Lawak 'Lucah' Tidak Akan Membantu Peserta - Afdlin

Diterbitkan: Selasa, 5 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Faiz - foto ASTRO
Faiz - foto ASTRO

TIRAI program Raja Lawak musim keempat dibuka kelmarin dengan menyaksikan 10 peserta mempamerkan kreativiti lawak masing-masing buat pertama kalinya di pentas Gelanggang Raja Lawak.

Mereka dibarisi oleh peserta solo dan berkumpulan. Enam peserta solo ialah Alex atau Alexander Ahat, 28 (Sabah), Aman atau Zulkefli Abu Bakar, 28 (Johor), Caca atau Abdul Halim Abdul Malek, 31 (Kedah), Faiz atau Khairul Faiz Sulaiman, 18 (Perak), Idlan atau Khairul Idlan Abdul Razak, 21 (Kedah) dan JD atau Ahmad Zaidi Masri, 30 (Perak).

Sementara empat kumpulan yang turut memberikan saingan ialah kumpulan Kecik yang dianggotai Achoe atau Mohd Ilham Rusdy, 19 dan Wan atau Safuan Madeaming (Sabah), kumpulan Mamu yang terdiri daripada Ajo atau Wan Azrul Azizan, 24 dan Abu atau Abu Musarrif Abu Bakar, 21 (Pulau Pinang), kumpulan An2 - Ijal atau Rosshahrizal Bachok, 24 dan Tepet atau Raja Nor Shafiq Azraie Shah, 20 (Johor) dan kumpulan Wili yang menggabungkan Wira atau Ismawira Bahdun, 22 dan Ali Black atau Mohammad Ali Maula Ahmad, 24, masing-masing dari KL dan Perak.

Tidak dinafikan, masih terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan mahupun jangkaan kerana berdasarkan persembahan mereka kelmarin, rata-rata perserta menunjukkan tahap persembahan yang 'biasa-biasa' saja.

Perkara itu turut diakui oleh tiga pengkritik tetap Raja Lawak musim ini iaitu Afdlin Shauki, Din Beramboi dan Bob Lokman yang merasakan setiap peserta masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki apatah lagi ia baru merupakan persembahan mereka yang pertama.

Namun begitu, kata Afdlin, ada dua orang peserta yang berjaya memberikan 'kejutan' kepada pengkritik-pengkritik dari segi persembahan pada malam itu.

"Faiz dan Idlan menampilkan persembahan yang bagus. Idlan sebagai contoh, berjaya mewujudkan cerita yang menarik. Faiz pula ketika sesi ujibakat, cara persembahan komedinya berbeza, tetapi malam ini kami memang 'surprise' dengan corak persembahannya yang berbeza.

"Apapun, untuk minggu pertama ini, memang masalah mereka semua ialah gementar. Disebabkan itu mereka nampak cuba fokus terlalu kuat dan merancang persembahan. Mereka kena ingat, kalau komedi yang dirancang tidak menjadi, dia kena bijak untuk tukar perancangan dengan spontan.

"Lagi satu, penggunaan loghat bahasa juga perlu berhati-hati, takut penonton tidak faham," kata Afdlin merumus persembahan keseluruhan pada malam itu.

Masih mengekalkan format permarkahan lama, nasib peserta musim ini juga ditentukan sepenuhnya oleh penonton menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Pada minggu pertama itu, kumpulan Wili, Caca dan Aman berada di tiga tangga terbawah. Namun, nasib mereka cukup baik kerana tiada penyingkiran pada malam tersebut.

Ditanya tentang lawak 'lucah' yang masih dipraktikkan oleh beberapa peserta pada musim ini, kata Afdlin, 'modal' lawak seperti itu sebenarnya tidak perlu dilakukan oleh mereka.

"Lawak-lawak seperti itu jika ditunjukkan di televisyen, nampak tidak bagus. Ia tidak membantu pun menarik perhatian penonton. Lagipun, program ini adalah tontonan seisi keluarga, jadi tidak 'best' lah. Apa yang keluar dari mulut mereka kenalah beralas.

"Selalunya, mereka gunakan modal seperti ini bila sudah panik. Bukan semua penonton boleh menerima lawak seperti ini. Kalau perkataan yang 'double-meaning', yang tidak berapa jelas maksudnya, mungkin boleh diterima lagi," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi juri, Bob Lokman turut menyentuh tentang undian SMS dan berharap penonton tidak membuat 'kesilapan' memilih peserta yang terbaik.

"Sepatutnya, orang yang mengundi kena tengok program ini dari awal. Kami (pengkritik-pengkritik) amat takut kalau peserta yang kami nampak ada potensi tetapi tersingkir awal. Kami tahu adakalanya kritikan kami turut memberi impak terhadap undian penonton.

"Disebabkan itu, kami lebih banyak memberikan kritikan yang positif. Mana yang kami nampak salah, kami tetap tegur dan beritahu kesilapan mereka itu, tetapi tidaklah teruk sangat. Kami ingin memberikan kritikan yang membina," kata Bob.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan