Ako Mustapha Mahu Merissa Belajar Di Rumah 'Home School'

Diterbitkan: Selasa, 5 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ako belum bersedia menunjukkan anaknya, Merissa Tempawan kepada media.
Ako belum bersedia menunjukkan anaknya, Merissa Tempawan kepada media.

AGAK kelam-kabut Ako Mustapha apabila menerima kelahiran anak sulungnya, Merissa Tempawan lebih awal tiga minggu pada 31 Disember lalu di Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara.

Menurut pelakon popular ini, dia seperti belum bersedia untuk menyambut kelahiran Merissa yang dilahirkan seberat 2.8 kg dan bagaikan tidak percaya yang dia kini sudah bergelar bapa.

Namun begitu, selepas tiga hari menguruskan bayi itu, Ako berkata dia sudah mula selesa dengan Merissa dan bagaikan tidak sabar menunggu anaknya itu membesar pula.

“Saya tergamam dan tidak percaya yang saya sudah bergelar seorang bapa. Tetapi selepas dua tiga hari menjaga Merissa, saya sudah menjadi biasa. Kadangkala, saya tolong menyuapkan botol susu kepadanya,” kata Ako menerusi telefon ketika berada di Pusat Perubatan Tropicana semalam.

Ako ke hospital itu untuk membuat pemeriksaan anaknya yang dijangkiti penyakit kuning.

“Saya berharap Merissa akan sembuh daripada penyakit itu,” luah Ako ringkas.

Ditanya mengenai keadaan Merissa, Ako berkata muka puterinya itu lebih mirip kepada wajahnya. Namun, apabila masuk kepada perangai, saling tak tumpah seperti isterinya, Kartina Shuaib Abdullah.

“Saya perhatikan muka Merissa lebih mengikut muka saya terutama hidungnya. Namun, perangainya seperti isteri saya. Dia terlalu gembira apabila waktu makan.

“Selain itu, dia juga gembira kalau ada orang bersembang dengan dia,” ujarnya lagi.

Cerita Ako lagi, walaupun anaknya itu baru berusia beberapa hari, dia telah memikirkan tentang pendidikan anaknya itu.

Ako berkata, sebolehnya dia mahu anaknya menumpukan kepada pembelajaran di rumah berbanding di sekolah.

“Saya nak dia belajar di rumah (home school) selepas darjah tiga kerana saya mahu pastikan dia pandai berfikir dan mengkaji semua benda dalam hidupnya,” beritahu Ako bersungguh-sungguh.

Di sebalik keindahan nama Merissa Tempawan, Ako berkata nama itu dipilih oleh isterinya dan bapanya.

Pada mulanya bapa Ako hendak meletakkan nama Mas Tempawan. Namun setelah nama itu dirasakan agak tradisional dan konservatif, lalu isterinya menyarankan nama Mas ditukar kepada Merissa yang lebih moden.

“Kiranya nama anak saya merupakan gabungan moden dan klasik. Nama Tempawan dipilih sempena nama moyang saya (nama ibu Tun Mahathir),” jelasnya yang akan memulakan penggambaran pada 14 Januari ini.

Kata pelakon drama Sephia dan Kapten Boleh ini, dia juga berasa bersyukur kerana berpeluang untuk menemani isterinya semasa bersalin.

Ako juga berkata dia belum bersedia menunjukkan wajah Merissa kerana bayi itu masih kecil.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan