

"Bila diumumkan sebagai pemenang, saya betul-betul terkejut dan tidak sangka keinginan itu menjadi kenyataan," akui Black.

Sementara itu, komposer terkenal Fauzi Marzuki selaku ketua juri, berkata, nadi kepada pemilihan pemenang-pemenang adalah berdasarkan kepada persembahan yang benar-benar menyerlah sehingga ia mampu berdiri dengan sendirinya dan menandingi persembahan penari atau penyanyi latar yang mengiringi persembahan mereka.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan