Riz Sanggup Tahan Sakit Demi Peminat

Diterbitkan: Khamis, 7 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Riz meniup lilin kek hari lahirnya yang ke-23.
Riz meniup lilin kek hari lahirnya yang ke-23.

DEMI peminat tersayang, Riz yang menyambut hari lahirnya pada 19 Disember lalu sanggup turun padang ke majlis ulangtahunnya yang ke-23 itu walaupun baru lepas tiga minggu menjalani pembedahan apendiks.

Majlis yang diadakan sehari sebelum hari lahir naib juara Akademi Fantasia musim keenam itu di Celebrity Kopitiam milik komposer Ajai itu dikelolakan oleh ahli kelab peminatnya, Riz-Angles.

“Saya telah menjalani pembedahan apendiks pada 29 November lalu di Pusat Perubatan Pakar Damansara. Sebelum itu, saya sudah berjanji dengan peminat untuk meraikan Hari Jadi saya bersama-sama.

“Walaupun sakit, saya sanggup berkorban demi peminat dan menahan sakit itu. Lagipun, mereka datang dari jauh seperti Johor, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak,” ujar penyanyi yang sedang popular menerusi lagu Bermula Semula.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ajai bersama isterinya, Liza. Bersesuaian dengan tema majlis iaitu ringkas dan santai, Riz tiba tepat pada pukul 9 malam dengan berkemeja putih dan berseluar jeans biru.

Kira-kira 20 peminatnya pada malam itu, berasa sangat bertuah kerana berpeluang berinteraksi dengan Riz secara lebih dekat. Mereka bukan sahaja dihiburkan dengan rangkaian lagu-lagu popular tetapi beberapa buah lagu yang dipetik dari album sulungnya seperti Bermula Semula, Khilaf dan Cinta Ini.

Riz turut mendendangkan lagu kegemarannya iaitu My Baby You dan Kasih Berubah dalam majlis yang berlangsung sehingga lewat malam itu.

Jejaka yang berasal dari Grik, Perak ini berkata disebabkan tidak terlalu mengamalkan pantang, perutnya pernah bernanah dan dimasukkan ke hospital buat kali kedua.

“Alhamdulillah, sekarang dah ok dan boleh meneruskan karier dalam bidang nyanyian tetapi saya masih takut untuk melanggar pantang.

“Tetapi masa mula-mula menyanyi selepas melakukan pembedahan, pusat saya berdarah. Saya rasa mungkin sebab terlalu banyak bergerak,” beritahunya yang sedang sibuk mempromosikan albumnya yang turut memuatkan lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang dinyanyikan secara solo.

Ditanya mengenai hadiah istimewa yang diterimanya sempena hari lahirnya, Riz menjawab:

"Semua hadiah yang saya terima istimewa belaka. Ada yang memberikan hadiah anak patung monyet, topi dan yang paling penting adalah hadiah doa daripada kedua ibu bapa saya."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan